BARU-BARU ini, seorang menteri membuat kenyataan yang dilihat sangat tidak wajar berkaitan pendedahan laporan kematian di pusat tahanan imigresen di Sabah. Tindakan tersebut jelas menunjukkan kurangnya rasa empati seorang pemimpin dalam memikul mandat untuk menyelia Jabatan Imigresen dan operasinya.
Realitinya, banyak kelompangan yang perlu diambil perhatian berkaitan sistem pengurusan di pusat tahanan imigresen. Alasan penahanan jarang sekali diberikan dan akses kepada peguam bela untuk tahanan turut dinafikan.
Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan berulang kali melaporkan isu berkaitan keadaan fasiliti dan infrastruktur yang teruk serta tidak mencapai piawaian memuaskan. Jumlah tahanan yang semakin meningkat juga dilihat tidak selari dengan penambahan sumber diperlukan seperti belanjawan pengurusan dan selenggara.
Dakwaan keadaan pusat tahanan dan penindasan terhadap tahanan imigran dibuktikan dalam laporan bertajuk Seperti di Neraka: Kondisi Pusat Tahanan Imigrasi di Sabah, Malaysia.
Laporan yang dikeluarkan oleh Koalisi Buruh Migran Berdaulat ini perlu diambil perhatian dan tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa.
Laporan tersebut menyimpulkan seluruh pusat tahanan imigresen di Sabah:
Dengan sengaja mengabaikan tahanan yang sakit dan tidak menyediakan rawatan perubatan tepat pada masanya untuk mencegah penyakit daripada melarat sehingga mengakibatkan kematian.
Dengan sengaja tidak merujuk tahanan yang sakit ke pusat rawatan kesihatan sebelum penyakitnya bertambah teruk.
Dengan sengaja tidak menyediakan sumber tenaga kerja, kemudahan kesihatan dan ubat-ubatan yang diperlukan dalam pusat tahanan kecuali Depoh Tahanan Tawau yang menjalankan pemeriksaan kesihatan (ujian tuberkulosis) bagi tahanan.
Dengan sengaja tidak berusaha untuk memenuhi hak tahanan berkaitan kesihatan.
GARI
Seharusnya kes kematian dalam tahanan di pusat imigresen boleh dielakkan. Melihat kepada kadar kematian yang tinggi di mana 149 warga Indonesia meninggal dunia di lima pusat tahanan Sabah selama 18 bulan antara 2021 dan 2022 menunjukkan keperluan mengkaji semula taraf kesihatan dan keadaan hidup di pusat tersebut.
Sudah tiba masanya kerajaan menilai pelanggaran hak asasi manusia di pusat tahanan imigresen berdasarkan norma dan piawaian antarabangsa seperti dicadangkan dalam laporan oleh Projek Penahanan Global berpusat di Geneva.
Kami menyokong gesaan dan cadangan dalam laporan tersebut khususnya berkenaan usaha menambah baik keadaan dan layanan di pusat tahanan imigresen. Cadangan langkah penambahbaikan termasuk:
Menyediakan tempat tahanan dan kemudahan asas (bilik tahanan, katil, makanan, air minuman, pakaian, tandas) yang sesuai dan mencukupi.
Menambah baik kemudahan kesihatan di pusat tahanan imigresen, meningkatkan kunjungan pekerja kesihatan dan memudahkan akses ke hospital untuk mengelakkan kematian yang boleh dicegah.
Menyemak dan menghentikan hukuman sebatan yang menyebabkan kesakitan serta gari. Hal ini bagi memastikan tiada lagi insiden penyeksaan, hukuman kejam, tidak berperikemanusiaan dan merendahkan maruah tahanan.
Kami berharap kerajaan memandang serius dan bertindak segera menangani isu-isu ini kerana banyak laporan telah dibuat. Hal ini menunjukkan bahawa penganiayaan tahanan imigresen tidak lagi boleh diabaikan dan mesti mendapat perhatian sepatutnya. – UTUSAN
PENULIS ialah Penganalisis Penyelidikan & Advokasi di Bait Al Amanah.










