KUMPULAN Sasterawan Kavyan (Kavyan) diasaskan pada 1999 oleh sekumpulan penulis kaum India bagi menghasilkan karya bahasa kebangsaan. Kami sentiasa berusaha membimbing bakat baharu pelbagai kaum untuk sama-sama menghasilkan karya bermutu yang mengangkat realiti kepelbagaian budaya rakyat Malaysia.
Dalam hal ini, Sesi Penulisan Intensif pada hujung 2018, sepanjang 2019 dan awal 2020 berjaya melahirkan beberapa penulis pelbagai kaum yang mampu menghasilkan sajak, cerpen, ulasan dan rencana meliputi pelbagai tema. Kelahiran antologi Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020) dan Peluru Aksara (2020) adalah bukti nyata kejayaan Kavyan.
Berikutan penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari Mac 2020 hingga Mac 2022, siri ceramah penulisan dikendalikan menerusi Google Meet untuk terus membimbing sesiapa yang berminat. Bagi tujuan projek antologi terbaharu, sesi perbincangan turut diadakan secara maya. Saya selaku pembimbing telah membaca, menganalisis, mengkritik, membetulkan, menyunting dan menyarankan cara-cara memantapkan karya. Beberapa manuskrip ‘berubah wajah’ selepas dibengkelkan.
Apabila manuskrip bersih diserahkan para penulis pada 31 Mei lalu, saya selaku penyelenggara melakukan pembacaan teliti sekali lagi dan membuat penyuntingan secara lebih menyeluruh. Pada masa sama, saya memastikan cerita tidak diganggu. Maknanya, saya selaku penyelenggara tidak mengubah plot, konflik, persoalan dan unsur-unsur lain yang diketengahkan penulis. Kesemuanya bakal disajikan seadanya menerusi antologi Lakaran Diri yang dijadualkan terbit pada Ogos nanti.
Secara keseluruhan, antologi ini memuatkan 17 cerpen, dua rencana dan dua fragmen novel yang dihasilkan 10 penulis pelbagai kaum dan latar belakang. Masing-masing menghasilkan karya dengan gaya tersendiri.
Cerpen Ankh di Bilik 31 oleh Malini Lakshmi Bai membawa kita bertemu watak remaja bernama Harris Aasirvaatham. Dia tertarik untuk membongkar misteri sebuah rumah agam sewaktu bercuti di rumah neneknya di Ladang Gagebrown.
Anuradha Chelliah menerusi cerpen Bukan Sekadar Teman membawa pembaca mengenang pengalaman hubungan rapat dengan rakan-rakan pada usia remaja dan belia.
Dalam realiti kehidupan, hubungan intim antara rakan-rakan boleh juga membawa kepada pelbagai komplikasi yang mungkin sukar diceritakan kepada keluarga dan masyarakat.
Kisah Cinta Makaron oleh N. Nitha merupakan satu fragmen kecil daripada sebuah novel yang sedang diusahakannya. Petikan ini menggambarkan babak pertemuan Navin dengan Anusri serta Rayyan dengan Dahlia. Fragmen ini bernada komedi romantik dan pasti menarik perhatian peminat romcom untuk mengetahui kisah seterusnya.
Kisah watak Aiman dalam cerpen Dia Bukan Ayahku karya JayakumaryMarimuthu boleh membantu kita cuba memahami pemikiran dan perasaan remaja apabila ibu atau bapa berkahwin lagi. Walaupun cerpen ini kurang mengungkapkan aspek psikologi secara mendalam, sekurang-kurangnya mampu membuka laluan untuk orang ramai memikirkan dilema dan emosi remaja yang terpaksa menghadapi situasi sebegini dalam hidup.
IBAN
Sebuah karya sastera kebangsaan yang baik akan membantu pembaca mengenali adat, budaya dan pemikiran masyarakat minoriti yang jarang diperkatakan oleh media arus perdana. Dalam hal ini, cerpen Ditunang Sebayan tulisan Felecia Lubok memberi kita peluang untuk mengenali sedikit hal berkaitan kepercayaan masyarakat Iban di Sarawak. Amalan, kepercayaan dan pemikiran masyarakat mungkin sudah berubah pada masa kini tetapi cerpen ini menjadi dokumentasi penting yang merakam secebis fakta sosiologi.
Penulis veteran, Kamalah Suppiah masih sangat aktif menghasilkan karya bahasa Tamil sejak 1981. Dalam bidang sastera kebangsaan pula, beliau kembali aktif selepas menyepi selama hampir 35 tahun. Semangat yang ditunjukkan Kamalah wajar dipuji kerana beliau tidak sesekali menjadikan cacat penglihatan sebagai alasan atau halangan.
Cerpen Kalau Sekali Termakan Cili oleh Kamalah menggambarkan kesedihan hati seorang remaja perempuan kerana ibunya sentiasa mencurigai. Anak lelaki diberi kebebasan tetapi anak perempuan dikongkong. Watak bapa bersikap lebih terbuka. Namun begitu, sebagaimana dalam realiti hidup, ada rahsia yang tidak diceritakan kerana akan memberi kesan besar kepada keluarga.
Menerusi cerpen Meera, seorang lagi penulis veteran, M. Mahendran membawa kita ke masa silam, iaitu sewaktu Malaya berdepan ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) dan Bintang Tiga. Kisah mengenai ancaman komunis ke atas orang Melayu sudah banyak ditulis dalam sastera Melayu. Begitu juga dalam sastera Tamil tempatan bagi menggambarkan penderitaan kaum India pada masa dahulu. Maka, tentu sahaja usaha Mahendran mampu memberi nilai tambah kepada sastera kebangsaan.
Cerpen Putera oleh Koh Yok Hwa adalah satu lagi rakaman dan dokumentasi sejarah yang penting. Ia menggambarkan situasi dan realiti kehidupan masyarakat Malaysia khususnya kaum Cina pada 1960-an. Amalan menyerahkan bayi kepada keluarga lain termasuk kepada orang Melayu memang berlaku. Tambahan pula, perkara seperti ini pernah benar-benar berlaku dalam kehidupan si penulis. Maka, usaha Yok Hwa mengangkat kisah ini yang diselitkan pula dengan budaya komuniti Teochew merupakan aset penting bagi memperkaya khazanah sastera negara.
Setiap ibu bapa mengharapkan kehidupan bahagia bagi anak-anak. Dalam tradisi kaum India, anak perempuan yang berkahwin diharap akan terus hidup bahagia di rumah mentua atau bersama suami. Namun begitu, dalam realiti hidup manusia, tentu sahaja ada pelbagai konflik dan permasalahan. Secebis daripada kisah seperti itu diangkat oleh Thanusya Shanmuganathan menerusi cerpen bertajuk Vivahana. Lebih menarik apabila penulis memuatkan sedikit maklumat dan fakta yang boleh menjadi rujukan sesiapa yang turut berdepan masalah hampir serupa dalam hidup. Beberapa aspek budaya komuniti Tamil Sri Lanka turut dimasukkan dalam cerpen ini.
Demikianlah antara karya yang termuat dalam antologi Lakaran Diri. Para penulis pelbagai kaum yang terlibat dalam projek ini bukan hanya cuba membuat ‘lakaran diri’ untuk merakam nama masing-masing dalam senarai pengarang sastera kebangsaan. Lebih daripada itu, menerusi fiksyen dan rencana yang dihasilkan, para penulis ini secara penuh berwibawa cuba menyumbang kepada usaha menambah nilai sastera tanah air. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










