Bertegas terhadap penghina agama - Utusan Malaysia

Bertegas terhadap penghina agama

Seorang penghantar makanan yang videonya tular di media sosial dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor baru-baru ini kerana menghina agama. – MINGGUAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Agama merupakan subjek yang suci dan amatlah sensitif pada semua penganutnya walau apa agama sekali pun.
Islam melarang penganutnya untuk menghina agama lain sebagaimana di dalam Surah Al-An’am Ayat 108 menyatakan seperti berikut: Dan janganlah kamu cerca benda-benda Yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas tanpa dasar pengetahuan.
Undang-undang di negara kita pun secara jelas memperuntukkan perkara ini. Di dalam Kanun Keseksaan terdapat dua peruntukan khas berkaitan isu ini iaitu Seksyen 298 menyatakan bahawa:
Barang siapa dengan sengaja berniat untuk melukakan perasaan agama seseorang, menyebut apa-apa perkataan atau membuat apa-apa bunyi dalam pendengaran orang jua atau membuat apa-apa isyarat dalam penglihatan orang itu atau meletakkan apa-apa benda dalam penglihatan orang itu, hendaklah dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai setahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, pelaku mestilah dibuktikan melakukan perbuatan itu dengan sengaja.
Sebagaimana di dalam kes Rex lawan Boulter, (1908), 72 JP 188, hakim di dalam kes ini ada menyatakan seperti berikut:
Seseorang itu bebas menyuarakan atau mengajar berkaitan hal keagamaan tetapi kami mengambil kira tempat seseorang itu bercakap dan orang yang menjadi pendengar.
Seseorang itu tidak bebas di tempat awam yang mana mereka yang berada di situ tidak bersedia untuk mendengar apa yang dia ingin katakan atau dengan tidak sengaja terdengar apa yang dikatakan atau di hadapan golongan muda.
Seseorang itu tidak bebas di tempat itu yang mana menggunakan perkataan kasar yang menghina terhadap agama yang dianggap suci pada kebanyakan orang ramai di negara itu.
Pada 3 Mac 2017 di Singapura, Imam Nalla Mohamed Abdul Jameel mengaku bersalah di Mahkamah Negara kerana membuat komen kontroversi terhadap penganut Kristian dan Yahudi.
Imam tersebut dihadapkan ke mahkamah, dengan satu tuduhan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaaan berhubung tindakan yang mengancam keharmonian agama.
Pada 15 Disember 2017 pula, sebuah mahkamah di Perak menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM15,000 ke atas seorang suri rumah berbangsa Tionghua selepas didapati bersalah atas tiga pendakwaan menghina Nabi Muhammad SAW di dalam sebuah masjid.
Seksyen 298 A adalah berkaitan melakukan perbuatan atas alasan-alasan agama untuk mencetuskan suasana tidak harmoni, perpecahan atau perasaan permusuhan benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan, pemeliharaan suasana harmoni atau perpaduan.
Iaitu barang siapa dengan perkataan sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan isyarat atau dengan pernyataan zahir atau mengelola, memajukan atau mengaturkan atau membantu dalam apa-apa aktiviti: Menyebabkan atau cuba menyebabkan atau berkemungkinan menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau perasaan permusuhan benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan atau cuba memudaratkan atau berkemungkinan memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.
Di atas alasan-alasan agama ini yang dilakukan oleh individu atau kumpulan yang menganut agama sama atau berlainan agama, hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih dari lima tahun boleh dikenakan. Tiada hukuman denda boleh diberikan dan tiada hukuman kelakuan baik juga dibenarkan bagi pesalah ini.
Di dalam seksyen ini terdapat satu isu serius sama ada Kerajaan Persekutuan boleh menggubal undang-undang berkaitan agama sebagaimana diputuskan di dalam kes Mamat Daud lawan Kerajaan Malaysia 1988. Di dalam kes ini perayu dituduh di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menjadi bilal dan imam yang tidak dilantik.
Di dalam kes ini Mahkamah Agung ketika itu menyatakan bahawa Seksyen 298A Kanun Keseksaan adalah tidak sah kerana ia satu peruntukan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mana Kerajaan Persekutuan tidak boleh membuat apa-apa undang-undang berkaitan agama Islam kerana kuasa itu adalah di bawah kerajaan negeri melainkan Wilayah Persekutuan dan Labuan.
Ini diikuti oleh keputusan di Mahkamah Rayuan di dalam Kes Tan Jye Yee dan Anor lawan PP (2015). Di dalam kes ini perayu dituduh di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan.
Perayu juga memohon untuk membatalkan pertuduhan di bawah Seksyen 298A dengan memohon deklarasi-deklarasi (i) bahawa Seksyen 298A adalah tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan hak kebebasan bersuara perayu di bawah perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan (Perlembagaan›); dan/atau (ii) bahawa Seksyen 298A adalah perundangan yang dibuat oleh Parlimen di bawah perkara. 11(4) Perlembagaan dan perenggan 4(k) (Senarai Persekutuan), Jadual Kesembilan Perlembagaan berkaitan agama Islam bagi Wilayah Persekutuan dan oleh itu tidak terpakai kepada perayu-perayu yang bukan beragama Islam. Di dalam kes ini diulangi mahkamah membenarkan rayuan perayu.
Maka kerajaan seharusnya mencari jalan penyelesaian berkaitan isu ini kerana ia melibatkan perkara serius jika tidak dibendung akan menular daripada kudis menjadi barah.
Bagi mereka yang beragama Islam pula tindakan-tindakan boleh diambil di bawah enakmen-enakmen kesalahan jenayah di negeri masing-masing yang kita lihat hanya melibatkan hukuman denda dan penjara yang singkat seperti Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang hanya memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.(Seksyen 9 dan 10)
Melihatkan isu ini semakin menular maka wajar bagi pihak berkaitan mengambil tindakan tegas dan segera bagi menjaga ketenteraman awam.

Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar ialah pengamal undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya