MUKADIMAH
HUBUNGAN Malaysia dan negara terbesar dunia, Russia berada pada tahap yang memuaskan. Kerjasama dalam bidang-bidang ekonomi, pendidikan dan teknologi menunjukkan hasilnya dengan kerancakan aktiviti eksport-import selain kewujudan banyak kelas bahasa Melayu dan Russia di kedua-dua negara.
Sekalipun perjalanan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tampak positif, namun masih terdapat banyak peluang dan agenda baharu yang belum dan harus dilaksanakan selain memperkasa kerjasama dalam bidang-bidang sedia ada.
Duta Besar Russia di Malaysia, NAIYL LATYPOV berpandangan, antara sektor yang masih kurang mendapat perhatian ialah pelancongan. Satu sektor yang dianggap penting dalam menghubungkan masyarakat kedua-dua negara dan dalam masa sama dapat merangsang ekonomi.
“Banyak peluang pelaburan yang boleh diceburi oleh Malaysia di Russia, begitu juga di Malaysia sendiri,” katanya kepada wartawan Utusan Malaysia, THAQIB SHAKER, baru-baru ini.
UTUSAN: Hubungan Malaysia-Russia sudah terjalin sejak abad ke-19. Namun, interaksi masyarakat kedua-dua negara masih rendah. Kenapa?
LATYPOV: Tahun ini kita menyambut ulang tahun ke-55 hubungan diplomatik Malaysia-Russia. Sememangnya hubungan antara Malaysia dan Russia berkembang secara dinamik dalam pelbagai bidang.
Pada masa sama, sudah tentu kita boleh meluaskan skop kerjasama sama ada dalam bidang sedia ada atau baharu. Dalam konteks ini, saya menganggap salah satu faktor utama adalah penggalakan pertukaran maklumat tentang budaya, sejarah dan tradisi negara kita supaya rakyat Russia dan Malaysia lebih mengenali antara satu sama lain.
Dalam hal ini, media di Malaysia boleh meluaskan penggunaan maklumat daripada sumber Russia termasuklah media massa Russia.
Terdapat hampir 20 juta umat Islam di Russia. Adakah persamaan agama dapat dijadikan kaedah untuk mengeratkan lagi hubungan Malaysia-Russia?
Islam adalah agama kedua terbesar di Russia selepas Kristian. Tidak dinafikan, faktor agama dapat dan perlu menyumbang kepada pengukuhan hubungan antara kedua-dua negara. Russia dan Malaysia sememangnya berinteraksi di pelbagai platform seperti menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan KumpulanWawasan Strategik Dunia Russia-Islam.
Secara berasingan, saya ingin mengatakan tentang produk halal. Bagi sebilangan besar umat Islam yang tinggal di Russia, produk halal bukanlah sekadar petunjuk kualiti tetapi juga bukti bahawa ia dibuat mengikut tradisi dan kehendak agama mereka. Pada hari ini, produk halal semakin mendapat perhatian mereka yang ingin mempunyai kehidupan diet yang sihat.
Apabila agroindustri Russia berkembang, maka negara kami dapat akses kepada pasaran negara ketiga. Negara Islam sering menjadi rakan dagang dan destinasi eksport produk daging Russia, namun pada masa ini tiada penghantaran produk halal dari Russia ke Malaysia. Akan tetapi rundingan sedang dijalankan mengenai isu ini.
Bolehkah ceritakan sedikit tentang pelaburan terkini antara kedua-dua negara ini?
Mengenai pelaburan semasa Malaysia di Russia, tumpuan utama diberikan kepada sektor pengeluaran kayu, perniagaan hospitaliti, perkhidmatan minyak, gas serta kejuruteraan. Potensi pertumbuhan pelaburan yang ketara dijangka menerusi bidang teknologi tinggi dengan projek kerjasama industri dua hala yang bertujuan melebarkan pasaran ASEAN dan Kesatuan Eurasia yang luas.
Syarikat-syarikat Russia bersedia untuk mengatur pemindahan teknologi kepada rakan kongsi Malaysia yang berminat. Kerjasama sebegini sedang dijalankan. Contohnya, dalam bidang teknologi aeroangkasa di Johor dan Pulau Pinang.
Lebih-lebih lagi melihatkan pelaburan Malaysia dalam komoditi pertanian dari Russia, teknologi makanan dan bidang lain yang berkaitan dengan keselamatan makanan dapat mengambil perhatian para pelabur tahun ini.
Perwakilan Perdagangan Persekutuan Russia di Malaysia secara aktif menyokong bagi merealisasikan projek dan pelaburan dua hala serta bersedia untuk terus membantu kedua-dua perniagaan Russia dan Malaysia dengan menyediakan sokongan perundingan yang diperlukan dan peluang rangkaian.
Pelancong-pelancong Russia lebih gemar untuk melawat Thailand dan begitu sedikit yang masuk ke Malaysia. Apa puncanya? Adakah disebabkan ketiadaan penerbangan secara terus dari Moscow ke Kuala Lumpur atau ada faktor lain?
Interaksi antara negara kita dalam sektor pelancongan merupakan salah satu bahagian yang sangat penting dalam kerjasama dua hala. Malangnya buat masa ini di Asia Tenggara, Malaysia bukanlah negara keutamaan bagi pelancong Russia. Seperti yang anda nyatakan tadi, salah satu faktor utama adalah tiada penerbangan terus antara negara kita. Kami sedang mengusahakan isu ini.
Faktor lain adalah kekurangan maklumat tentang pusat peranginan di Malaysia dalam kalangan warga Russia walaupun negara ini mempunyai sejumlah besar tempat-tempat indah yang dari segi daya saingnya, hampir tidak kalah dengan resort- resort di Thailand, Indonesia dan negara-negara lain di rantau ini.
Kami juga sedang mengusahakan pengenalan rejim bebas visa untuk rakyat Malaysia tinggal di Russia dan yang pastinya ia akan meningkatkan kemasukan pelancong dari Malaysia. Pelancong Russia pula berkemungkinan dapat menetap di negara ini tanpa visa untuk tempoh sehingga 30 hari. – UTUSAN










