Orang muda kena tahu pasal politik

Orang muda kena tahu pasal politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) bakal berlangsung dalam masa kurang setahun dari sekarang. Cuma tarikhnya yang belum kita ketahui. Namun yang pasti, jika tidak pada tahun ini, kita bakal mengundi pada tahun hadapan.

Apabila berbicara soal politik, anak-anak muda sering kali menganggapnya sekadar politik kepartian. Berdegar-degar perbincangan mereka tentang matlamat dan hala tuju parti. Pada sisi lain, ada yang tidak mahu ambil tahu hal politik dengan alasan mereka tidak berminat. Kedua-dua golongan ini tidak merasakan adanya kepentingan untuk melihat politik secara menyeluruh termasuk memahami asas pembinaan negara, sejarah serta prinsip asas negara.

Akibatnya, ramai yang tidak peka kerana mereka merasakan tiada keperluan untuk mereka memahami struktur sistem pemilihan dan pembentukan kerajaan. Maka tidak menghairankan sehinggakan ada yang tidak jelas tentang tatacara dan bagaimana sesuatu pilihan raya dijalankan.

Walhal, ini adalah perkara asas yang patut kita fahami sebelum menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Apa yang lebih menyedihkan, kita diajar tentang cara sesebuah pilihan raya dijalankan menerusi subjek Sejarah peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Justeru, tentulah amat mengecewakan apabila mereka yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam subjek tersebut, gagal memahami perkara ini.

Mereka menganggap hal-hal sebegini sebagai isu remeh dan langsung tidak relevan dengan kehidupan mereka. Apatah lagi jika ia tiada kaitan langsung dengan apa yang harus mereka pelajari di peringkat pengajian tinggi.

UNDI18

Mengundi adalah satu tanggungjawab besar. Sebagai generasi Undi18, hal ini amat penting kerana undi pada PRU15 akan benar-benar mempengaruhi corak masa hadapan saya. Jika tersilap dalam membuat pemilihan, masa hadapan negara akan menjadi suram. Sedangkan kita memerlukan negara yang stabil dan makmur agar dapat menjalani kehidupan lebih baik serta melangkah jauh setelah tamat pengajian nanti.

Kita mesti membuat keputusan yang tepat demi memastikan negara berada pada landasan yang betul. Maka fahamilah hak anda dan tunaikanlah kewajipan dengan penuh bijaksana serta bertanggungjawab. Jangan kelak, rumah siap pahat berbunyi atau lebih malang lagi jika menang sorak kampung tergadai. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya