Jangan terleka tuntut hak

Jangan terleka tuntut hak

ISLAM meletakkan kedudukan seseorang isteri dan ibu di tempat yang tinggi dalam institusi kekeluargaan. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“AKU peringatkan kepada kamu agar kamu berlaku baik kepada isteri-isteri kamu. Kerana kamu mengambil dia adalah sebagai amanat daripada Allah dan telah menjadi halal kehormatannya bagi kamu dengan kalimah Allah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Islam meletakkan kedudukan seseorang isteri di tempat yang tinggi dalam institusi kekeluargaan. Apa pun terjadi, isteri ataupun ibu sentiasa mempunyai tempat yang utama dalam institusi kekeluargaan. Ini memberikan amanah dan tanggungjawab lelaki ataupun bapa dalam rumah tangga. Tanggungjawab suami terhadap isteri juga jelas digariskan dalam perundangan Islam yang menjadi sebahagian daripada amalan rumah tangga di Malaysia.

Bagi Islam, rumah tangga melebihi ikatan kontrak antara dua orang yang perlu diamati dan difahami oleh kaum lelaki. Ia terikat dengan tuntutan syarak untuk melindungi hak semua pihak dalam perkahwinan.

Namun bagi wanita, baik sebagai isteri mahupun ibu, hak dan keistimewaan mereka haruslah difahami sepenuhnya. Ada antara wanita yang tidak mengetahui hak ketika berkahwin, apatah lagi selepas berkahwin. Terdapat juga beberapa insiden ketika di mahkamah syariah, pihak isteri lupa untuk menyelesaikan secara tuntas tuntutan pasca perkahwinan.

Pelbagai alasan selalu diberikan. Antaranya tidak mahu serabut dengan bekas pasangan, mahu cepat-cepat keluar daripada perkahwinan dan pelbagai lagi alasan yang tidak masuk akal.

Namun tanpa disedari, perbuatan mereka yang tergesa-gesa dan tidak menyelesaikan tuntutan pasca perceraian dengan sempurna sebenarnya akan membawa mudarat lebih besar bukan sahaja kepada mereka tetapi juga anak-anak.

Antara isu pasca perceraian yang sering kali menjadi pertelingkahan pihak-pihak terlibat adalah hak jagaan anak atau hadanah. Hak hadanah pula adalah seiring dengan hak lawatan. Hak hadanah ini sebenarnya boleh dituntut semasa berlangsungnya perkahwinan dengan syarat-syarat tertentu. Dalam kebanyakan keadaan, si ibu mempunyai kelebihan dalam mendapatkan hak jagaan.

Bagaimanapun, perlu diingatkan, kebajikan kanak-kanak merupakan salah satu faktor untuk dipertimbangkan oleh mahkamah. Hak jagaan anak ini adalah penting untuk memastikan kanak-kanak dapat dibesarkan, diasuh dan dijaga dengan baik oleh ibu atau bapa yang mendapat hak jagaan tersebut. Hak hadanah juga hadir dengan hak lawatan yang diberikan kepada pihak lain.

Hak lawatan ini juga dilihat sama penting dengan hak hadanah. Ini untuk memberikan peluang kepada pihak ibu atau bapa yang tidak menjaga anak itu melihat perkembangan anak mereka.

Kedua-dua hak ini harus dihormati oleh pihak-pihak terlibat. Sebaik-baiknya penentuan hak hadanah dan hak lawatan adalah secara persetujuan bersama. Namun sekiranya pihak-pihak bertelingkah, maka mahkamah akan menentukannya. Sekiranya mahkamah telah memutuskan hak hadanah atau lawatan kepada ibu atau bapa, atau sekiranya terdapat persetujuan pihak-pihak yang direkodkan dalam mahkamah, pihak-pihak tidak mempunyai pilihan lain melainkan mematuhi perintah tersebut. Kegagalan mematuhi perintah tersebut boleh menyebabkan pihak yang ingkar melakukan penghinaan kepada mahkamah.

PELAJARAN

Walaupun begitu, golongan bapa harus ingat bahawa nafkah anak-anak tetap di bahu mereka. Ramai golongan ibu yang terlepas pandang aspek ini. Apabila berlaku perceraian mereka beranggapan bahawa mereka memikul tanggungjawab nafkah anak sendirian. Ia adalah salah sama sekali.

Nafkah anak meliputi perbelanjaan seperti makan minum, pakaian dan pelajaran. Si bapa masih lagi mempunyai tanggungjawab memberikan nafkah meskipun perceraian berlaku. Apapun perseteruan antara ibu dan bapa, ia tidak sama sekali menghentikan tanggungjawab si bapa dalam membiayai nafkah si anak.

Isu nafkah anak ini samalah seperti isu hadanah. Sekiranya pihak-pihak berupaya mencapai kata sepakat, persetujuan boleh direkodkan di mahkamah. Ia akan menjadi satu perintah yang mengikat. Sebaliknya sekiranya pihak-pihak gagal mencapai kata sepakat, pihak-pihak bolehlah merujuk kepada mahkamah untuk diputuskan. Kendatipun si bapa bertanggungan untuk membayar nafkah, si ibu haruslah rasional dalam tuntutan nafkah anak. Janganlah menuntut di luar kemampuan si bapa.

Tidak dapat dinafikan banyak laporan serta aduan keculasan si bapa untuk membayar nafkah. Terdapat beberapa sebab yang membawa kepada keculasan si bapa ini.

Antaranya pihak-pihak sejak dari awal perkahwinan sehinggalah perceraian berlaku tidak pernah merekodkan berapakah nafkah anak yang sesuai. Semuanya bergantung kepada bapa untuk memberikan nafkah semata-mata.

Ada juga keadaan perintah nafkah anak telah dikeluarkan oleh mahkamah tetapi tidak dikuatkuasakan oleh si ibu. Ini menyebabkan tekanan kewangan kepada si ibu. Hakikatnya, si ibu sememangnya berhak untuk menguatkuasakan perintah nafkah anak.

Bapa yang culas akan perintah nafkah anak menyebabkan mereka berisiko untuk dikenakan tindakan komital kerana menghina mahkamah, harta benda disita dan dijual atau hiwalah selaras dengan Seksyen 161 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998.

Terdapat juga perintah mahkamah yang memerintahkan nafkah dibayar secara potongan gaji oleh majikan. Si ibu perlu jelas berkenaan dengan hakikat ini. Seawal perceraian, ibu dan bapa wajar memutuskan berapakah banyak nafkah yang hendak diberikan, bilakah masa untuk menyemak sekali nafkah dan bagaimanakah ia perlu dilakukan?

Tuntasnya, perceraian itu bukanlah sesuatu yang diinginkan ketika pasangan berkahwin. Akan tetapi sekira berlakunya perceraian, maka pihak-pihak harus berlapang dada menyelesaikan isu pasca perceraian secara sepakatan. Ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memastikan kebajikan anak terpelihara. Si ibu tidak mempunyai pilihan untuk mengetahui hak untuk mereka perjuangkan. – UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN