PARA penyelidik Kuliah Pengajian Kerajaan John F. Kennedy di Universiti Harvard pernah melakukan kajian dalam menilai impak haji yang mendapati ibadah itu meningkatkan kesedaran tentang keadilan dan kedamaian dalam kalangan pelbagai kelompok etnik dan aliran Islam.
Bertentangan dengan kebimbangan masyarakat lain, penyelidikan sama menjelaskan bahawa peningkatan perpaduan Islam tidak disertai dengan antipati (kebencian) terhadap golongan bukan Muslim. Menariknya, jemaah haji turut menunjukkan peningkatan kesedaran tentang keamanan, kesaksamaan dan keserasian sosial dengan para penganut agama lain.
Penyelidikan tersebut menyebut, “Jemaah haji adalah 22 peratus lebih mungkin untuk menyatakan bahawa orang yang berlainan agama adalah serupa (dari segi tanggungjawab) dan 11 peratus lebih kebarangkaliannya untuk menyatakan penganut agama berlainan boleh hidup bersama dalam keadaan harmoni.” Mereka yang menunaikan haji juga hampir dua kali ganda lebih berkemungkinan mengecam secara terbuka kumpulan militan dan pelampau agama.
Berdasarkan bukti, kajian sama mengesyorkan peningkatan sikap positif tersebut terhasil daripada pendedahan yang lebih luas melalui interaksi sosial dengan jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia (Clingingsmith, Khwaja dan Kremer, 2008). Saban tahun, musim haji memaparkan persaudaraan sejagat pelbagai bangsa Islam berangkat menunaikan haji bukanlah pengembaraan ke tempat yang sama sekali asing.
Mekah mempunyai pertalian rapat dengan tiap-tiap orang Islam atas sekurang-kurangnya dua alasan. Pertama, di Mekah terdapat Baitullah, bangunan purba pertama didirikan semata-mata untuk manusia berabdi kepada Tuhan yang Maha Esa (Ali ‘Imran, 3:96). Rumah ibadat terawal dan tertua kerana ia didirikan oleh bapa manusia Nabi Adam, dan kemudian dipulihkan pula oleh Nabi Ibrahim.
Kedua, Mekah ialah ummul qura atau ‘kota agung rohani’ bagi setiap Muslim. Sebagai dokumen sejarah yang berusia lebih 1,400 tahun, al-Quran merakamkan sebanyak dua kali tentang fakta ummul qura dalam surah al-An‘am, 6:92 dan al-Shura, 42:7.
Di metropolis yang dilimpahi dengan kemuliaan rohaniah inilah jutaan jemaah haji dari pelbagai benua dan negara bersama-sama melaksanakan sehimpunan amalan penuh bersemangat yang dipupuk oleh Nabi Muhammad SAW. Dari bangsa Arab, Parsi, Mesir, Berber dan Turki, hinggalah kepada bangsa Eropah, Afrika, Indo-Pakistan, Kaukasia, Cina dan Alam Melayu, semuanya mudah diterima sebagai saudara berasaskan nilai rohaniah.
Malcolm X, pemimpin Muslim kulit hitam Amerika pernah merekodkan pengalaman hajinya pada 1960-an, “Terdapat puluhan ribu jemaah haji yang datang dari seluruh rantau dunia.
Mereka terdiri pelbagai warna kulit, daripada berambut perang bermata biru hinggalah kepada yang berkulit gelap kaum Afrika. Tetapi kami semua sama-sama mengambil bahagian dalam upacara ibadat yang satu, mempamerkan semangat perpaduan dan persaudaraan yang berdasarkan pengalaman saya di Amerika tidak mungkin wujud antara kaum kulit putih dengan kaum yang bukan berkulit putih.”
Ibadah haji amat meniupkan keinsafan menerusi pengalaman langsung bahawa umat Islam sebenarnya adik-beradik dalam keluarga sejagat yang tanpa terkecuali wajib dilayan dengan adil bagi memenuhi perjanjian asali mereka dengan Tuhan yang Maha Esa (al-A‘raf, 7:172).
PARTI POLITIK
Memetik pidato Rasulullah SAW yang sangat terangkum semasa haji perpisahannya: “Wahai manusia! Penciptamu adalah satu, dan nenek moyangmu juga satu. Kamu semua daripada Adam, dan Adam diciptakan daripada tanah.”
“Yang termulia antaramu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Dan tidak ada kelebihan bagi orang Arab atas orang bukan Arab, bagi orang berkulit merah atas orang berkulit hitam, atau orang berkulit hitam atas orang berkulit merah, jika bukan dengan ketakwaan.”
Ibadah haji harus menyedarkan umat Islam masa kini bahawa tidak bijak untuk taksub kepada perbezaan tanah air, warna kulit, kewarganegaraan, pangkat, kuasa, parti politik, status sosial, jantina dan budaya tempatan.
Umat Islam wajib menjauhi kemelut perkauman sempit. Nabi Muhammad SAW pernah menasihati para sahabat: “Manusia hanyalah seorang mukmin yang bertakwa kepada Tuhan ataupun seorang pendosa yang malang. Semua manusia adalah anak Adam, dan Adam diciptakan daripada tanah.” (Riwayat Ahmad, Tirmidhi dan Abu Dawud).
Perpaduan Islam diterjemahkan dengan jelas dalam sistem sosial melalui pengharaman mutlak pembunuhan tanpa hak, jenayah perang, penindasan, kezaliman, keganasan dan fitnah, seperti penegasan Rasulullah SAW dalam pidato inklusif yang disebutkan tadi: “Wahai manusia! Nyawamu, hartamu dan kehormatanmu adalah kudus hingga hari kebangkitan. Wahai Manusia! Sesungguhnya orang-orang mukmin itu semuanya bersaudara, dan harta seseorang tidak halal bagi seorang yang lain jika tidak dengan kerelaannya. Dan awaslah jangan kamu terpesong selepas mengikutiku, bunuh membunuh antara satu sama lain.”
Perpaduan dalam kalangan umat Islam memerlukan satu kiblat hati dan akal. Jika bangsa-bangsa Islam bercita-cita untuk meraih perpaduan sosiopolitik bersifat luaran, perpaduan dalaman pemikiran adalah amat penting. Sesungguhnya, rahsia haji sebagaimana yang digambarkan oleh Imam Ghazali ialah kesepakatan tujuan dan niat yang tinggi dan kekuatan yang diperoleh daripada dekatnya dengan orang-orang berwibawa yang dihimpunkan dari seluruh penjuru dunia.
Semasa zaman Khalifah Umar al-Khattab, persepakatan luhur ini diterjemahkan dengan berkesan dalam langkah-langkah pentadbiran negara Islam. Sewaktu perhimpunan tahunan haji yang disertai oleh orang-orang yang memiliki wibawa rohaniah dan akliah, pemimpin negara menganjurkan sesi aduan rakyat terhadap gabenor dan panglima tenteranya serta mengadakan sesi rundingan dengan masyarakat awam tentang projek-projek penting dunia Islam pada waktu tersebut. Di samping itu, kongres sastera, acara sukan yang sesuai dengan ketenteraan, muamalat dan urus niaga perdagangan antarabangsa juga dianjurkan dalam musim haji tahunan (Hamidullah, 1957). – UTUSAN
DR. Mohd. Sani Badron ialah Felow Utama dan Pengarah Pusat Kajian Ekonomi & Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










