Suami didera isteri malu buat laporan?

Suami didera isteri malu buat laporan?

MINGGU lalu, pelbagai pandangan diberikan oleh netizen berhubung keputusan mahkamah melibatkan kes Johnny Depp (kanan) dan isterinya, Amber Heard (kiri). – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SUAMI dan isteri adalah manusia yang setaraf tetapi mempunyai peranan yang berbeza. Dalam lingkungan undang-undang negara, kedua-dua mendapat perlindungan yang sama. Tiada sesiapa berhak melakukan keganasan rumahtangga terhadap pasangannya atau anak-anaknya atau warga keluarga yang lain.” – Petikan alasan penghakiman Pendakwa Raya lawan Ismahairi Ismail yang diputuskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Awang Armadajaya Awang Mahmud.

Minggu lalu, kandungan media sosial dipenuhi dengan keputusan melibatkan Johnny Depp dan Amber Heard. Pelbagai pandangan diberikan oleh khalayak, baik secara ilmiah ataupun emosi. Apa pun, kes Johnny Depp tersebut telah selesai dan diputuskan setakat ini.

Namun sekiranya dilihat dari skop yang holistik, kes ini menunjukkan bahawa keganasan dalam rumah tangga boleh berlaku kepada keluarga sesiapa sahaja. Bagaimana pula di Malaysia? Di negara ini juga terdapat banyak kes yang melibatkan keganasan rumah tangga. Cuma kes ini ada yang mendapat liputan dan ada tidak dilaporkan oleh media. Bahkan terdapat juga kes yang tidak diadukan atas alasan sosial seperti sayangkan anak, malu kepada ayah dan mak dan sebagainya.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, kes keganasan rumah tangga meningkat sebanyak 42 peratus pada 2021 berbanding 5,260 kes yang dilaporkan pada 2020. Statistik kes keganasan rumah tangga di Malaysia juga ada merekodkan keadaan di mana suami menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Namun, tidak dinafikan bahawa mangsa keganasan rumah tangga kebanyakan melibatkan wanita.

Di Malaysia juga terdapat kes keganasan rumah tangga melibatkan artis atau selebriti terkemuka. Kes-kes ini ada yang telah dibicarakan dan diputuskan oleh mahkamah.

Tetapi terdapat juga kes yang baru sahaja dituduh seperti melibatkan seorang artis lelaki yang didakwa atas kesalahan memukul dan mencederakan bekas isterinya.

Terdapat juga artis yang disiasat kerana disyaki memukul isteri yang sedang berpantang.

Kes Johnny Depp yang berlaku sebenarnya sedikit sebanyak membuka mata dan perhatian masyarakat sekeliling. Sama ada masyarakat sedar atau tidak, terdapat satu undang-undang khusus untuk keganasan rumah tangga iaitu Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521). Keganasan rumah tangga ditafsirkan di Seksyen 2 sebagai perbuatan yang antaranya ialah meletakkan mangsa dalam kecederaan fizikal, mendatangkan kecederaan fizikal, memaksa mangsa dan mengancam melakukan perbuatan seksual, mengurung atau menahan tanpa kerelaan, khianat atau merosakkan harta dengan niat menyebabkan kesedihan atau kegusaran.

Mangsa keganasan boleh terdiri daripada isteri atau suami, bekas pasangan, kanak-kanak, orang dewasa tidak berkeupayaan atau mana-mana anggota lain keluarga.

Selanjutnya di bawah Seksyen 3 Akta 521 menetapkan bahawa akta ini hendaklah dibaca secara bersama dengan Kanun Keseksaan (Akta 574). Malah merujuk kepada Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga, kesalahan melibatkan keganasan rumah tangga adalah satu kesalahan yang boleh ditangkap.

TABU

Akta 521 sebenarnya merupakan satu akta yang signifikan untuk melindungi mangsa keganasan rumah tangga ini. Misalnya, dalam Seksyen 3A Akta 521 memperuntukkan keadaan yang membolehkan Perintah Perlindungan Kecemasan diberikan kepada mangsa.

Selain itu, mahkamah boleh sementara menunggu penyiasatan berhubung kes keganasan rumah tangga selesai, mengeluarkan Perintah Perlindungan Interim bagi menghalang pelaku menggunakan keganasan rumah tangga terhadap mangsa. Ini adalah selaras dengan Seksyen 4 Akta 521 ini.

Seksyen 5 Akta 521 juga selanjutnya memperuntukkan kuasa mahkamah untuk mengeluarkan perintah perlindungan bagi melindungi mangsa keganasan rumah tangga. Tidak cukup dengan itu, Akta 521 ini juga memberikan kuasa kepada mahkamah untuk mendengar tuntutan pampasan boleh diberikan kepada mangsa yang mengalami kerugian ataupun kecederaan.

Berdasarkan peruntukan yang dinyatakan dalam Akta 521 ini, jelas menunjukkan bahawa akta ini sememangnya berniat untuk melindungi mangsa daripada pelaku.

Namun, cabaran terbesar dalam kes keganasan rumah tangga adalah keberanian mangsa untuk tampil ke hadapan, lebih-lebih lagi sekiranya mangsa adalah lelaki dan pelakunya adalah isteri. Ia akan menjadi satu isu tabu dan sesuatu yang aib untuk dilaporkan.

Ia juga satu cabaran sekiranya si pelaku mempunyai kedudukan yang tinggi dan dipandang mulia oleh masyarakat di sekitarnya. Jadi, segala keganasan dialami hanya disimpan dalam hati di sebalik senyuman yang mungkin diukir apabila disapa kelak.

Kesannya, pelaku akan terus bebas untuk melakukan apa sahaja terhadap mangsa dan mangsa terus dilayan buruk seperti tiada hari esok. Justeru, jalan yang terbaik dalam melindungi mangsa sekiranya mangsa adalah pasangan suami isteri, perkahwinan mereka boleh dibubarkan dengan kebenaran mahkamah. Ini merupakan satu jalan keluar yang selamat untuk melindungi kesan lebih buruk terhadap mangsa, bukan sahaja kesan secara fizikal tetapi juga kesan psikologi pasangan, anak-anak dan orang tua dalam keluarga.

Tuntasnya, dalam melindungi mangsa keganasan rumah tangga, peranan masyarakat untuk mendidik, menyokong dan mempertahankan hak mangsa sememangnya satu keperluan. Sistem sokongan masyarakat yang tidak menyebelahi apa-apa keganasan rumah tangga terhadap mana-mana pihak akan membuatkan mangsa berani tampil membuat laporan.

Apa pun, semua orang mendambakan syurga di dunia dengan dikurniakan keluarga yang baik. Tiada yang minta sebaliknya pada hari perkahwinan saat masing-masing melafazkan sumpah setia termasuklah Johnny Depp dan Amber Heard. – UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan; Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×