Tidak tahu bila pula kita akan ditimpa musibah

Tidak tahu bila pula kita akan ditimpa musibah

NAIB Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan mendengar kisah Ashri Haya (kiri) yang menumpangkan R. Kevin, baru-baru ini. – IHSAN USM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini tular kisah seorang siswazah Universiti Sains Malaysia (USM) yang sedang dalam perjalanan untuk menghadiri konvokesyennya, berdiri sambil memegang jubah di atas Jambatan Pulau Pinang, mengharap bantuan orang ramai yang lalu untuk menumpangkannya ke majlis itu. Kereta milik keluarga R. Kevin, 28, yang dari arah Seberang Jaya tersangkut di tengah-tengah jambatan akibat kesesakan lalu lintas berikutan berlaku kemalangan maut melibatkan lori.

Nasibnya baik apabila Ashri Haya, 50, tahun, yang kebetulan melalui Jambatan Pulau Pinang dengan menunggang motosikal jenis kapcai menumpangkannya ke kampus. Ashri tidak perlu tahu pun siapa Kevin. Dia membantu penuh ikhlas.

Kevin, siswazah sarjana pentadbiran perniagaan tiba tepat pada waktunya untuk mengikuti peristiwa besar dalam hidupnya, iaitu menerima ijazah.

Ini adalah antara peristiwa harian yang sering kita saksikan dalam kehidupan masyarakat. Sikap prihatin tanpa mengenal sesiapa walau apa pun perbezaan yang ada dan tanpa perlu mengenali satu sama lain.

Keprihatinan seperti ini menjadi petanda penting terhadap perpaduan masyarakat yang akrab. Sikap seperti inilah yang perlu dipupuk terus dalam kalangan masyarakat demi kelangsungan dan kesejahteraan bersama.

Peristiwa dilalui oleh Kevin mengingatkan saya dengan sikap prihatin ditunjukkan oleh masyarakat ketika membantu beberapa pelajar yang berhadapan masalah kewangan ketika bertugas di Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM. Antaranya, seorang pelajar ingin menangguhkan pengajiannya kerana masalah kewangan keluarga. Ayahnya sakit terlantar di hospital dan ibunya tidak bekerja. Adik-adiknya seramai empat orang masih bersekolah.

Universiti membantu tetapi terhad kepada tabung yang ada. Jadi, saya ambil keputusan menulis kisahnya di media sosial, merayu bantuan orang ramai yang prihatin. Hasrat saya ialah memastikan pembelajaran pelajar ini tidak terganggu.

Pelajar ini ketika sebelum pandemik Covid-19 bekerja sambilan di kompleks perniagaan atau hotel untuk menampung pengajiannya. Sebahagian wang pinjaman pendidikannya digunakan untuk membantu keluarga. Ayahnya sebelum sakit bekerja di pasar malam manakala emaknya membantu di kedai makan.

Dalam masa seminggu selepas kisahnya dikongsi di media sosial, ramai menghulurkan bantuan hingga mencecah hampir RM10,000.

Yang menariknya, ada pertubuhan sukarela tampil membantu melalui sumbangan ahli-ahlinya. Ada yang sumbang kipas angin, dapur memasak dan keperluan rumah lain.

Mereka juga berusaha mendapatkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk keluarga ini.

Pertubuhan sukarela tersebut juga mengajar emak pelajar ini menyediakan nasi dagang untuk jualan serta menghadiahkan beg bagi melakukan penghantaran makanan untuk diusahakan oleh pelajar tersebut. Ini adalah kaedah terbaik untuk kelangsungan hidup keluarga ini dengan berniaga secara kecil-kecilan.

WIRA

Seorang lagi pelajar dari Johor berhadapan masalah sama. Ayahnya sakit kanser dan ibunya tidak bekerja. Saya meletakkan kisahnya di media sosial dan meminta bantuan pertubuhan setempat.

Pelajar ini mendapat sumbangan besar dan dapat berdikari melalui modal yang disumbangkan oleh orang ramai. Dia dapat melakukan perniagaan dalam talian dan bekerja sambilan ketika belajar apabila pandemik Covid-19 mulai reda.

Malah dalam tempoh pandemik pada 2020 dan 2021, staf USM membuat potongan gaji sukarela untuk membantu pelajar sehingga membolehkan universiti membekalkan komputer riba dan memberi bantuan-bantuan lain kepada mereka yang memerlukan untuk pembelajaran dalam talian.

Ini adalah antara kisah-kisah yang saya lalui sendiri yang menunjukkan keprihatinan masyarakat kepada penderitaan dan kesusahan orang lain. Banyak lagi kisah yang boleh kita baca dan dengar ketika negara ditimpa bencana sama ada yang menjadi wira ditampilkan dan tular di media atau yang melakukannya secara diam-diam.

Sikap seperti ini perlu terus diperkasakan secara berterusan. Jika ini dapat dilakukan, kita akan dapat selesaikan banyak masalah dan cabaran yang dihadapi masyarakat hari ini. Masalah-masalah jenayah, penagihan dadah, penganiayaan kanak-kanak dan banyak lagi mampu diatasi jika sikap peduli, ambil berat dan prihatin dengan tulus ikhlas ini ditanam dalam jiwa kita.

Ini bukan bermakna menjaga tepi kain orang tetapi berusaha untuk menolong sebaik mungkin. Kemahiran menolong ini sangat berguna dalam mewujudkan masyarakat madani dan sejahtera.

Saya selalu kagum dan menghormati pertubuhan sukarela yang mengambil berat tentang masyarakat. Banyak yang boleh dilakukan jika kita belajar daripada mereka khususnya bagaimana mereka membantu orang lain untuk keluar daripada masalah dan mengurangkan bebanan yang ditanggung. Apatah lagi kesanggupan mengorbankan masa dan tenaga untuk membantu mereka yang sangat memerlukannya.

Kita tidak pernah tahu, bila pula kita akan berhadapan dengan musibah. Bila kita menghadapinya, kita tidak pernah tahu siapa yang akan menghulurkan tangan untuk membantu. Seperti mana Kevin tidak pernah menduga, suatu hari nanti, seorang lelaki bernama Ashri akan menolongnya. – UTUSAN

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Kanan di Pejabat Najib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN