Parti mana bersedia masuk PRU15? - Utusan Malaysia

Parti mana bersedia masuk PRU15?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nilai dan berikan markah parti politik manakah sudah bersedia menyahut cabaran merebut mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti. Cakap-cakap Parlimen dibubar dikatakan masih 50:50, sekali gus persoalan PRU15 dilangsungkan sekitar September atau Oktober tahun ini tetap misteri.

1. Kejutan kali kedua PH?

Pada PRU14, parti-parti yang menganggotai Pakatan Harapan (PH) mencipta rekod prestasi cemerlang luar biasa.

Tonggak PH iaitu PKR memperoleh 49 kerusi Parlimen daripada 71 yang ditandingi (69 peratus). DAP pula memenangi 42 daripada 47 (89 peratus), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meraih 12 daripada 52 (23 peratus), Parti Amanah Negara (Amanah) memperoleh 11 daripada 34 kerusi (32 peratus) manakala Parti Warisan Sabah pula memenangi lapan kerusi daripada 17 kerusi Parlimen.

Barisan Nasional (BN), penyandang enam dekad Malaysia, cuma memenangi 79 kerusi daripada 222 kerusi yang ditandingi (36 peratus) sementara Pas meraih 18 kerusi daripada 157 kerusi (11 peratus).

PH dalam PRU14 turut berjaya menawan kebanyakan negeri dengan memenangi 257 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 530 kerusi yang ditandingi. Melainkan Kelantan, Terengganu yang ditawan oleh Pas.

Jumlah undi popular BN pula dikesan merosot daripada 46.7 peratus (PRU13) kepada 33.9 peratus, manakala PH mampu mengekalkan undi popularnya (50.1 peratus).

Tanpa Tun Dr. Mahathir Mohamad di sisi, bahkan isu 1MDB sudah berlalu, kini sedang melalui perbicaraan di mahkamah, akan berjayakah PH dalam PRU15 nanti setelah cuma berkuasa 22 bulan akibat dikhianati Langkah Sheraton 24 Februari 2020?

Dengan flip flop kerajaan 22 bulan PH semasa berkuasa hingga dikatakan pada peringkat awal pentadbirannya, berbilion ringgit mengalir keluar hanya kerana ‘dendam dan mahu mencalar imej’ kerajaan terdahulu, masih adakah peluang kedua diraih PH kali ini?

Berkuasa baru empat bulan pun, kepincangan dikesan apabila beberapa kes digugurkan tanpa menyatakan sebabnya.

Pada PRU14, Pakatan Harapan (gambar atas) mencipta rekod prestasi luar biasa menumbangkan Barisan Nasional (BN) tetapi flip flop semasa peringkat awal pentadbirannya termasuk sibuk ‘membalas dendam dan cuba menghapuskan legasi kerajaan terdahulu’ menyebabkan BN (gambar bawah) berdikit-dikit berjaya mengembalikan semula kepercayaan pengundi.

2. Politik itu momentum

Jika sudah ada ‘gegarnya’, mengapa tidak ‘diaturkan’ sahaja tarikh PRU15? Adakah satu kerugian besar jika tidak bijak membacanya, walhal petanda ‘menang kalah’ sudah ada di telapak tangan?

Masa dan ketika ini momentum itu dikatakan ada di tangan BN yang selepas tumbang 2018, bangkit menang bergaya sekurang-kurangnya dalam 10 pilihan raya kecil dan dua pilihan raya negeri (PRN).

Dengan alasan dikatakan belum bersedia kerana PRN bukan semacam PRU, tempoh menghadapi PRU14 lagi cermat dan rapi persediaan dilakukan. Macam-macam kerajaan waktu itu buat untuk rakyat.

Dry run dan retreat berulang kali. Puluhan program 1Malaysia diperkenalkan, antaranya Teksi1Malaysia, Klinik 1Malaysia dan Pr1ma nya lah.

Malangnya momentum itu tidak ada. Adakah dengan inflasi yang mendatang, ditambah kenaikan harga barang dijangka teruk melewati 1 Julai ini momentum diraih oleh BN itu akan lenyap.

UMNO selaku tonggak BN dipercayai sudah bersedia masuk gelanggang PRU. Kalangan bahagian UMNO turut berkehendakkan PRU15 sebelum pemilihan parti yang meliputi 42 peratus daripada 191 bahagian.

Hanya 3.26 peratus mahu sebaliknya, dipercayai enam bahagian sahaja cenderung ke arah itu. Kekangan tarikh pemilihan UMNO yang rasmi bagaimanapun masih tertakluk kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan atau RoS.

3. Pengundi Felda penentu

Ketika ini terdapat antara 30 hingga 40 kerusi majoriti Cina atau 13.5 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen. Kebanyakannya di kawasan bandar besar Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.

Daripada 222 kerusi Parlimen, terdapat 155 kerusi luar bandar yang dikuasai Melayu/Bumiputera. Sabah dan Sarawak pula mempunyai 56 kerusi Parlimen iaitu 31 di Sarawak, 25 di Sabah.

Malah bila ditinjau peluang di Felda pula, barang diingatkan dalam dua siri PRU lepas, penguasaan parti-parti Melayu menyusut di Felda. Pada PRU14, UMNO/BN cuma meraih 27 kerusi Parlimen, Pas (enam), PKR (19) dan Warisan (12).

Ini berbeza sama sekali berbanding PRU13 ketika UMNO/BN masih menguasai 48 kerusi, Pas (tiga), PKR cuma satu kerusi dan DAP (dua). Peningkatan drastik buat PKR di Felda.

4. DAP belum boleh solo

Daripada 222 kerusi Parlimen, hanya 34 yang mempunyai komposisi pengundi kaum Cina sebagai majoriti. Sekalipun DAP memperoleh kesemua undi Cina dalam kerusi-kerusi ini, ia hanya akan memenuhi 15 peratus kerusi Parlimen. Iaitu 55 kerusi Parlimen di mana pengundi Cina membentuk 30 hingga 50 peratus bilangan pengundi.

Walaupun PH mampu memperoleh 80 peratus undi Cina dalam kerusi-kerusi ini, ia masih memerlukan antara 35 peratus hingga 40 peratus sokongan daripada komuniti yang lain untuk memenangi kerusi-kerusi ini.

Secara keseluruhannya ini bererti hanya ada 89 kerusi Parlimen yang mempunyai pengundi Cina yang membentuk 30 peratus jumlah keseluruhan pengundi.

Andai kata PH memenangi kesemua kerusi Parlimen ini, ia hanya akan membentuk 40 peratus jumlah kerusi Parlimen. Masih belum cukup untuk bilangan majoriti kerusi Parlimen.

5. Dakwat di tangan PM

Akhirnya, segala persoalan bersedia atau tidak parti-parti politik ini memasuki gelanggang PRU15, segalanya di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Jika Yang di-Pertuan Agong tidak dipersembahkan hasrat bubar Parlimen, tarikh PRU nya pun tak ke mana jua.

Perhitungan Perdana Menteri bukan setakat untuk menggalas cabaran UMNO, tetapi survival dirinya selaku individu yang diangkat oleh Majlis Kerja Tertinggi partinya sebagai poster boy, sekali gus bakal PM10.

Polisi-polisinya baru hendak berputik – sedang bergerak dan dirancang. Kelibat beliau kini menjadi perhatian ramai kerana memiliki kuasa menasihatkan Agong di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN