TRANSPARENCY International (TI) mula mengeluarkan Indeks Persepsi Rasuah (IPR) dari 1995 dan Malaysia berada di tempat ke-23 dunia sehingga 2003 di tangga ke-31. Negara diterajui oleh Perdana Menteri keempat ketika itu.
Semasa Perdana Menteri kelima mengambil alih, purata kedudukan IPR adalah ke-47 dari 2004 sehingga 2009. Apabila Perdana Menteri keenam mentadbir dari 2009 sehingga 2018, kedudukan purata IPR di tangga 56 dengan kedudukan paling teruk ke-62 pada 2017.
Kemudian Perdana Menteri keempat kembali menjadi Perdana Menteri ketujuh, kedudukan IPR diperbaiki, iaitu dari 61 (2018) kepada 51 (2019). Namun, kembali ke tangga 57 apabila Perdana Menteri kelapan mentadbir.
Hari ini, kedudukan IPR Malaysia pada kedudukan ke-62 untuk 2021. Ini adalah fakta yang tidak boleh dipadam.
Untuk menghapuskan rasuah sepenuhnya adalah sesuatu yang mustahil. Merujuk kembali kepada senarai TI, negara terbaik mendapat markah 88/100, iaitu kedudukan pertama yang dikongsi oleh Denmark, Finland dan New Zealand, bukannya markah 100/100. Namun kita perlu berada di tempat lebih terhormat dengan mendapat markah setidak-tidaknya melebihi purata 50/100, bukannya 48/100.
1MDB
Hakikatnya, kita tidak memerlukan IPR tersebut untuk memahami keadaan sebenar dalam negara. Dengan sejarah kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), beberapa pemimpin yang sedang menghadapi perbicaraan mahkamah atas kes-kes salah guna kuasa dan rasuah. Terbaru, beberapa pegawai kerajaan ditangkap kerana membuat tuntutan palsu sehingga bernilai jutaan ringgit, sudah cukup untuk kita berasa khuatir tentang arah tuju negara. Tiada rakyat yang mahu negaranya dikenali dunia sebagai sebuah negara yang mengamalkan korupsi.
Malaysia amat memerlukan satu generasi kepimpinan politik yang lebih berwibawa terutama pemimpin Melayu. Barisan kepimpinan ini perlu dibimbing agar menjadi pemimpin yang bukan sahaja berwibawa, malah bersih daripada korupsi dan amanah. Barisan kepimpinan yang mempunyai ciri-ciri nilai Melayu unggul dan berteraskan Islam.
Ramai yang mempunyai kelayakan dan pengalaman sesuai untuk menjadi pemimpin. Jadi, tidak sukar sebenarnya untuk mencari dan menyediakan satu generasi kepimpinan baharu. Ramai pemimpin giat aktif bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan di seluruh negara.
Untuk membimbing pemimpin-pemimpin ini, perlulah ada pembimbingnya. Mari kita rujuk fakta di atas, Perdana Menteri keempat adalah pemimpin yang berjaya mengekalkan kedudukan IPR negara pada tangga yang baik, apabila beliau kembali menjadi Perdana Menteri ketujuh.
Sudah pastilah kita perlu dibimbing oleh mereka yang berpengalaman dan berjaya, dan bertuahnya negara kerana beliau masih sihat dan aktif untuk diambil pelajaran daripadanya. – UTUSAN
PENULIS ialah Ahli Majlis Eksekutif Pusat, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).










