DI Malaysia, pemandangan gerai goreng pisang, yong tau foo, keropok goreng dan pelbagai snek tempatan yang dibiarkan terbuka tanpa penutup sudah menjadi perkara biasa.
Makanan yang digemari ramai ini sering terdedah kepada habuk, asap kenderaan, lalat dan serangga lain, khususnya di kawasan tumpuan awam seperti pasar malam, bazar Ramadan dan gerai tepi jalan.
Persoalannya, sejauh mana kita memandang serius isu kebersihan dan keselamatan makanan dalam sektor perusahaan mikro dan kecil?
Hakikatnya, makanan yang terdedah kepada persekitaran terbuka bukan sekadar isu kebersihan luaran tetapi melibatkan risiko kesihatan awam yang lebih besar.
Lalat dan serangga boleh membawa pelbagai kuman dan bakteria berbahaya yang boleh menyebabkan cirit-birit, muntah serta keracunan makanan. Lebih membimbangkan, golongan kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai sistem imun yang lemah lebih terdedah kepada komplikasi serius akibat makanan yang tercemar.
Setiap tahun, kes penyakit bawaan makanan terus dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM), dan sebahagian daripadanya berpunca daripada amalan pengendalian makanan yang tidak selamat.
Pada 2023, Bahagian Kawalan Penyakit, KKM melaporkan penyakit bawaan makanan/keracunan makanan yang direkodkan di seluruh negara ialah sebanyak 17,916.
Manakala, pada 13 September 2025, sebuah akhbar berbahasa English tempatan memetik KKM melaporkan walaupun kes keracunan makanan menurun sebanyak 28.9 peratus, namun masih mencatatkan sejumlah 12,821 kes.
Walaupun terdapat penurunan kes pada tahun lalu jika dibandingkan pada 2023, angka yang didedahkan masih tinggi dan tidak boleh dipandang ringan. Ini menunjukkan isu keselamatan makanan masih belum ditangani secara menyeluruh, khususnya dalam sektor tidak formal.
Walaupun Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah lama berkuat kuasa, namun tahap pematuhan dalam kalangan peniaga makanan mikro dan kecil masih tidak memuaskan.
Dalam banyak keadaan, makanan dimasak dengan baik, namun selepas itu dibiarkan terbuka untuk tempoh yang lama. Pengguna pula terus membeli makanan tersebut atas faktor harga yang berpatutan, kemudahan dan kebiasaan, tanpa menyedari risiko kesihatan yang dihadapi.
Situasi ini menunjukkankan terdapat jurang antara peraturan dan pelaksanaan di lapangan.
Oleh itu, sudah tiba masanya tindakan yang lebih tegas perlu diambil pihak berkuasa tempatan (PBT). Peniaga makanan mikro dan kecil perlu diwajibkan menutup makanan jualan mereka, bukan sekadar diberi nasihat atau galakan.
Langkah ini tidak seharusnya dilihat sebagai beban kepada peniaga kecil, sebaliknya sebagai satu bentuk perlindungan kepada pengguna serta usaha meningkatkan standard keselamatan makanan negara.
Dalam konteks ini, penyediaan peralatan yang praktikal dan mampu milik amat penting.
Penggunaan penutup lutsinar, jaring kalis serangga atau kabinet makanan mudah alih boleh menjadi penyelesaian yang sesuai dengan operasi gerai kecil.
PBT dengan kerjasama kerajaan negeri dan agensi berkaitan, boleh mempertimbangkan pemberian subsidi atau insentif bagi membantu peniaga supaya beralih kepada amalan yang lebih selamat tanpa menjejaskan pendapatan mereka.
Pendekatan ini lebih inklusif dan berkesan dalam memastikan pematuhan jangka panjang.
Selain itu, aspek pendidikan dan kesedaran juga perlu diperkukuh. Ramai peniaga mikro beroperasi berdasarkan pengalaman dan tradisi keluarga tanpa latihan formal dalam keselamatan makanan. Oleh itu, kursus pengendalian makanan perlu diperkemas dengan penekanan yang khusus terhadap kepentingan menutup makanan serta kesan kesihatan yang mungkin timbul jika amalan ini diabaikan.
Pendekatan pendidikan yang bersifat praktikal dan mudah difahami akan lebih berkesan dalam mengubah tingkah laku peniaga.
Penguatkuasaan yang konsisten juga merupakan elemen penting dalam memastikan keberkesanan dasar ini. Peniaga yang gagal mematuhi peraturan asas kebersihan, termasuk menutup makanan, wajar dikenakan tindakan seperti kompaun atau amaran.
Walau bagaimanapun, penguatkuasaan ini perlu dilaksanakan secara berhemah dengan mengambil kira kedudukan ekonomi peniaga kecil.
Pendekatan ini bukan bertujuan untuk menghukum semata-mata tetapi sebagai peringatan tegas keselamatan makanan adalah isu serius yang melibatkan kesihatan awam.
Pendekatan seimbang antara pendidikan dan penguatkuasaan akan menghasilkan perubahan yang lebih mampan.
Dari sudut ekonomi, amalan kebersihan yang baik sebenarnya memberi manfaat kepada peniaga itu sendiri. Peniaga yang menjaga kebersihan akan lebih dipercayai oleh pelanggan, sekali gus meningkatkan jualan dan kesetiaan pengguna.
Dalam jangka panjang, ia juga membuka peluang kepada peniaga mikro untuk mengembangkan perniagaan, mendapatkan pensijilan halal, serta menyertai platform ekonomi yang lebih formal seperti perniagaan dalam talian dan francais.

TANGGUNGJAWAB
Dari perspektif Islam, kebersihan merupakan sebahagian daripada tuntutan iman. Prinsip hifz al-nafs (memelihara nyawa) dalam maqasid syariah menekankan kepentingan melindungi kesihatan manusia daripada sebarang mudarat. Oleh itu, memastikan makanan yang dijual adalah bersih dan selamat bukan sahaja tanggungjawab sosial tetapi juga amanah agama yang perlu dipelihara oleh setiap peniaga Muslim.
Kesimpulannya, sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, Malaysia perlu mengambil berat tentang kebersihan kerana ia adalah tuntutan agama, bukan pilihan semata-mata.
Bersempena dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, mewajibkan peniaga makanan mikro dan kecil menutup makanan jualan mereka bukan hanya satu langkah praktikal yang berimpak tinggi, malah akan meningkatkan lagi imej Malaysia di mata dunia.
Peraturan ini hendaklah dimulakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana kedudukan Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia.
Sebagai ibu negara, Kuala Lumpur merupakan pintu masuk utama pelancong antarabangsa dan sering menjadi rujukan pertama dalam membentuk persepsi terhadap Malaysia.
Amalan kebersihan makanan di Kuala Lumpur secara langsung mencerminkan imej negara di mata dunia. Dengan penguatkuasaan yang tegas oleh PBT, penyediaan peralatan yang sesuai serta pendidikan berterusan, Malaysia mampu mengurangkan risiko penyakit bawaan makanan dan yang lebih penting membina budaya kebersihan yang kukuh demi kesejahteraan semua. –UTUSAN
PROFESSOR Dr. Norma Md. Saad ialah Pengarah Pusat Ekonomi Islam, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










