BAGAIKAN ada rindu terpendam dalam kalangan rakyat di kebanyakan negara di dunia, mahu melihat politik negara mereka teguh stabil, pemulihan ekonomi yang segar serta suasana kehidupan tiada dikejar keresahan. Malaysia, walau pun indeks kesejahteraannya tidak seteruk dialami di sesetengah negara, namun tetap merasai tempias yang sama.
Rakyat mahu politik negara benar-benar kembali stabil agar tiada gangguan yang boleh menggugat perancangan dan pelaksanaan pembangunan. Parlimen perlu didominasi oleh peneraju kerajaan yang memiliki majoriti dua per tiga supaya persidangan Dewan Rakyat tidak ‘diremeh’ sebagai pentas membuat ugutan atau ancaman kepada kerajaan.
Segalanya perlu dilihat berjalan lancar. Rakyat perlu diyakinkan dengan kedudukan ekonomi yang mapan. Mereka mengharapkan kebajikan dan nasib terbela. Kedudukan ekonomi yang sihat mampu mensejahterakan hidup rakyat. Yang susah dibantu, yang senang terus menikmati kemajuan bersama.
Sistem pendidikan dan pembelajaran perlu ada jaminan bagi menentukan generasi bersilih ganti tetap gagah menongkah cabaran, menelusuri keadaan. Di samping modal insan negara tiada berkurang.
Rakyat tidak kira di kampung atau di bandar mahu nasib mereka diberi pembelaan sewajar. Mereka misalnya mengharapkan ada pendekatan berkesan menghadapi inflasi. Mereka mahu kenaikan harga barangan keperluan dapat dibendung dan ditangani dengan sebaiknya. Semua pihak tidak bersedia berada dalam suasana yang serba sukar.
Catatan ringkas ini menggambarkan aspirasi rakyat. Tentang apa yang rakyat harapkan pada sesebuah kerajaan yang mereka pilih atau bakal diberi mandat dalam setiap pilihan raya umum (PRU).
Yang pasti, rakyat mahukan kestabilan, kemajuan dan kemakmuran. Justeru, timbul persoalan: “Apakah fokus, agenda atau gelombang yang dapat ditawarkan oleh pihak politik yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi?”.
Persoalan ini timbul apabila rakyat menoleh ke belakang, melihat dan merasai apa yang pernah berlaku khususnya pada PRU14 lalu. Rakyat kecewa kerana kerajaan yang diberi mandat atas asas mahu mencuba peralihan kuasa itu tidak menepati harapan. Banyak kecelaruan berlaku sehingga tiga kali berlaku pertukaran ketua negara.
Berdegar-degar menabur janji, namun banyak yang gagal ditepati. Beribu alasan diberi. Peliknya, sampai kini masih ada yang tergamak menyebut: “Kalau saya jadi Perdana Menteri, harga minyak turun!”. Tidak tahulah jika rakyat masih meletak kepercayaan tinggi.
Nyatalah, memilih sebuah kerajaan bukan semudah mengikut perasaan hati. Elak terpesona dengan propaganda dan provokasi. Juga, perlu dielak terpengaruh dengan elemen berbaur hasutan, marah dan benci yang disebar oleh golongan yang terselit agenda semata-mata untuk tujuan politik dan mengambil-alih pemerintahan negara. Rakyat sudah tentu pandai menilai.
Semua tahu, gelombang yang dibawa pada PRU14 lalu adalah untuk menumbangkan kerajaan yang ada sambil mahu mengnyahkan pemimpin utama ketika itu. Pelbagai dakwaan melingkari suasana dan menerjah peribadi pemimpin berkenaan. Gelombang terus melambung dan gerakan menumbang kerajaan semakin memuncak.
Apa yang terhasil, keghairahan menukar kerajaan akhirya bertemu dengan ketidakstabilan. Rupa-rupa pakatan yang baharu tidak seteguh yang sebelumnya. Beza yang ketara, jika diberikan kepercayaan kepada yang lama, pendekatan pembangunan dan tadbir urus negara hanya bersifat terus berjalan tanpa kerencatan. Berbanding dengan pakatan baharu menubuh kerajaan, terpaksa terkial-kial mencari tapak memulakan perjalanan.
PRU15
Jadi, menjelang PRU15 rakyat mahu melihat apa gelombang apa yang bakal dibawa oleh parti-parti politik bagi dijadikan wadah pertaruhan untuk rakyat dan negara. Jangan salahkan rakyat jika mereka lebih peduli dan lebih hati-hati terhadap apa yang bakal mendatangi mereka.
Perlu diingat bahawa peratusan pengundi baharu dan pengundi muda (Undi18) agak tinggi. Golongan ini berupaya mencorak keputusan PRU nanti. Oleh itu, kebajikan dan keperluan mereka perlu diambilkira.
Rata-rata menyuarakan harapan untuk mendapat sebuah kerajaan yang mantap, kuat ikatan gabungannya serta ‘matang’ dalam mengatur urus-tadbir negara.
Matang ialah mampu memahami dan menghayati denyut nadi sebenar rakyat di samping berpijak di atas struktur asas kenegaraan yang tersendiri sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ramai mengakui bahawa politik itu penting, tetapi lebih selesa dirasa, lega bagi semua jika dikurangkan bermain politik sehingga seolah-oleh tujuan sebenar berpolitik itu terabai dan matlamatnya tidak tercapai.
Rakyat mengharap keperluan semasa dan jaminan survival masa depan. Yang penting hadirnya bersama sifat jujur dan kandungan tawaran yang munasabah.-UTUSAN
DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.










