DEMOKRASI sering ditakrifkan sebagai suara rakyat. Dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, suara rakyat diterjemahkan melalui pelbagai saluran, khususnya kebebasan memilih pemimpin melalui pilihan raya dan kebebasan bersuara dalam ruang awam.
Kedua-dua unsur ini menjadi asas penting yang menentukan sama ada demokrasi itu benar-benar hidup atau sekadar wujud sebagai simbol politik semata-mata.
Melalui pilihan raya, rakyat diberikan hak untuk memilih wakil yang diyakini mampu memperjuangkan nasib dan kepentingan mereka. Namun demokrasi tidak berakhir di peti undi.
Demokrasi yang matang juga menuntut ruang untuk rakyat menyuarakan pandangan, teguran dan kritikan terhadap dasar atau tindakan kerajaan tanpa rasa takut dan tekanan.
Pemimpin yang dipilih rakyat bukan sekadar untuk memenuhi protokol rasmi, merasmikan program atau berpidato dengan penuh retorik di pentas politik. Sebaliknya, mereka memikul amanah besar untuk bekerja, menyelesaikan masalah rakyat dan memastikan kehidupan masyarakat menjadi lebih baik.
Demokrasi tidak boleh hanya berhenti pada slogan dan janji pilihan raya. Nilainya terletak pada kemampuan pemimpin menterjemahkan janji kepada tindakan yang memberi kesan nyata kepada rakyat.
Pemimpin yang lahir daripada sistem demokrasi mesti memiliki kemampuan mendengar dan memahami denyut nadi rakyat. Mereka bukan sahaja perlu bijak berbicara tetapi juga cekap berkomunikasi, menyampaikan dasar dengan jelas serta bertindak sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat.
Pemimpin yang baik bukan sekadar popular di media atau lantang berhujah di dewan perwakilan tetapi mampu memindahkan agenda pembangunan daripada meja birokrasi kepada realiti kehidupan rakyat.
Dalam konteks ini, kritikan rakyat tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman. Pemimpin yang benar-benar bekerja untuk rakyat tidak akan takut kepada teguran. Sebaliknya, kritikan yang rasional perlu diterima sebagai sebahagian daripada proses memperbaiki kelemahan dan memperkukuh pentadbiran. Tindakan membungkam suara rakyat hanya akan melemahkan semangat demokrasi dan menjarakkan hubungan antara kerajaan dengan masyarakat.
Ahli falsafah Jerman, Jürgen Habermas, melalui karya terkenalnya The Structural Transformation of the Public Sphere (1962), menjelaskan ruang awam ialah tempat rakyat membincangkan urusan bersama secara bebas tanpa tekanan dan penindasan. Dalam ruang awam yang sihat, rakyat boleh berhujah, menilai dan mengkritik dasar kerajaan secara terbuka demi kepentingan bersama.

MEDIA SOSIAL
Hari ini, ruang awam itu semakin berkembang melalui media digital dan media sosial. Kemunculan platform seperti Facebook, X, TikTok, Instagram dan YouTube mengubah landskap komunikasi politik secara besar-besaran.
Rakyat kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada media arus perdana untuk menyuarakan pandangan. Mereka mempunyai ruang yang lebih terbuka, pantas dan meluas untuk menyampaikan keresahan serta pengalaman hidup mereka.
Dalam suasana ekonomi yang mencabar, rakyat menggunakan media sosial untuk meluahkan pandangan tentang kos sara hidup, peluang pekerjaan, mutu pendidikan, keselamatan, perkhidmatan awam dan pelbagai isu lain yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka.
Apa yang disuarakan itu bukan sekadar luahan emosi atau kritikan kosong tetapi harapan agar kerajaan mendengar dan memberikan respons yang sewajarnya.
Oleh sebab itu, kerajaan tidak sepatutnya melihat media sosial sebagai ancaman kepada kestabilan politik. Ruang digital kini menjadi medan awam paling dominan dalam masyarakat moden.
Malah, pemimpin politik sendiri menggunakan media sosial sebagai alat utama untuk mendekati rakyat, membina pengaruh dan membentuk imej politik mereka. Ada pemimpin yang berjaya membina populariti besar melalui media sosial walaupun prestasi sebenar mereka tidak sekuat yang digambarkan.
Justeru, adalah tidak wajar apabila rakyat dipersalahkan hanya kerana menggunakan media sosial untuk mengkritik kerajaan.
Dalam demokrasi yang sihat, rakyat perlu diberikan ruang untuk berbicara secara rasional dan terbuka. Demokrasi bukan budaya memuji tanpa asas atau ‘menjilat’ demi kepentingan tertentu.
Demokrasi yang matang menuntut keberanian untuk menerima pandangan berbeza walaupun pahit didengar.
Namun begitu, kebebasan bersuara juga perlu disertai tanggungjawab. Media sosial tidak boleh dijadikan ruang menyebarkan fitnah, kebencian atau maklumat palsu yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat.
Kebebasan tanpa tanggungjawab akhirnya akan mencetuskan kekeliruan dan meruntuhkan nilai demokrasi itu sendiri. Oleh itu, rakyat dan pemimpin perlu sama-sama membina budaya komunikasi yang matang, beretika dan berpaksikan fakta.
Dalam era demokrasi digital yang semakin mencabar, pemimpin politik perlu menguasai komunikasi yang lebih berkesan dan berjiwa rakyat. Mereka mesti bersedia mendengar, memahami dan menghormati suara masyarakat, termasuk suara yang tidak menyebelahi mereka. Empati menjadi asas penting dalam komunikasi politik kerana rakyat mahu merasakan bahawa masalah mereka benar-benar difahami, bukan sekadar dijawab dengan kenyataan politik yang bersifat defensif.
Malangnya, apa yang sering berlaku ialah sebahagian pemimpin gagal menunjukkan rasa hormat terhadap pandangan rakyat. Kritikan dianggap serangan politik, manakala keluhan masyarakat dipandang sebagai usaha menjatuhkan kerajaan. Sikap seperti ini hanya akan menambahkan jurang kepercayaan antara rakyat dan pemimpin.
Rakyat hari ini semakin celik maklumat dan lebih berani menyuarakan pandangan. Mereka tidak lagi mahu demokrasi yang bersifat sehala, di mana dasar dibentuk tanpa mendengar suara masyarakat. Sebaliknya, rakyat mahukan demokrasi deliberatif, iaitu demokrasi yang membuka ruang dialog dan penglibatan bersama dalam menentukan hala tuju negara.
Media sosial boleh menjadi platform penting untuk membina dialog partisipatif antara rakyat dan kerajaan. Melalui ruang ini, rakyat dapat berkongsi pandangan, menilai dasar serta memberikan maklum balas secara langsung. Jika dimanfaatkan dengan baik, media digital mampu mengukuhkan hubungan antara kerajaan dan rakyat serta memperkasa budaya demokrasi yang lebih matang dan inklusif.
Akhirnya, kekuatan demokrasi tidak hanya terletak pada pilihan raya, tetapi pada sejauh mana rakyat bebas bersuara dan sejauh mana pemimpin bersedia mendengar.
Demokrasi yang sihat lahir daripada komunikasi dua hala yang jujur, terbuka dan penuh rasa hormat. Dalam dunia digital hari ini, suara rakyat tidak boleh lagi disekat dengan mudah.
Sebaliknya, suara itu perlu diraikan sebagai sebahagian daripada denyut kehidupan demokrasi moden. -UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










