Profesion wartawan harus eksklusif

Profesion wartawan harus eksklusif

ANNUAR Musa (tengah) mencadangkan Hawana yang disambut setiap 29 Mei dijadikan agenda nasional demi mengangkat profesion kewartawanan. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BIDANG kewartawanan berkembang seiring peredaran zaman kerana ia merupakan profesion kedua tertua di dunia. Malah, disiplin ilmu ini turut memainkan peranan amat penting dalam kemerdekaan sesebuah negara termasuk Malaysia.

Sesiapa pun tidak mampu menyangkal bahawa akhbar adalah pemain utama dalam menyemarakkan obor perjuangan ketika era penentangan penjajah. Dari zaman kolonial British, penaklukan Jepun sehinggalah prakemerdekaan, media cetaklah yang memainkan peranan.

Tapi sayangnya pada hari ini akibat ledakan teknologi, akhbar dan media tradisional terus-menerus bergelut saban hari mencari pendapatan, gara-gara dibadai media baharu. Tanpa sekeping sijil atau segulung ijazah, saat ini semua orang mampu menjadi wartawan melalui platform digital. Dibiarkan tanpa pengawalan sehingga profesion kewartawanan itu nampak biasa-biasa, tidak lagi eksklusif seperti suatu ketika dahulu.

Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 selesai disambut hujung bulan lalu di Bandaraya Bersejarah Melaka.

Dalam ucaptama perasmian, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, profesion ini harus kekal bebas, berfungsi tanpa gangguan dan campur tangan pihak lain. Pernyataan sedemikian membawa makna begitu besar dan perlu diselami oleh semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, pemimpin masyarakat dan tidak lupa juga orang politik.

KARUNG TINJU

Selama berpuluh tahun atau mungkin ratusan tahun, para wartawan sering dijadikan kambing hitam yakni jalan mudah untuk dipersalahkan kononnya tersalah lapor, kenyataan diambil di luar konteks dan sebagainya. Roda zaman terus berpusing, seiring dengan itu, intelektual pengamal media turut berkembang mengikut keperluan semasa. Maka hormatilah kami yang melaporkan sesuatu berita. Usahlah kami dijadikan punching bag (karung tinju) dipersalahkan kelompok tertentu semata-mata ingin melepaskan diri mereka.

Hawana 2022 telah mengangkat beberapa resolusi dan cadangan. Antara yang disentuh Perdana Menteri, iaitu organisasi media dan wartawan perlu membantu menangkis laporan tidak benar disebarkan ‘wartawan segera’ yang lahir akibat teknologi digital. Antara lain, Ismail Sabri turut mengutarakan penubuhan sebuah Pusat Kajian Kewartawanan Malaysia bagi mendukung standard dan tahap profesionalisme kewartawanan negara. Pusat itu akan berfungsi mengumpul data rujukan melibatkan semua bentuk kajian yang dilakukan ke arah memantapkan disiplin kewartawanan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa pula membawa naratif bahawa Hawana yang disambut setiap 29 Mei perlu dijadikan agenda nasional demi mengangkat profesion kewartawanan dalam membantu proses pembangunan negara.

Walau apa pun pendapat yang diutarakan, pokoknya kembali kepada kelangsungan dan ‘soal perut’ organisasi media dan wartawannya. Saban tahun perolehan majoriti syarikat media tempatan kian menguncup sehingga memaksa kepada pemberhentian sukarela malah lebih teruk lagi penggulungan sukarela.

Satu anjakan paradigma perlu diambil kerajaan untuk membantu dan menstabilkan semula keadaan. Sebagai contoh, cadangan yang dilontarkan Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd., Mohamad Azlan Jaafar dalam Forum Media Nasional berkenaan mekanisme cukai kepada penyedia platform enjin carian seperti Google seharusnya dipertimbang. Ini kerana entiti asing itu rancak membuat keuntungan berjuta-juta ringgit, namun syarikat media tempatan pula yang menanggung bebanan besar termasuk kos operasi semata-mata untuk mencipta kandungan. – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Melaka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN