Restoran di New York pun saji sambal belacan

Restoran di New York pun saji sambal belacan

KEHIDUPAN sibuk di bandar menyebabkan masyarakat memilih makanan segera terutama dari Barat. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEGARA kita kaya dengan budaya dan makanan pelbagai kaum yang harus dibanggakan. Namun, makanan kita diberi kedudukan ke-46 dunia. Tempat pertama adalah Itali; kedua, Greece dan ketiga, Sepanyol. Indonesia di kedudukan ke-14 dan Thailand ke-21. Laporan ini disenaraikan oleh Taste Atlas bertajuk 50 Best Cuisines In The World, baru-baru ini.

Bagaimana cara pemilihan dibuat, boleh menjadi tanda tanya tetapi pada hakikatnya, makanan tempatan kita tidak mendapat tempat di negara ini dan di luar negara juga.

Saya berani menyatakan hal ini kerana jika kita lihat di pasar raya besar sekitar Kuala Lumpur, kebanyakan yang diminati adalah restoran-restoran Korea, Jepun, Barat, Arab dan lain-lain. Di mana restoran Malaysia yang boleh kita banggakan? Apa konsep restoran Malaysia? Apa makanan utama bercirikan makanan Malaysia yang asli?

Persoalannya, generasi muda hari ini sangat cenderung kepada makanan luar terutama Korea yang telah mendominasi pasaran di negara ini. Bukan sahaja di restoran tetapi juga di rumah, anak-anak lebih gemar menikmati mi segera Korea yang sangat trendy pada masa ini.

Makanan Arab tidak kurang popular di sini. Restoran Arab bagai cendawan tumbuh selepas hujan terutama di Kuala Lumpur seperti Kampung Baru, Ampang, Serdang, Bangi dan Bukit Bintang. Makanan Arab menjadi pilihan di bulan puasa lalu. Dengan harga RM50 satu bekas pun ramai yang sanggup beratur berjam-jam untuk mendapatkannya.

Adakah makanan Malaysia mula dilupakan oleh kebanyakan kita? Makanan Malaysia yang terdapat di restoran biasa rata-rata tidak menghidangkan makanan asli yang sedap dan elok rupanya. Bukan dimasak oleh mereka yang berkepakaran tetapi oleh pekerja asing.

Walaupun begitu, harga yang ditawarkan tidak murah, ramai pelanggan menyatakan ketidakpuasan terhadap makanan yang dibeli. Rungutan ini bertambah pada bulan Ramadan di mana banyak kes makanan yang rosak dijual hanya untuk mengaut keuntungan.

Sebagai rakyat Malaysia dan penyelidik makanan warisan, perkara ini sangat merungsingkan. Saya dapati makanan Malaysia mendapat tempat di mata dunia sejak sekian lama. Bahkan, terdapat restoran di bandar raya New York menghidangkan sambal belacan sebagai condiment (perasa) seperti sos cili yang diletakan di atas meja.

Adakah ini berlaku di Malaysia? Tidak, ia tidak berlaku sama sekali. Masalahnya, kita tidak pernah berbangga dengan makanan sendiri. Jika tidak minat dengan makanan sendiri, bagaimana mahu mengharapkan orang lain kisah tentang makanan warisan kita?

Tidak kerterlaluan saya katakan, skil memasak dalam kalangan wanita terutama yang bekerja adalah sangat lemah. Ramai yang tidak minat mempelajari ilmu masakan daripada ibu sendiri semasa kecil. Perkara ini dibawa ke alam dewasa dan seterusnya apabila berumah tangga, tidak dapat menyediakan makanan daripada air tangan sendiri kepada keluarga tercinta.

MAJLIS PERKAHWINAN

Mungkin sumber kewangan memberi mereka peluang membeli di luar dan pilihannya adalah makanan segera dan Barat yang telah menjadi tradisi keluarga terutama di bandar. Anak-anak tidak didedahkan kepada budaya kita sehingga tidak dapat menerima makanan warisan ini apabila dewasa kelak. Jadi, apakah makanan Barat atau Korea menjadi pilihan sepanjang kehidupan mereka?

Dengan kenaikan harga barang lebih 50 sehingga 60 peratus, memburukkan lagi keadaan makanan warisan. Jika kita menghadiri majlis-majlis perkahwinan, pada pendapat saya, hidangan utama yang disediakan semakin menjadi tidak asli dan tidak menunjukan cita rasa sebenar, sekadar melepas batuk di tangga. Penyedia makanan mula mencatu bahan-bahan masakan sehingga tidak terbit rasa asli seperti dalca yang cair, masak merah rasa cili sahaja dan rendang yang nampak hitam tetapi rasanya tiada.

Saya telah melakukan promosi makanan Malaysia di Amerika Syarikat, Eropah, Asia Barat dan Asia. Rata-rata pengunjung menyatakan keenakan makanan kita jika dibandingkan dengan makanan lain di rantau ini. Mereka sangat menggemari makanan yang saya hidangkan dan mendapat sambutan luar biasa sekali.

Saya berkolaborasi dengan program antarabangsa di Paris dan Jerman bersama hotel bertaraf lima bintang di Eropah. Pengunjung yang datang sangat teruja mencuba dan merasai makanan Malaysia dan terbit pula minat untuk melancong ke sini. Antara resipi yang mendapat sambutan adalah Laksa Melaka, Rojak Penang, rendang daging, roti jala, Ayam Kuzi, Mi Mamak, char kuetiau, nasi tomato, ayam percik, kuih bakar, keria dan pelbagai resepi lain yang saya hidangkan.

Sekarang adalah masanya untuk menarik minat generasi milenium kita dan juga promosi peringkat global untuk menjadikan makanan Malaysia setanding makanan Itali dan Greece dan strategi ini perlu dibuat segera. Antara strategi drastik yang perlu diambil agar legasi makanan warisan dapat diteruskan ialah penubuhan badan khas untuk memantau semua jenis makanan asli di negara ini.

Kedua, memperkenalkan sukatan pelajaran wajib mengenai makanan Malaysia di peringkat sekolah; program hospitaliti, kulinari dan pelancongan di institusi pengajian tinggi. Ketiga, meneruskan promosi, permasaran dan memupuk kesedaran secara agresif mengenai keunikan makanan Malaysia dalam kalangan generasi milenium. Dan keempat, meneruskan promosi di peringkat antarabangsa.

Sebaliknya jika tidak mengambil sebarang tindakan, makanan kita akan terus pupus dan tiada apa yang dapat kita banggakan lagi suatu hari nanti. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Muhammad Sharim Ab. Karim ialah Pakar Makanan Warisan Negara, Fakulti Sains & Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×