Kucing, kereta punca masam muka

Kucing, kereta punca masam muka

HARIMAU kumbang ditemukan di sebuah rumah di Semenyih, Selangor petang tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMUA kita maklum pentingnya berbuat baik dan menjaga hubungan silaturahim dengan jiran tetangga. Sebabnya, jiran itu umpama saudara yang dekat dan berada pada kedudukan paling mudah untuk kita saling bantu-membantu, apatah lagi dengan adanya sikap kemesraan dan saling prihatin.

Bagaimanapun, dalam hidup bersosial terutama bagi yang tinggal di rumah teres taman-taman perumahan, sering terjadi masam muka dan perselisihan faham dengan jiran. Antara puncanya adalah bab kucing dan parkir kereta.

Bab memelihara kucing ini agak sensitif. Ibarat “ditelan mati bapak, diluah mati emak”. Namun, ia perlu juga disebut kerana membiarkan ia berlaku “ibarat api dalam sekam”. Makin lama, makin parah kesannya.

Realitinya, bukan semua orang sukakan kucing. Bagi peminat kucing, barangkali apa pun tindakan atau perbuatan kucing waima berak atau kencingnya tidak jadi hal. Bau haring dan busuk yang ditinggalkan untuk menanda kawasan tidak jadi bekas.

Namun, bagi bukan peminat kucing, hal yang disebutkan tadi amat mengganggu ketenteraman dan psikologi. Kadang-kadang, bangun pagi, ada setompok najis depan pintu rumah ataupun ada kesan kencing kucing pada kasut.

Nasib tak baik, dalam kasut pun ada tahi kucing. Dalam kita bergegas nak ke pejabat waktu pagi, sarung aja kasut terkena ‘jerangkap samar.’

Bagi yang jadi mangsa, pastinya rasa marah dan geram. Demikian juga kalau sarung aja topi keledar tiba-tiba meleleh kencing kucing di muka. Inilah antara senario yang dihadapi oleh sebilangan penduduk. Ironinya, ‘si pelaku’ sukar dikesan kecuali berlaku depan mata.

Hukum asal membela kucing adalah harus. Ini berdasarkan kaedah fikah yang masyhur bermaksud: Hukum asal bagi setiap perkara adalah harus. Dalam isu membela kucing ini tidak ada nas yang menyuruh atau larangan syarak. Maka ia kembali kepada hukum asal iaitu keharusan.

Namun begitu, kita mesti bertimbang-rasa sesama jiran. Hendaklah kita berusaha menjaga keharmonian dan mengelak berlaku pertelingkahan atau kemudaratan. Ini juga disebut kaedah Sadd al-zara’i.

Dengan kata lain ia adalah menutup, menghalang, menyekat, memotong jalan-jalan atau punca-punca serta perbuatan yang boleh membawa kepada kejahatan dan kerosakan. Walaupun pada asalnya jalan-jalan atau punca-punca perbuatan itu diharuskan, apabila didapati ia membawa kepada kejahatan dan kerosakan, maka ia diharamkan dan ditegah.

Demikian juga ada dalam kalangan jiran yang mempunyai alahan atau berpenyakit asma. Mereka ini lebih ‘terseksa’ kerana alah dengan bulu kucing yang berterbangan.

Seterusnya memudaratkan lagi tahap kesihatan mereka.

Seperkara lagi yang sering menjadi asbab bermasam muka adalah bab parkir kenderaan. Kalau tinggal di rumah teres paling banyak sebuah rumah hanya boleh memuatkan dua kereta. Bagaimanapun, atas faktor anak-anak yang semakin dewasa, masing-masing sudah berkereta. Pendek kata, kalau ada lima anak dan sudah bekerja, lima-lima sudah pakai kereta.

Yang jadi masalah, apabila semuanya nak parkir depan rumah masing-masing di kawasan lapang sekangkang kera. Ramai yang tidak mahu parkir jauh sikit demi maslahah atau supaya tidak mengganggu kelancaran lalu lintas.

Ada pula yang tumpang parkir depan rumah jiran berjam-jam lamanya. Sudahlah begitu, tak reti pula nak menjenguk ke luar, kalau-kalau tuan rumah itu sudah pulang.

Lebih tragis, ada yang tumpang parkir depan rumah jiran tetapi tak ada budi bahasa nak meninggalkan nombor telefon untuk dihubungi.

BOMBA, AMBULANS

Sebenarnya, semua ini tidak akan jadi masalah jika kita prihatin dan sentiasa ada perasaan tidak mahu menyusahkan orang lain.

Memang adakalanya, kita dikunjungi sanak saudara lalu parkir tidak ada. Jika demikian halnya, tak salah maklumkan kepada jiran untuk tumpang parkir di depan rumah mereka.

Yang penting, sentiasa berkomunikasi sesama jiran, bukannya dah parkir kemudian buat ‘muka sadin’.

Seperkara lagi, hendaklah kita memikirkan jika berlaku kecemasan, kenderaan kita itu tidak menghalang laluan kenderaan seperti bomba dan ambulans. Jangan kita hanya pentingkan diri dan tidak memikirkan maslahah orang lain.

Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW ada menyebut dalam hadisnya: Daripada Abdullah bin Amru r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sebaik-baik teman disisi Allah ialah orang yang baik terhadap sahabatnya. Manakala sebaik-baik jiran di sisi Allah ialah orang yang paling baik dengan jirannya. (Riwayat Tirmidzi)

Dalam konteks berbuat baik dan menjaga hubungan silaturrahim sesama jiran tetangga itu, janganlah sekali-kali kita menyakiti hati dan juga perasaan mereka, sama ada dengan tutur bicara mahupun tingkah laku.

Ini termasuklah dalam perkara menjaga kebersihan di kawasan kejiranan. Antaranya seperti tidak membiarkan rumput atau pokok-pokok di halaman rumah itu terbiar sehingga mengganggu kawasan atau halaman rumah jiran, membiarkan sampah-sarap berlonggok dan bersepah sehingga mengeluarkan bau busuk dan tidak menyenangkan.

Kita dituntut berbuat baik kepada jiran sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: … Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri. (al-Nisa’: 36)

Justeru, agar hidup kita lebih aman dan tenteram, marilah amalkan perkara-perkara berikut:

1. Jangan menyakiti hati jiran. Sebagai jiran, seseorang itu mestilah menjauhi segala perbuatan yang tidak disenangi oleh tetangganya.
Kita seharusnya mengetahui perkara-perkara yang boleh menyakiti jiran seperti membuat bising pada waktu malam, meletakkan kenderaan di hadapan rumahnya tanpa izin, mematahkan pohon jiran atau membiarkan haiwan ternakan membuang najis di halaman jiran.

Demikian juga perlu mengelak daripada menyakiti hati jiran juga adalah dengan kata-kata yang kesat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Telah berkata seorang lelaki kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya wanita ini terkenal dengan banyaknya solat, berpuasa dan bersedekah tetapi dia sentiasa menyakiti jirannya dengan lidahnya.” Lalu Nabi bersabda: “Dia akan masuk ke dalam neraka.” (Riwayat Ahmad)

2. Berusaha membantu jiran atas keperluannya. Mengambil berat terhadap jiran tetangga kita merupakan satu tuntutan dalam Islam, lebih-lebih lagi kita mengetahui akan kesusahan jiran tetangga kita.

Ini dijelaskan oleh hadis Nabi SAW yang bermaksud: Tidak dikira sebagai seorang mukmin yang mana dia dalam keadaan kenyang sedangkan jiran tetangganya dalam keadaan lapar. (Riwayat Baihaqi)

3. Mencintai mereka persis mencintai diri sendiri. Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan hubungan silaturahim dan pertalian sesama manusia selain menuntut umatnya bercampur gaul dan bermasyarakat. Sekiranya seseorang itu mahukan kebaikan, keselesaan dan keharmonian untuk dirinya sendiri maka begitu juga dengan jiran tetangga.

Mendapat jiran yang baik adalah satu nikmat dalam kehidupan. Di samping kita mengharapkan jiran yang baik, pastikan diri kita juga menjadi jiran yang baik kepada orang lain. – UTUSAN

PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya