Pecat: Terima dengan hati terbuka

Pecat: Terima dengan hati terbuka

TAJUDDIN ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TINDAKAN Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memecat Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman daripada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti merupakan sesuatu di luar jangkaan. Apatah lagi setelah Tajuddin dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia tidak lama kemudian.
Ini jelas menandakan krisis dalaman UMNO baru hendak berputik. Fenomena pemecatan ini bukan suatu perkara baharu bagi parti dominan seperti UMNO yang dilihat mempunyai pengalaman politik pilihan raya lebih dari separuh abad.

Jika isu pemecatan Tajuddin ini dihujahkan boleh merapuhkan posisi UMNO, maka sudah lama parti Melayu ini terkubur semenjak Timbalan Perdana Menteri (ketika itu), Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada UMNO pada 1998. Tetapi UMNO berjaya mengekalkan kelangsungannya dengan mengolah formula manipulasi yang sentiasa memberikan kelebihan berganda kepada parti itu dalam apa jua keadaan.

Masih terlalu awal untuk menyimpulkan UMNO berada di saat kritikal setelah memutuskan untuk mengetepikan Tajuddin daripada kerangka MKT. Walaupun pihak lawan menganggap pemecatan itu sebagai krisis dalaman yang akan meruntuhkan UMNO tetapi kebarangkaliannya jauh lebih rendah.

Resume pencapaian parti itu sahaja sudah cukup untuk dijadikan modal penghujahan bahawa krisis seperti ini tidak akan berupaya untuk menggugat mobilisasi UMNO sekurang-kurangnya sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan. Pada PRU14, UMNO mengalami ketirisan kepercayaan dan sokongan. Bukan sahaja parti Melayu terbesar itu gagal untuk membentuk kerajaan, malah terdapat ramai ahli Parlimen mereka yang meninggalkan parti dan menyertai parti lain.

Ini adalah satu kejutan kerana buat pertama kalinya UMNO dan Barisan Nasional (BN) ditumbangkan melalui sistem pilihan raya. Walaupun kerap kali kita melihat gaya dan corak berkempen parti itu untuk meraih undi dengan melibatkan penggunaan jentera berskala besar, penguasaan media arus perdana dan sebagainya, namun akhirnya UMNO rebah di dewan pengundian. Mungkin kelangsungan UMNO itu sendiri boleh diperteguhkan apabila pilihan raya diadakan pada dua atau tiga dekad lepas tetapi bukan pada hari ini.

Di saat dunia menyambut baik kedatangan arus globalisasi di mana orang ramai menjadi celik dengan hanya sekelip mata, UMNO perlu sedar bahawa angin globalisasi itu tidak mesra seperti yang disangkakan. Apabila melawan arus, UMNO membayar dengan harga yang sangat tinggi apabila mereka dilorongkan jalan keluar dalam PRU14. Itu adalah satu pengajaran politik yang tidak boleh diambil ringan. Tetapi masih lagi belum boleh disimpulkan sepenuhnya bahawa UMNO telah terkubur.

KUBU KUAT

Pasca-PRU14 menyaksikan kebangkitan parti itu sedikit demi sedikit. Kali ini, mobilisasi itu di atas nama blok pembangkang dan rantaian akar umbi digunakan sebaik mungkin untuk mengubah persepsi orang ramai terhadap rejim Pakatan Harapan (PH).

Setelah berjaya mencipta kemenangan dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) dan menyambut baik kerjasama politik bersama Pas, keyakinan UMNO bertambah. Dikuatkan lagi dengan penghujahan kemenangan mereka merampas semula Sabah, Melaka dan Johor dalam pilihan raya negeri (PRN). Ini adalah satu signal bahawa mandat haruslah dipulangkan semula ke dalam bentuk PRU15.

Sudah pastinya pimpinan tertinggi UMNO begitu yakin untuk menyegerakan PRU15 diadakan secepat mungkin pada saat ketidaktentuan ekonomi menghiasi landskap tempatan. Tidak ramai menyangka bekas kubu kuat UMNO seperti Melaka dan Johor boleh melakukan pusingan semula dengan menafikan PH.

Sudah pasti UMNO tidak mengalami sebarang kerugian jika mereka terpaksa ‘kehilangan’ kerusi Pasir Salak jika Tajuddin membuat kejutan dengan meninggalkan parti atau menyertai blok pembangkang. Jika dilihat trend pada waktu ini, semakin ramai yang mula untuk pulang ke UMNO kembali selepas melihat keyakinan sebahagian besar orang terhadap parti itu mula pulih.

Bagaimanapun, fenomena Tajuddin ini mungkin akan memberikan ancaman kepada UMNO jika ia tidak ditangani dengan baik. Jika Tajuddin berjaya mempengaruhi ahli-ahli lain dalam UMNO untuk mengikutinya, maka ini akan mengakibatkan perpecahan yang serius di dalam UMNO. Dan krisis seumpama ini ternyata tidak sihat bagi UMNO tatkala gendang perang pilihan raya hampir berbunyi.

Langkah terbaik pada saat ini adalah keputusan pemecatan itu perlu diterima dengan hati terbuka untuk mengelakkan perbalahan dalaman walaupun baru-baru ini Tajuddin membangkitkan isu sokongan beberapa ahli Parlimen UMNO untuk mengangkat Anwar sebagai perdana menteri juga tidak dilihat relevan pada waktu ini. Jika blok pembangkang PH menghulurkan talian hayat politik sekalipun kepada Tajuddin tidak meletakkan UMNO dalam keadaan yang sukar. Sebaliknya ini akan memberatkan lagi perjalanan dan karier politik Tajuddin untuk jangka waktu panjang.

Dalam hal ini, pandangan awam tertumpu sepenuhnya ke atas UMNO. Cara penyelesaian kreatif perlu direncanakan dengan kadar segera oleh UMNO agar tidak dinilai oleh orang ramai dengan pandangan negatif. Jika kestabilan politik adalah mantera utama UMNO dan BN untuk menarik sokongan pengundi maka ia perlu diterjemahkan ke dalam konteks dalaman parti.

Jikalau tindakan memecat Tajuddin itu boleh mendatangkan ancaman kepada UMNO, nescaya Ahmad Zahid dengan mudah tidak akan mengambil risiko seumpama itu walaupun beliau tahu bahawa UMNO kini berada pada tahap kesiapsagaan maksimum untuk menghadapi PRU15. – UTUSAN

MUJIBU Abd. Muis dan Dr. Ariff Aizuddin Azlan ialah Pensyarah Kanan Sains Politik di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN