SEJAK kebelakangan ini, isu melibatkan bekalan makanan menjadi perhatian dan perbualan rakyat. Isu ini bukan terpencil, bahkan boleh menjadi bom jangka. Kesannya amat dirasai oleh rakyat apabila semakin bertambah barangan khususnya makanan meningkat harga jualannya. Isu kenaikan harga barang keperluan harian amat meresahkan dan membimbangkan rakyat terutama golongan B40 dan M40.
Bukan sahaja barangan makanan naik harga, ia turut melibatkan kenaikan barangan lain seperti alat ganti kenderaan termasuk bateri, tayar, minyak enjin. Perkara sama juga terjadi kepada bahan binaan yang akhirnya berpotensi untuk mendorong kepada kenaikan harga rumah. Terbaharu, terdapat perbincangan berkaitan harga siling gula yang juga berpotensi untuk naik dengan mengambil kira situasi semasa.
Disebabkan situasi yang semakin merisaukan ini, maka kerajaan mengambil lima langkah jangka pendek untuk mengawal harga barang iaitu memansuhkan keperluan lesen import (AP) terhadap sebahagian komoditi agromakanan, menyekat pengeksportan ayam, memperkenalkan bantuan kewangan secara terus kepada rakyat terutama golongan B40 mulai 1 Julai 2022, mewujudkan Tabung Agromakanan dengan dana RM500 juta melalui pinjaman mudah kepada pemain industri dan mewujudkan stok penimbal untuk ayam, daging dan ikan bagi memastikan bekalan mencukupi.
Kelima-lima langkah ini dilihat mampu untuk mengawal harga barang daripada meningkat secara signifikan dalam jangka masa pendek sahaja. Selagi kita bergantung kepada barangan import, maka kemungkinan untuk harga barang terutama makanan untuk terus meningkat adalah tinggi.
Isu kenaikan harga barangan sebenarnya jika dilihat secara menyeluruh telah berlaku sebelum-sebelum ini. Namun mutakhir ini, kenaikan harga barangan berada pada tahap merisaukan.
Sebagai contoh, tahun lepas harga runcit ayam pernah naik pada kadar RM9.45 sekilogram (sekg). Namun, ketika ini harga ayam yang dijual di sebahagian tempat melebihi RM10 sekg, bahkan ada melebihi RM11 sekg. Angka peningkatan ini sesuatu yang amat merisaukan, bahkan dalam masa sama dan merumitkan keadaan adalah kenaikan harga barang makanan lain seperti ikan dan sayuran.
Sebagai contoh, antara jenis ikan yang naik mendadak adalah kembung sekitar RM17 sekg dan siakap RM20 sekg. Harga sayuran juga dilaporkan naik antara 30 hingga 50 peratus berikutan kekurangan bekalan sesetengah jenis sayuran disebabkan perubahan dan keadaan cuaca tidak menentu, masalah penyakit dan kekurangan tenaga buruh selain kenaikan mendadak harga baja.
Semua kenaikan harga ini memberi kesan kepada pola pembelian rakyat secara keseluruhannya. Sebagai contoh, walaupun bekalan ayam masih belum berada pada paras seperti sebelum ini, namun peniaga menghadapi kesukaran untuk menjual ayam disebabkan harga yang dijual di sebahagian tempat adalah sekitar RM10 ke RM11 sekg.
Peniaga terpaksa menjual pada harga tersebut untuk membolehkan mereka memperoleh sedikit keuntungan dengan mengambil kira bekalan ayam yang masih terhad.
Peniaga sayur pula dilaporkan memperoleh hasil jualan berkurangan kesan daripada jumlah pelanggan yang semakin menurun disebabkan kenaikan harga.
LONGGOK
Situasi sama turut melanda peniaga ikan yang mana penurunan penjualan disebabkan kenaikan harga. Berdasarkan laporan media, peniaga ikan hanya mampu untuk memperoleh keuntungan 50 sen ke RM1 sekg. disebabkan harga yang dibeli daripada pemborong naik secara signifikan. Malah terdapat ikan yang terpaksa dijual secara longgok kerana hampir busuk akibat tidak laku disebabkan oleh kemerosotan pola pembelian.
Bagi membantu mengawal harga barang, kerajaan perlu segera mengurangkan kebergantungan kepada barangan import khususnya bekalan makanan. Selagi kita bergantung kepada barangan import, selagi itulah masalah kenaikan harga barang tidak akan selesai.
Kita perlu tingkatkan pengeluaran bekalan di dalam negara untuk memenuhi keperluan rakyat terlebih dahulu. Apabila pengeluaran dapat menampung permintaan dalam negara maka harga barang dapat dikawal dengan lebih berkesan.
Justeru, kerajaan perlu memperluaskan program agropreneur (usahawan tani) di pelbagai kawasan dan lokaliti. Sebelum ini saya mengesyorkan kerajaan melaksanakan penanaman sayuran berskala besar melibatkan pelbagai jenis yang boleh menghasilkan pengeluaran segera.
Saya juga telah mencadangkan menyewakan tanah milik kerajaan secara percuma selama dua tahun dan boleh diperbaharui tempoh penyewaan untuk mengusahakan tanaman berasaskan sayuran yang mampu menampung keperluan makanan rakyat sekiranya berlaku krisis luar biasa.
Sebagai permulaan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM dengan kerjasama QSR Brands (M) Holdings Berhad mengambil inisiatif melaksanakan Projek Pembangunan Agropreneur Asnaf: Fertigasi Cili di Kampung Sungai Petai, Changkat Jering, Perak. Projek permulaan ini menggunakan tanah milik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkeluasan kira-kira 2,814 meter persegi tanpa sebarang sewaan. Inisiatif ini juga dapat membantu meningkatkan pendapatan usahawan tempatan selain pengeluaran cili yang mencukupi bagi menampung keperluan di kawasan itu. Hasil pendapatan juga dapat disalurkan kepada komuniti yang memerlukan khususnya B40. Inisiatif ini boleh diteruskan di kawasan lain secara meluas bagi menampung keperluan makanan dalam negara. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Anuar Shah Bali Mahomed ialah Pensyarah Kanan di Sekolah Perniagaan & Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM).










