Masa untuk kawal nafsu - Utusan Malaysia

Masa untuk kawal nafsu

Dengan pengenalan cukai baharu dan subsidi bersasar pada tahun depan, orang ramai perlu mengubah gaya hidup mereka sesuai dengan peningkatan kos sara hidup. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI mana-mana sahaja sekarang orang bercakap tentang tekanan ekonomi. Harga barang meningkat, kos hidup seharian bertambah. Gaji yang diterima setiap bulan terasa semakin mengecil dan terpaksa berhempas pulas mengawal perbelanjaan untuk pastikan sampai ke hujung bulan.
Sama ada golongan B40 atau M40, bebanan dan tekanan yang dirasai tetap sama. Harga makanan seperti ayam yang naik mencecah RM12 sekilogram, minyak masak makin mahal, yang murah bersubsidi pula sukar diperoleh, dan barangan runcit harian pun naik harga meletakkan setiap ketua isu rumah dalam situasi sukar.
Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Muhidin mengakui harga makanan pada masa ini adalah yang tertinggi dalam tempoh sembilan tahun. Inflasi makanan naik melebihi lima peratus. Sama ada makanan di rumah atau makanan di luar, semuanya ada kenaikan.
Bagi mereka yang makan di luar, nasi berlauk mencatatkan kenaikan 8.3 peratus, roti canai naik sebanyak 7.8 peratus, makanan berasaskan mi naik 5.7 peratus dan masakan yang berasaskan ayam melonjak 5.1 peratus.
Daripada 93 peratus item yang meningkat dalam kumpulan makanan, sebanyak 29.4 peratus meningkat dalam julat kurang daripada 5.0 pe­ratus. Sebanyak 37.7 peratus meningkat antara 5.0 hingga 10 peratus manakala 32.9 peratus meningkat lebih daripada 10 peratus.
Makanan berasaskan daging mencatatkan pe­ningkatan tertinggi iaitu 9.5 peratus pada Mei lalu. Itu mungkin disebabkan oleh permintaan tinggi pada musim perayaan. Sayur turut mencatatkan kenaikan sebanyak 8.1 peratus, susu, keju dan telur (8.0 peratus), ikan dan makanan laut 4.3 pera­tus serta minyak dan lemak 3.7 peratus.
Lonjakan harga sayur-sayuran di pasaran ketika ini pula berpunca terutamanya daripada peningkatan harga baja, kos logistik, kekurangan tenaga buruh dan keadaan cuaca.
Antara sayur-sayuran yang menunjukkan kenaikan ter­tinggi tahun ke tahun pada Mei 2022 adalah lada benggala (29.5 peratus), bendi (22.9 peratus), tomato (19.6 peratus), kacang buncis (19 peratus) dan bayam (18.5 peratus).
Sementara itu, ikan yang paling murah dan menjadi pilihan pengguna turut meningkat. Pelaling yang meningkat kepada RM14.04 berbanding RM11.63 Mei tahun lalu, ikan keli RM10.05 (Mei 2021: RM9.10) dan ikan kembung RM16.65 (Mei 2021: RM14.52).
Jika dilihat kepada angka-angka ini memang akan membuatkan kita panik, dan merasakan akan berhadapan dengan masa depan yang sukar. Macam mana mahu hidup dan terpaksa ikat perut.
Namun kita patut lega kerana kos bahan api kita iaitu diesel dan petrol RON95 masih rendah kerana subsidi daripada kerajaan.
Malah pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tidak akan ada kenaikan tarif elektrik dan air juga sesuatu yang melegakan rakyat.
Kita perlu ingat, inflasi yang berlaku ini adalah di luar kawalan kita. Ia bukan disebabkan hal-hal domestik semata-mata, tetapi kesan kemelesetan ekonomi global tempiasnya turut terkena kepada kita.
Setiap kali berlaku krisis ekonomi global kita tidak akan terlepas daripada terkena tempias. Itu realiti yang perlu kita terima tanpa perlu menyalahkan mana-mana pihak.
Ketika ini negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) mencatatkan inflasi seba­nyak 8.6 peratus, United Kingdom (UK) sembilan peratus, negara-negara Eropah sekitar lapan peratus, Thailand (7.1%), Filipina (5.4%), Korea Selatan (5.4%), Indonesia (3.6%), Jepun (2.5%), China (2.1%).
Semua negara yang dianggap pemimpin dalam ekonomi dunia berhadapan dengan kenaikan inflasi. Ini adalah fenomena global. UK merekodkan kadar inflasi terburuk dalam tempoh 40 tahun manakala Jepun terburuk dalam tempoh tujuh tahun.
Selain itu, pasaran saham dan nilai kripto turut merudum. Harga barang dan makanan naik, beberapa negara mula terbeban dengan krisis hutang. Ini diburukkan lagi dengan krisis kekurangan bekalan makanan secara global akibat perang Russia-Ukraine.
Seperti yang dikatakan oleh Pensyarah Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai, kegawatan yang berlaku di luar negara kemungkinan besar akan merencatkan pertumbuhan ekonomi negara yang sedang berkembang positif ketika ini.
Jika tidak ada gangguan seperti ini, ekonomi negara dijangka berkembang lebih lima peratus tahun ini. Malah laporan Bank Dunia menunjukkan kita akan dapat menepis kesan kemelesetan negara luar.
Untuk menepis daripada hidup kita terjejas teruk ekoran tempias kemelesatan global ini, kita sendiri sebagai pengguna perlu bijak menyusun semula kehidupan seharian. Kita tidak mempunyai selain memastikan setiap sen yang kita belanja itu adalah pada perkara yang memberi manfaat.
Mungkin ini masanya kita kurangkan minum kopi daripada jenama-jenama premium. Masih boleh minum kopi, tetapi beralih kepada jenama tempatan yang lebih murah. Ini secara tidak langsung menyumbang kepada perkembangan ekonomi domestik.
Apabila inflasi meningkat bermakna kos perbelanjaan kita akan meningkat. Sedangkan gaji tetap di takuk lama. Dalam keadaan ini jangan harap penjual akan menurunkan harga jualan mereka.
Cuma sebagai pengguna, selain berhati-hati dalam berbelanja, kita juga perlu lebih berwaspada dalam memilih barangan. Dalam keadaan inflasi ini tidak semua barang mahal. Masih ada yang murah dan berpatutan yang sesuai dengan bajet kita.
Bagi barangan yang bukan keutamaan, tangguhkan dahulu pembeliannya supaya duit yang ada boleh disimpan untuk kegunaan pada barangan keperluan lain jika perlu.
Dalam keadaan ekonomi yang getir sekarang ini tidak guna kita menyalah pihak lain. Yang penting kawal nafsu dengan berbelanja secara lebih bijak agar kita tidak terperangkap dalam gelombang inflasi ini.

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya