Mat Kilau inspirasi merdeka ke-65

Mat Kilau inspirasi merdeka ke-65

SEBAHAGIAN 119 murid dan guru Sekolah Kebangsaan Tun Syed Ahmad Shahabudin khusyuk menonton filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan di GSC Aeon Bandaraya Melaka pada 21 Julai lalu. – FACEBOOK FILEM MAT KILAU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJELANG ulang tahun ke-65 kemerdekaan negara kali ini, rakyat diperingatkan tentang apa erti merdeka sebenarnya oleh seorang tetamu undangan khas. Sudah lama kita kesepian perwatakan sedemikian yang menjadikan kemerdekaan sebagai satu pesta budaya, riang ria dengan pelbagai aktiviti.

Tetapi agak kosong jiwanya dengan sorak-sorai umpama gendang kosong. Banyak bunyi daripada isi, lebih rupa daripada rasa dalam menginsafi pengorbanan wira-wira yang tidak didendang.

Sebaliknya, ini adalah tika dan masanya yang rakyat mengambil peluang mendalami makna sebenar kemerdekaan kerana sebuah kemerdekaan itu bukan hanya sekadar retorik semata-mata. Tambahan pula erti kemerdekaan pada zaman-berzaman menganggapnya sebagai bebas daripada cengkaman penjajahan dan bukan sekadar melaungkan, “Merdeka! Merdeka! Merdeka!”

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam hal ini, negara digemparkan oleh sebuah filem yang tidak diduga hebatnya. Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, tiba-tiba muncul dan melompat keluar dari lembaran sejarah yang telah lama ditinggalkan. Malah seolah-olah dilupakan setiap perayaan merdeka, walaupun kita sering diingatkan tentang Bapa Kemerdekaan serta pemain-pemain politik moden pada ketika itu.

Malangnya, pejuang kemerdekaan yang lebih awal lagi mencetuskan tuntutan yang sama seluruh jiwa raga jarang dibicarakan. Para pejuang seperti Mat Kilau di Semenanjung, Mat Salleh di Sabah, serta Rosli Dhoby di Sarawak. Nama-nama seperti ini sukar terlintas di bayangan anak-anak pascamerdeka, apatah lagi dirasai perjuangan mereka kerana jurang generasi yang begitu lompang dan kontang pengisiannya.

Mereka lebih mirip dengan nama-nama asing yang sering dikumandang oleh dunia digital serta bualan media sosial. Biarpun kadangkala mereka lebih merupakan petualang bangsa dan negara.

Maka dengan adanya filem tersebut, kita rasa amat bertuah sekali, bukan sahaja kerana tepat pada tempat dan masanya tetapi berjaya menempah sejarah tersendiri. Dalam masa kurang sebulan, filem itu mendapat kutipan melebihi RM90 juta dalam masa 33 hari dan memecahkan rekod filem tempatan sebelum ini.

Bahkan, diagakkan boleh berlarutan lebih sebulan kerana sudah pun ada ura-ura melanjutkan tayangannya di beberapa pawagam dengan harapan sehingga hari merdeka kelak!

Mengikut pengarahnya, Syamsul Yusof, semuanya bergantung kepada sambutan penonton yang membolehkannya masuk dalam saluran swasta lain seperti Astro dan juga Netflix apabila selesai tayangan di pawagam nanti.

Yang jelas, kehangatan filem ini difahamkan berjaya menunda tayangan filem terbitan asing seperti Marvel Studios, Thor: Love and Thunder, dari awal kepada minggu ketiga Julai. Suatu petanda positif sekali.

Pun begitu, filem itu dikatakan terdapat beberapa kekurangan mengikut sesetengah pendapat. Ini lumrah bagi dunia perfileman.

Namun, janganlah ia dijadikan rintangan untuk memutikkan kesedaran jiwa merdeka yang amat diperlukan untuk mengisi laungan merdeka pada tanggal 31 Ogos setiap tahun sejak 1957. Apatah lagi pada tahun ke-65 kalinya dan dalam suasana serba salah angkara pandemik yang tidak ada penghujungnya selepas dua tahun meragut jutaan nyawa seantero.

EMOSI

Dari satu sudut ini, ia menyerupai kegetiran memperjuangkan kemerdekaan apabila dibelenggu musibah serta kemudaratan buatan manusia durjana yang berpanjangan. Ditambah pula dengan sekatan itu dan ini, umpama had hubungan dan pergerakan yang menyeluruh tanpa kompromi.

Ini turut menghimpit punca pencarian setiap rakyat khususnya yang marhaen dan menyusahkan untuk mendapatkan bekalan makanan harian serta penjagaan kesihatan.

Lambat-laun kesejahteraan hidup mula terjejas dan mampu membawa pelbagai gejala serta padah yang tidak diduga. Antara yang paling banyak mempengaruhi adalah kesihatan mental termasuk emosi melibatkan berbagai bentuk baik di rumah tangga dan juga tempat-tempat awam dan kerja.

Kesemua ini membayangkan betapa sukarnya untuk mendapat kemerdekaan yang berganda-ganda lagi cabaran, puluhan tahun lamanya. Ini memandangkan pada ketika itu segala-gala yang ada tidaklah secanggih hari ini. Baik prasarana mahupun sistem penyampaian yang serba-serbi kekurangan jika dibandingkan sistem dalam talian 24 jam, 65 tahun kemudian.

Begitu juga pendidikan serta pemikiran yang masih terkebelakang diamalkan penjajah yang sedia menekan dan memutar belit. Pada hakikatnya, perjuangan serta pengorbanan dan kesabaran yang dilalui dahulu kala jauh lebih meruncing dari masa ini.

Namun, merdeka tetap tercapai jua berkat kepemimpinan wira-wira yang tidak lekang usaha ikhlas memartabatkan bangsa, negara dan agama.

Oleh itulah watak seperti Mat Kilau wajar dikumandangkan semula untuk dikenali lebih dekat serta diteladani dalam mengotakan kemerdekaan negara agar sentiasa segar didaulati dunia sekali gus menuntut taat setia yang tidak berbelah bahagi. Dan rela pula mempertahankannya segenap jiwa raga sehingga ke titisan darah terakhir bagai dilakukan Mat Kilau.

Wang ringgit dan harta benda tidak menghalal matlamat sepertimana gelagat hari ini. Sifat serta sikap ikhlas ini tidak lagi ketara apabila masing-masing sibuk dengan diri sendiri tanpa menghiraukan orang lain dan konteks #kitajagakita. Bahkan ada yang sanggup menggadaikan negara dengan begitu sahaja atas pelbagai alasan mementingkan diri sendiri.

Ia merangkumi segala bentuk rasuah dan perbuatan tidak bertanggungjawab atau bersopan. Bak harapkan pagar, malangnya pagar memakan padi ratusan relung lebarnya. Ia tidak langsung mendekati amalan seorang perwira seperti Mat Kilau, Mat Salleh serta Rosli Dhoby serta puluhan lain yang lekang dari ingatan.

Maka sewajarnyalah sebagai sambutan merdeka, anak-anak muda di bangku sekolah terutamanya, digalakkan menonton filem ini atas ihsan para dermawan sebagai pengorbanan masa hadapan negara sekali gus melonjakkan lagi semangat merdeka dan mengiktiraf Mat Kilau di mata dunia! – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×