Berjimat biar bersasar

Berjimat biar bersasar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANGAT bagus. Itu adalah reaksi pertama apabila kerajaan melancarkan penjimatan perbelanjaan awam dengan kadar segera baru-baru ini. Penjimatan ini sangat bagus kerana menunjukkan kerajaan menyedari peri pentingnya penyusunan semula perbelanjaan mengurus yang lebih berhemah.

Penjimatan ini juga penting untuk berdepan keadaan ekonomi tidak menentu serta pergolakan geopolitik yang memberi kesan langsung kepada negara kita.

Sebaik-baik penjimatan adalah ketika kita berada dalam keadaan berlebihan. Keadaan demikian membolehkan kita menyusun dan merancang peruntukan dan perbelanjaan dengan baik.

Masa yang sama mengamalkan penjimatan tidak ada ruginya, apa lagi dalam menguruskan wang yang dikutip daripada pelbagai cukai ke atas rakyat.

Oleh hal yang demikian, amalan berjimat mesti berlaku dari atas ke bawah. Mereka yang di bawah kerap mengikut teladan orang yang berada di atas. Maka di peringkat menteri dan timbalan menteri mesti berupaya menunjukkan amalan baik ini kepada penjawat awam.

Selari dengan penjimatan ini, semua yang menteri harus mengurangkan urusan di luar negara, kecuali yang tidak dapat dielakkan. Berilah kepercayaan dan laluan kepada pegawai yang berkelayakan dan arif. Sekiranya menteri pergi ke luar negara, rakyat bukan sahaja menanggung segala elaun menteri, tetapi juga pegawai yang berada di sekeliling menteri.

Suatu ketika dahulu sekitar 1997 dan 1998 negara kita pernah dilanda kegawatan ekonomi yang teruk. Disebabkan ekonomi bercempera, nilai ringgit juga menjunam dan pada prinsipnya negara ‘kehilangan’ begitu banyak wang. Kerajaan mengambil langkah drastik mengarahkan penjimatan kepada semua kementerian.

Penjimatan kali ini tentu menjadi bermakna lagi kalau dikurangkan sekecil yang mungkin acara di hotel-hotel mewah. Tidak usahkan hendak ‘biar papa asal bergaya.’ Sekarang ini kerajaan berdepan dengan kesempitan wang. Keadaan sebenar ini mesti difahami dari atas sampai ke bawah.

Perlu juga mengurangkan acara yang penuh dengan ‘makan-makan’ misalnya makan tengah hari atau makan malam. Bukan sahaja dianjurkan oleh kementerian tetapi juga pihak swasta.

Menteri boleh memainkan peranan iaitu hanya akan hadir di majlis yang diadakan secara sederhana.

Dijangka sebanyak RM5 bilion hingga RM6 bilion dapat dijimatkan pada penjimatan yang besar-besaran ini. Walaupun jumlahnya hanya lima peratus daripada peruntukan mengurus yang diluluskan dalam Bajet 2022, tetapi nilainya besar kerana ini amanah rakyat.

Langkah penjimatan ini pula mesti bersasar. Pertama sekali melihat semula kewajaran pembayaran elaun tertentu kepada menteri dan timbalan menteri. Sekiranya didapati sesuatu elaun itu tidak perlu, jangan teragak-agak untuk memansuhkan dengan segera.

B40

Pemimpin bukan sekadar bercakap sahaja berjiwa rakyat, tetapi mesti membuktikan dengan perbuatan. Rakyat yang berpendapatan rendah sudah tidak berjimat lagi. Tidak ada apa yang hendak jimatkan kerana selalu tidak mencukupi. Kalau satu dua elaun menteri dimansuhkan pun tidak menjejaskan tugas mereka kepada rakyat.

Misalnya, ada mendakwa elaun meletak kereta menteri dan timbalan menteri pun boleh tahan juga jumlahnya. Sudah lebih pendapatan sebulan golongan B40. Padahal mereka tidak meletak kereta di tempat berbayar – sama ada semasa bertugas atau tidak. Ini hanya sebagai contoh.

Arahan penjimatan ini sebenarnya tidak boleh hingga menjejaskan operasi di semua kementerian. Pentadbiran kerajaan perlu berjalan seperti biasa dan tidak ada perubahan yang ketara dan tidak menjejaskan khidmat kepada rakyat.

Misalnya kalau hendak berjimat sekalipun, Kementerian Pendidikan perlu segera mengatasi bebanan guru-guru yang terpaksa membeli kertas A4 sendiri untuk kegunaan sekolah.

Memanglah murah tetapi kalau dikumpulkan pasti membebankan guru-guru.

Guru terpaksa membeli kertas A4 bukan cerita rekaan atau dongeng. Perkara ini benar-benar berlaku sebelum penjimatan dilancarkan.

Kementerian Pendidikan tidak boleh menggadaikan pendidikan untuk generasi akan datang sebagai langkah penjimatan. Definisi penjimatan adalah bukan memotong peruntukan tetapi membelanjakan secara berhemah. Oleh itu kalau terus membiarkan guru membeli kertas A4 sendiri bukanlah penjimatan, tetapi salah urus.

Kementerian juga perlu bertindak segera menambah jumlah kakitangan untuk membuat kerja-kerja pentadbiran di sekolah. Sebelum ini kerja-kerja perkeranian dilakukan oleh guru dan ini telah menjejaskan tugas hakiki mereka sebagai pendidik.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pula tidak perlu berjimat dengan tidak menyerapkan doktor kontrak ke jawatan tetap. Kementerian Kesihatan tentu ada angka-angka menunjukkan kekurangan doktor yang begitu kritikal di kebanyakan hospital tetapi sehingga kini belum ada penyelesaian.

Disebabkan kekurangan doktor, banyak dalam kalangan doktor yang ada terpaksa bekerja melampaui masa selayaknya. Doktor adalah barisan depan yang sangat penting, tetapi cuba bayangkan tekanan terpaksa mereka hadapi apabila dalam keadaan begitu?

Apakah titik halangannya yang membuatkan banyak doktor kontrak tidak boleh diserapkan ke jawatan tetap? Bertahun-tahun masalah ini berlarutan tetapi keadaan tidak juga berubah.

Kalau hendak berjimat pun pilihlah perkara lain. Kekurangan doktor yang kritikal boleh mengancam nyawa manusia.

Tidak adillah kalau penjimatan difahami sebagai mengurang atau memotong peruntukan. Ada bidang yang tidak kritikal boleh sahaja dikurangkan peruntukan. Tetapi peruntukan di bidang kesihatan, pendidikan dan keselamatan misalnya tidak boleh dikurangkan dengan sewenang-wenangnya.

Walaupun begitu dalam keadaan sekarang, masa depan doktor kontrak ke jawatan tetap begitu tipis. Ketika sebelum penjimatan pun pihak tertentu sangat ‘liat’ untuk menyerapkan doktor kontrak, apa lagi selepas diarah berjimat.

Dalam keadaan kita menyambut baik penjimatan oleh kerajaan, masa sama mesti disasarkan serta tidak dipukul rata – semua kementerian mesti berjimat. Kerajaan jangan hilang matlamat malah sentiasa memantau supaya penjimatan ini memberi manfaat dan bukan sekadar mengurangkan perbelanjaan sahaja. – UTUSAN

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN