TRAGEDI kepala air dan banjir lumpur dari Gunung Inas baru-baru ini merupakan kejadian terbesar pernah berlaku di Kampung Iboi, Kupang di Baling sejak berpuluh tahun lalu. Ia antara yang terburuk di Kedah sehingga meragut nyawa tiga penduduk kampung itu. Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang pada 4 Julai lalu, ribuan pokok hutan tumbang dan dihanyutkan aliran air deras dari puncak Gunung Inas yang mempunyai ketinggian kira-kira 1,801 meter.
Selain Kampung Iboi, air mengalir laju melalui Sungai Kupang yang menempatkan Kampung Lata Celak, Padang Empang, Bukit Iboi, Bendang Padang, Bendang Pecah, Tok Saba, Tanjung Luas dan Kampung Hangus.
Kejadian kepala air itu juga memusnahkan harta benda penduduk seperti rumah, kedai, peralatan elektrik, perabot dan kenderaan selain fasiliti-fasiliti awam yang kerugian keseluruhan dianggarkan melebihi RM100 juta. Malah, sebuah jambatan konkrit yang menjadi laluan utama penduduk melintasi Sungai Kupang turut roboh dan strukturnya di atas permukaan sungai hanyut hampir 100 meter dari kedudukan asal.
Fenomena tersebut amat mengejutkan kerana ia adalah kali kedua seumpamanya berlaku dalam tempoh 12 bulan di dua lokasi berbeza selepas tragedi sama di Gunung Jerai, Yan yang mengorbankan enam nyawa pada 18 Ogos tahun lalu. Belum pun parut tragedi di Gunung Jerai itu sembuh, kini Gunung Inas pula memberi ‘amarah’ dek kerja-kerja tebus guna hutan simpan di situ yang dikaitkan sebagai antara punca utama yang menyumbang kepada bencana teruk.
Jika dahulu pusat perkelahan Lata Celak yang menjadi tumpuan pengunjung mandi-manda dan bersantai bersama keluarga masing-masing, kini yang tinggal hanyalah padang jarak padang tekukur.
Tiada lagi pondok-pondok wakaf di tebing Sungai Kupang yang memudahkan orang ramai berehat kerana yang ada ketika ini cuma longgokan kayu dan pokok hanyut serta timbunan pasir sungai yang memenuhi kawasan itu.
MUSANG KING
Struktur asal sungai berkenaan juga sudah berubah menjadi bertambah luas berbanding sebelum ini kerana tebing sungai yang semakin mengecil akibat dibadai kepala air. Tebing Sungai Kupang itu juga tidak lagi dipenuhi rumah penduduk Kampung Iboi apabila sebanyak 15 buah daripadanya tidak lagi berada di atas muka bumi kerana lenyap sepenuhnya dihanyut arus.
Kini mereka berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai serta menyambut Hari Raya Aidiladha pada Ahad lalu di lokasi itu kerana tiada lagi rumah untuk didiami.
Punca sebenar yang boleh mengukuhkan mengapa fenomena itu berlaku belum lagi dapat dirungkaikan dengan jabatan-jabatan berkaitan pun masih tidak mengeluarkan apa-apa dapatan hasil kajian profesional mereka setakat ini. Tetapi jika ditanya penduduk kampung, tidak lain tidak bukan mereka meletakkan ‘kesalahan’ itu terhadap projek tanaman Musang King yang ditukarkan daripada Ladang Rakyat untuk menanam raja buah itu di puncak Gunung Inas.
Ini kerana bagi warga emas yang kini berusia antara 70 hingga 80-an, mereka mengakui tidak pernah seumur hidup melihat tragedi yang amat dahsyat berlaku di situ melainkan hanya banjir biasa. Namun, sejak kira-kira empat tahun lalu, mereka mula menerima impak disebabkan gunung itu ‘diusik’ apabila bermula siri-siri banjir lumpur sebelum kemuncaknya pada petang, 4 Julai lalu.
Memang sepatutnya semua pihak termasuk penduduk kampung perlu menunggu laporan teknikal daripada jabatan yang bertanggungjawab untuk ‘menjatuhkan hukuman’ tetapi kesan yang dilihat sudah cukup menandakan ia bukan sekadar bencana geologi. Apatah lagi, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sendiri mendedahkan kemungkinan projek tanaman Musang King yang telah diarahkan berhenti operasi olehnya sebelum ini tidak mempunyai kelulusan berdasarkan laporan impak alam sekitar (EIA) yang dibuat.
Sudah mula episod tuding-menuding jari ketika ini kerana perubahan tampuk pemerintahan kerajaan negeri sejak lebih 10 tahun lalu yang berubah-ubah dan masing-masing menafikan zaman pemerintahan mereka sebagai punca. Maka, sewajarnya juga satu siasatan menyeluruh termasuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Awam atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dilakukan kerana kejadian di Gunung Inas wa-laupun sama seperti di Gunung Jerai tetapi faktor terjadinya tragedi itu mungkin berbeza. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kedah.










