DALAM konteks sains politik, nasionalisme merupakan ideologi yang paling berkuasa dan berpengaruh pada hari ini. Sarjana, Leon Baradat mendefinisikan nasionalisme sebagai satu bentuk semangat ‘kekitaan’ yang dilazimi oleh ciri-ciri biologi sosial dalam sesuatu ruangan kewilayahan.
Asas kepada pembentukan ideologi ini dipercayai bermula pada 1648 di mana implikasi daripada Perjanjian Westphalia mula memposisikan negara bangsa sebagai sebuah institusi yang mendominasi segala aspek kehidupan manusia. Keterangkuman semangat nasionalisme ini berpaksikan kepada keselarasan sosial, politik dan ekonomi.
Tidak kurang juga diterjemahkan sebagai sikap marah yang timbul dalam sesuatu kelompok masyarakat ke atas campur tangan penjajah terutama sekali dalam konteks pentadbiran kolonial. Malah menurut catatan kesarjanaan yang pernah direkodkan dalam sejarah politik dunia, nasionalisme telah diangkat sebagai satu ideologi tuntas bertujuan menyatupadukan masyarakat yang berpecah belah.
Konseptual seperti ‘perlindungan’ pula merupakan asas kepada pembentukan hujah yang sering kali dilemparkan oleh ejen nasionalis untuk menguatkan lagi sesuatu penghasilan berkaitan makanan di dalam negara sendiri dan seterusnya merangsangkan lagi dapatan ekonomi tempatan. Ia dihujahkan bahawa integrasi ideologi nasionalisme ini adalah signifikan bagi Malaysia untuk kekal relevan dalam usaha melindungi keselamatan makanannya.
Akibat peperangan antara Russia dan Ukraine, fenomena itu memberikan implikasi yang kritikal terhadap rantaian makanan dan dijangkakan terdapat peningkatan harga melibatkan beberapa barangan tertentu. Dalam konteks Malaysia, kekurangan bekalan dan kenaikan harga ayam menjadi tumpuan awam dan ia mula dirasai oleh pengguna dan akibat daripada itu, kerajaan mula mengambil langkah drastik dengan menghentikan pengeksportan bekalan ayam kepada negara luar bermula Jun ini.
Krisis makanan juga mendorong beberapa negara lain seperti India dan Indonesia beralih ke arah nasionalisme makanan dengan melarang pengeksportan gandum dan minyak sawit.
Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut berhujah bahawa keputusan untuk menghentikan pengeksportan itu diambil bagi memastikan harga dan penghasilan di dalam negara menjadi stabil dan keutamaan pada waktu ini adalah rakyat. Kenyataan Perdana Menteri ini juga selaras dengan kedudukan teoritikal yang ditawarkan oleh saintis politik, Michael Roskin dan Nicholas Berry di mana punca kuasa kepada identiti nasionalisme adalah rakyat.
Walaupun Malaysia masih belum lagi tersenarai dalam kalangan negara-negara berisiko tinggi dan berpotensi untuk rantaian sumber makanan terjejas sepenuhnya, namun kerangka nasionalisme makanan ini memberikan beberapa indikator penting sebagai tulang belakang kepada formulasi dasar keselamatan makanan.
Seperti contoh di Jepun, isu keselamatan makanan mula meraih perhatian seawal 1800 dan ia merupakan satu isu politik yang kerap kali dimainkan apabila kerajaan negara itu melindungi pengeluaran makanannya daripada terus dihimpit oleh persaingan antarabangsa.
PBB
Dalam erti kata lain, nasionalisme khusus melibatkan sumber makanan ini hanya boleh dicapai melalui sentuhan dasar bersifat kolektif. Pada 2000, Russia mengurangkan kebergantungan import dan mula menjurus kepada dasar penghasilan dalam negara dengan menelan perbelanjaan ratusan bilion. Keselamatan makanan merupakan tujuan asas dalam kalangan pembuat dasar di Russia dan negara itu juga mengukuhkan nasionalisme ekonomi mereka dengan bersandarkan kepada kepentingan negara.
Dalam hal ini, negara semiautoritarian tersebut jelas meletakkan isu keselamatan mereka selaras dengan dasar-dasar lain seperti ekonomi dalam negeri dan perdagangan luar.
Untuk merealisasikan ideologi seumpama ini, perlunya berlaku satu perubahan besar di dalam acuan mentaliti yang tidak terikat kepada saranan kapitalis global. Seperti yang dihujahkan oleh Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), David Beasley di mana tindakan Russia menyekat laluan pengeksportan bekalan makanan Ukraine ke negara luar merupakan satu deklarasi perang ke atas keselamatan makanan global.
Ini akan memberikan kesan secara langsung kepada beberapa negara luar yang mempunyai kepentingan makanan dengan Ukraine. Jikalau stok dan bekalan seperti gandum gagal untuk dieksport maka peningkatan harga akan berlaku dengan drastik dan kemungkinan besar negara-negara khususnya dunia ketiga menghadapi isu kesihatan seperti kekurangan nutrien.
Ideologi nasionalisme baharu ini jelas menggesa sesebuah negara itu agar boleh bergantung pada diri sendiri dengan mengoptimumkan segala sumber yang ada bertujuan melindungi orang ramai daripada terkesan dengan percaturan politik global yang sedang berlaku pada waktu ini. Walaupun negara sebelum ini pernah terkesan dengan pandemik global Covid-19 yang meragut jutaan nyawa tetapi masih lagi kekal konsisten memastikan keselamatan makanan berada pada tahap yang baik dan bekalan sentiasa mencukupi selaras dengan jumlah populasi sedia ada.
Walaupun dasar menghentikan eksport bekalan ayam turut memberikan kesan kepada negara jiran seperti Singapura kerana negara itu sekurang-kurangnya mengimport sekitar 30 peratus daripada Malaysia, namun ini adalah harga politik ekonomi yang perlu dibayar.
Di samping itu, dengan mengambil kira segala aspek yang menepati piawaian ideologi ini, ia juga menyumbang secara langsung kepada pengukuhan ekonomi tempatan dengan mewujudkan peluang pekerjaan. Dengan itu, fenomena ketidakselamatan ini mungkin tidak akan berlaku jika Malaysia menilai sepenuhnya pengalaman luar dari sudut dan kerangka global dan mengoperasikan sepenuhnya ideologi nasionalisme makanan di peringkat akar umbi.
Untuk merealisasikan agenda ini, perlu ada kesedaran dan kesatuan politik yang mendalam untuk menghasilkan ideologi nasionalisme baharu ini. – UTUSAN
DR. Ariff Aizuddin Azlan ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM).










