KEJAYAAN 11 pelajar dari Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) membentuk WAU Rocketry yang merupakan pasukan pertama dari Malaysia layak dipilih untuk melancarkan roket dalam pertandingan Spaceport America Cup 2022 dari 21 hingga 25 Jun lalu membuka era baharu berkaitan jiwa anak muda hari ini.
WAU Rocketry adalah satu-satunya wakil negara berjaya mencipta sejarah dengan menyiapkan dan melancarkan roket berkuasa tinggi diberi nama Roket HEBAT pada pertandingan tersebut di Las Cruces, New Mexico bagi kategori 10000 feet Commercial of The Shelf.
Spaceport America Cup merupakan persidangan dan pertandingan pelancaran roket berkuasa tinggi antara universiti terbesar di dunia.
Kejayaan tersebut membuktikan anak-anak muda hari ini berjiwa besar dan mampu bersaing di pentas dunia jika diberi peluang. Mereka mampu berusaha gigih untuk menjayakan misi dalam menguasai teknologi aras tinggi.
Universiti dan semua pihak perlu memenuhi keperluan ini bagi membolehkan anak-anak muda kita terus berupaya melebarkan sayap dan bakat mereka bersaing di pentas dunia. Mereka perlu diberi peluang, sokongan dan dorongan untuk meneroka usaha seperti ini sama ada melalui peruntukan mahupun sokongan kepakaran yang ada.
Kejayaan anak-anak muda ini juga adalah hasil penat lelah penasihat dan kepakaran yang ada di universiti yang dikongsi bersama pelajar. Ini juga merupakan hasil pemikiran besar mereka di universiti untuk mencuba sesuatu yang baharu.
MULTINASIONAL
Anak-anak muda hari ini bukan sahaja hebat dalam kepimpinan, kesukarelawanan dan memberikan buah fikiran untuk kemajuan dan pembangunan negara serta masyarakat melalui perdebatan dan wacana ilmu tetapi juga berani menerokai teknologi tinggi sebagai memenuhi keperluan masa hadapan.
Mereka inilah bakal menjadi pemikir dan teknokrat ilmuwan masa hadapan yang akan memasuki dunia industri penuh cabaran. Anak muda kita hari ini telah pun berada dalam syarikat-syarikat multinasional bertaraf dunia melalui penguasaan teknologi tinggi terutama kejuruteraan. Malah setiap tahun, ramai siswazah kejuruteraan termasuk dari USM diterima bekerja di luar negara.
Anak-anak muda hari ini tidak hanya terlibat dalam aktiviti politik kampus tetapi juga melihat peluang-peluang yang ada melangkaui apa yang ada. Ramai juga mengambil bahagian dalam program-program keusahawanan sehingga berupaya menjana pendapatan besar.
Anak-anak muda khususnya mahasiswa perlu berani menerokai peluang dan cabaran baharu sesuai dengan perubahan-perubahan yang berlaku di seluruh dunia. Banyak lagi yang boleh diterokai oleh anak-anak muda kita. Bimbing mereka untuk berfikir dan mencapai impian yang ada.
Mereka yang leka dan masih dengan sikap selesa sukar untuk bersaing dan mencapai impian. Universiti bukan hanya tempat mendapatkan segulung ijazah tetapi membina kehidupan masa hadapan lebih bermakna. – UTUSAN
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Kanan di Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM).










