Mat Kilau jangan hanya ‘hidup’ di layar perak

Mat Kilau jangan hanya ‘hidup’ di layar perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAT Kilau sebagai pejuang bangsa, jangan hanya ‘hidup’ di layar perak tetapi semangatnya perlu ada dalam diri setiap orang Melayu yang cintakan agama, bangsa dan tanah air (abata).

Semangat perjuangan pahlawan Melayu dari Pahang itu sewajarnya diwarisi oleh generasi muda agar mereka mencintai agama Islam sebagai pegangan akidah. Apabila agama dan roh dalam diri kukuh, maka perjuangan atas nama bangsa dapat dimantapkan. Ini bagi memastikan bumi bertuah atau tanah air ini terus terpelihara daripada dijajah semula rohani dan jasmani oleh pihak asing.

Seharusnya sebuah filem sejarah jangan sekadar menjadi bahan hiburan dan dikritik secara membuta tuli. Fikirkan apa yang dikatakan oleh watak Mat Kilau sebagai panduan hidup masa depan. Setiap perjuangan memerlukan kita mengingati siapa kita dan kerana siapa, itulah yang tersirat dalam filem tersebut.

Kita sebagai pewaris bumi bertuah bernama Malaysia ini hendaklah bersatu atas prinsip memelihara agama, bangsa dan tanah air daripada terus terlepas kepada pihak yang mempunyai agenda tersendiri. Jika kita orang Melayu terus berbalah kerana tiga ‘ta’ iaitu wanita, harta dan takhta (kuasa), maka dibimbangi generasi muda akan hilang agama, jati diri mereka malahan bumi yang dipijak menjadi milik orang.

Filem Mat Kilau tiba tepat pada masanya, seolah-olah bangsa Melayu diberi ingatan yang keras bahawa mereka akan sekali lagi dijajah jika terus berbalah.

Sekalung tahniah kepada penerbit filem iaitu Studio Kembara dan pengarahnya, Syamsul Yusof kerana menghidupkan Mat Kilau bukan sahaja di layar perak tetapi dalam diri setiap orang Melayu yang cintakan abata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN