WALAUPUN kita sudah lama tinggal bersama sebagai masyarakat majmuk, hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah kita sebenarnya masih belum benar-benar saling mengenali. Perpaduan dan persefahaman yang sedia wujud perlu diperkukuh dengan semangat Keluarga Malaysia atau Bangsa Malaysia seperti diimpikan.
Salah satu cara mudah untuk meningkatkan persefahaman adalah mengambil tahu, memahami serta menghormati amalan budaya rakan-rakan dan jiran daripada latar belakang yang berbeza dengan kita. Dalam melakukan perkara ini, kita tidak sesekali berkompromi atau mengetepikan budaya sendiri. Sebaliknya sekadar memahami dan menghormati budaya orang sekeliling.
Kita cuba perhatikan beberapa amalan dalam kalangan kaum India.
Sesungguhnya wujud hubungan antara orang India dan Melayu jauh sebelum Portugis menjajah Melaka pada 1511. Malangnya, hubungan kita pada hari ini semakin renggang dan kita mungkin semakin kurang memahami budaya tetangga kaum India.
Kita mungkin biasa melihat kanak-kanak, remaja dan lelaki dewasa menindik telinga. Tidak mustahil kita segera membuat tanggapan negatif terhadap individu berkenaan. Situasi ini berlaku kerana kita tidak memahami rasional dan alasan sebenar mereka mencucuk telinga. Sebaliknya, kita menggunakan pemahaman terhadap budaya songsang dan gangsterisme untuk membuat andaian individu berkenaan juga sebahagian daripada kumpulan seperti itu.
Sebenarnya, memang menjadi budaya lelaki kaum India-Hindu sejak zaman dahulu untuk menindik telinga. Pelbagai kebaikan dari sudut kesihatan mental reproduktif tercatat dalam perubatan ayurveda tradisional. Malah, kajian sains turut mengesahkan pandangan dan amalan itu. Maka, jika kita melihat lelaki kaum India beragama Hindu bersubang, bolehlah kita cuba bertanya apakah manfaat amalan itu tanpa membuat sebarang andaian negatif.
Dalam kalangan lelaki dan wanita kaum India, kita tentu juga biasa melihat mereka memakai rantai, gelang dan cincin emas. Emas disebut suvarna dan melambangkan kekayaan. Selain itu, sebagaimana dinyatakan juga dalam International Journal of Gerontology (Mac 2012), emas digunakan dalam sains perubatan di China, Mesir dan India sejak lebih 5,000 tahun dahulu.
Kaum India sejak turun-temurun menyedari manfaat kesihatan apabila emas dipakai dalam keadaan sentiasa menyentuh kulit. Malah pada masa dahulu, emas juga ditelan dalam kuantiti kecil atau dijadikan susuk. Bagaimanapun, pada masa kini di Malaysia, komuniti India lebih banyak menjadikan emas sebagai barang hiasan atau komoditi (simpanan).
Kita boleh menyentuh tentang amalan pemakaian emas sewaktu berbual dengan rakan atau jiran kaum India. Misalnya, kita boleh menyebut bahawa kaum India biasanya hanya memakai barangan emas dari paras kepala hingga ke pinggang. Memang pantang untuk orang India memakai barangan kemas daripada emas pada anggota tubuh di bawah paras pinggang.
DAUN LONTAR
Hal demikian ini kerana emas dikaitkan dengan kekayaan dan kemakmuran. Maka, tidak diletakkan di bawah paras pinggang atau perut. Kita mungkin tertanya-tanya tentang kolusu atau gelang kaki dan minji atau gelang jari yang dipakai wanita India. Sebenarnya, kedua-dua barang perhiasan itu tidak diperbuat daripada emas, sebaliknya daripada perak atau logam lain.
Pada zaman dahulu, ajaran agama disampaikan secara lisan oleh para maharishi. Kemudian, segala ajaran kitab Veda ditulis pada daun lontar. Kita mungkin mengenali daun lontar yang menjadi komponen utama pada logo Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Dalam budaya India, kitab-kitab yang tercatat pada daun lontar ini dihormati dan dianggap suci. Maka, tidak boleh sama sekali dipijak atau dilangkahi. Kemudian, kitab-kitab mula ditulis pada kertas. Pada masa kini, kita ada buku dan kertas dalam pelbagai bentuk. Dalam kalangan kaum India, semua jenis buku, kertas dan bahan bercetak dilihat sebagai sumber ilmu. Maka, kaum India melarang perbuatan memijak atau melangkahi sebarang kertas, majalah dan buku.
Dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia, memang menjadi budaya untuk melayan tetamu yang datang ke rumah. Biasanya tetamu dijamu makanan dan minuman. Namun begitu,
ada masanya kita menolak makanan dan air yang ditawarkan oleh tuan rumah. Mungkin kerana kita masih kenyang atau baru sahaja minum di tempat lain.
Bagi kaum India, perbuatan melayan tetamu amat penting dan dititik berat.
Malah, dalam bab sembilan teks Thirukkural digariskan syarat dan panduan wajib melayan tetamu. Sekiranya kita berkunjung ke rumah rakan atau jiran kaum India, jangan sesekali menolak makanan dan minuman yang diberi. Jika kita tidak meneguk atau mencicip walau sedikit hidangan, maka pintu rezeki tuan rumah dikatakan akan tertutup.
Agak menarik kerana dalam budaya India, kedatangan tetamu dialu-alukan dan diraikan kerana dianggap membawa rezeki kepada tuan rumah.
Apabila berkunjung ke rumah rakan kaum India lalu dijamu nasi, kita mungkin makan bersama sambil berbual-bual. Biasanya walaupun pinggan sudah kosong, kita mungkin meneruskan perbualan.
Dalam situasi ini, eloklah kita memahami satu lagi amalan kaum India. Pinggan yang digunakan untuk makan tidak boleh dibiarkan kering.
Maka, jika sudah selesai makan, kita boleh sahaja menuang sedikit air pada pinggan itu supaya tidak menjadi kering. Ada pelbagai pandangan tentang amalan ini. Ada orang mengatakan tetamu mencuci tangan di pinggan supaya tidak perlu pergi ke sinki atau dapur. Samalah seperti bekas cuci tangan yang sinonim dengan budaya orang Melayu.
Satu lagi alasan logik adalah supaya pinggan kekal basah agar mudah dicuci kemudian. Amalan itu juga secara simbolik memberitahu tuan rumah bahawa kita sudah cukup kenyang dan tidak mahu menambah nasi atau lauk.
Sedikit perkongsian di atas mungkin kedengaran amat biasa dan umum sifatnya. Akan tetapi, sekiranya difikirkan, amalan biasa dan mudah seperti inilah yang boleh membantu kita untuk saling mengenali, menghormati dan bertolak-ansur. Pada masa sama, kita akan menyedari bahawa sebenarnya ada banyak persamaan budaya dan amalan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini. – UTUSAN
PENULIS ialah Pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










