Kejayaan tidak diukur pada nama universiti semata-mata

Kejayaan tidak diukur pada nama universiti semata-mata

KEJAYAAN seseorang tidak seharusnya diukur berdasarkan nama universiti semata-mata tetapi pada kemahiran, ilmu dan kemampuan mereka menyumbang kepada masyarakat serta industri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diumumkan, suasana pasca peperiksaan pastinya diselubungi dengan pelbagai naratif kejayaan. 

Media sosial dipenuhi dengan perkongsian slip keputusan cemerlang, manakala institusi pengajian tinggi mula membuka pintu seluas-luasnya. 

Bagaimanapun, di sebalik keghairahan memburu tempat di universiti penyelidikan terkemuka, wujud satu trend yang membimbangkan dalam kalangan lepasan sekolah apabila mereka kurang kesedaran dan cenderung memandang rendah terhadap peluang pengajian di politeknik serta Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Kedua-dua institusi ini sering kali tersisih daripada senarai keutamaan, malah diletakkan sebagai pelan sandaran atau ‘pilihan kedua’ sekiranya gagal menempatkan diri di universiti arus perdana yang lain. 

Persepsi lapuk ini bukan sahaja merugikan potensi individu pelajar, malah berisiko memperlahankan agenda nasional dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang kalis masa hadapan.

 

MEMBEDAH AKAR UMBI SINDROM ‘MENARA GADING’ TRADISIONAL

Mengapakah politeknik dan UiTM berhadapan dengan cabaran persepsi dalam kalangan generasi muda hari ini? Jawapannya berakar umbi daripada acuan minda masyarakat yang masih mengagungkan  kecemerlangan akademik konvensional berorientasikan teori semata-mata.

Pertama, faktor prestij nama institusi memainkan peranan besar. Sejarah sekian lama, status sosial seseorang pelajar sering dinilai berdasarkan nama universiti elit yang berjaya dilonjaknya. 

Ibu bapa dan rakan sebaya tanpa sedar mewujudkan tekanan psikologi yang mengecilkan skop kejayaan di luar daripada acuan tradisional tersebut.

Kedua, terdapat salah faham yang menebal terhadap sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang diterajui politeknik. Ia sering disalahertikan sebagai laluan ‘kelas kedua’ untuk pelajar yang kurang cemerlang dalam subjek akademik teras. Hakikatnya, landskap TVET global hari ini sudah  berubah sepenuhnya menjadi pemacu utama kepada industri moden dan berteknologi tinggi.

Ketiga, kapasiti besar UiTM kadangkala disalah tafsir sebagai lambang kelonggaran standard kualiti. Disebabkan misinya yang memfokuskan kepada pendemokrasian pendidikan dan pemerkasaan bumiputera, wujud naratif dangkal bahawa kelulusan UiTM ‘mudah diperoleh’ dan kurang berdaya saing. Ini adalah mitos bahaya yang perlu diperbetulkan segera dengan bersandarkan realiti semasa.

 

REALITI POLITEKNIK: HAB KEMAHIRAN DINAMIK DAN KEBOLEHPASARAN PREMIUM

 

Apabila meneliti trend industri pasca-pandemik, pandangan serong terhadap politeknik jelas sekali bertentangan dengan realiti pasaran kerja memandangkan kebolehan fizikal dan kemahiran taktikal kini menjadi mata wang baharu yang paling diburu oleh majikan. 

Realitinya, data rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) secara konsisten menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan politeknik di Malaysia berada pada tahap yang sangat membanggakan apabila sering kali melebihi 95 peratus, sekali gus mengatasi sesetengah university konvensional. 

Hal ini membuktikan majikan tidak lagi sekadar membeli jenama skrol, sebaliknya memburu bakat yang ‘sedia kerja’. 

Faktor utama kejayaan ini didorong kurikulum yang menerapkan formula 60  hingga 70 peratus latihan praktikal di makmal dan bengkel, berbeza dengan kaedah pembelajaran tradisional yang sarat dengan teori di dewan kuliah. 

Melalui pendekatan ini, pelajar didedahkan secara langsung kepada instrumen industri sebenar seperti sistem automasi, robotik, kecerdasan buatan (AI) dan kejuruteraan pesawat, yang akhirnya melahirkan graduan kompeten tanpa memerlukan tempoh latihan semula yang panjang sebaik sahaja menapak ke alam pekerjaan.

 

REALITI UITM: RAKSASA PENDIDIKAN BERPRESTASI TINGGI DAN DIIKTIRAF GLOBAL

Memandang rendah terhadap UiTM merupakan penanda kurangnya maklumat komprehensif mengenai pencapaian institusi mega ini kerana sebagai universiti terbesar di Malaysia, ia terbukti melahirkan ratusan ribu profesional yang kini menggerakkan roda ekonomi negara. 

Bukannya sekadar kilang melahirkan graduan, UiTM bertindak sebagai hab  kecemerlangan akademik yang diiktiraf dunia menerusi akreditasi antarabangsa, seperti Fakulti Perakaunan yang menjadi antara pengeluar bakat perakaunan profesional (ACCA dan CIMA) terbesar dan terbaik di rantau Asia Tenggara, di samping bidang kejuruteraan, seni bina, undang-undang, serta komunikasi massa yang sentiasa memenuhi standard ketat badan penilaian global.

Selain kecemerlangan akademik, kelebihan utama bergelar graduan UiTM adalah akses kepada jaringan alumni terbesar di Malaysia yang merangkumi tokoh-tokoh penting seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), pengarah syarikat gergasi, mahupun pakar teknologi terkemuka. 

Kewujudan rangkaian alumni yang kukuh di pelbagai sektor korporat dan kerajaan ini secara tidak langsung memberikan kelebihan strategik kepada graduan baharu, terutamanya dalam membuka peluang latihan industri serta penempatan kerjaya dengan lebih pantas.

 

STRATEGI NASIONAL: MENGUBAH PERSEPSI DEMI MASA DEPAN NEGARA

Bagi menepis stigma ini daripada terus membelenggu minda lepasan SPM dan STPM, satu usaha yang agresif dan bersepadu mesti digerakkan di semua peringkat. 

Ia perlu bermula dengan anjakan paradigma ibu bapa  harus keluar daripada kepompong pemikiran konvensional yang mengehadkan takrifan kejayaan anak-anak kepada kerjaya tradisional seperti doktor atau peguam sahaja. 

Sokongan moral terhadap minat anak-anak dalam bidang teknikal, kemahiran, dan vokasional di politeknik harus diberikan secara terbuka dan bangga, manakala di peringkat sekolah pula, pemerkasaan kaunseling kerjaya perlu dilaksanakandengan membekalkan guru bimbingan maklumat serta data realistik terkini mengenai prospek pasaran kerjaTVET serta kehebatan program kontemporari UiTM melalui program lawatan industri dan pendedahan awal. 

Di samping itu, institusi media massa seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut memainkan peranan kritikal dalam meruntuhkan dinding persepsi negatif ini dengan mempamerkan kisah-kisah kejayaan graduan, termasuk menonjolkan usahawan teknologi muda mahupun jurutera tempatan berpendapatan premium hasil didikan kedua-dua institusi tersebut bagi membina imej baharu yang lebih segar, dinamik dan eksklusif.

Landskap ekonomi masa hadapan  tidak lagi menjanjikan persekitaran yang selesa kepada mereka yang hanya bergantung kepada teori semata-mata. Kebolehan untuk beradaptasi, menguasai kemahiran teknikal dan memiliki ketahanan diri adalah kunci utama kelangsungan hidup dalam industri.

Politeknik dan UiTM bukanlah destinasi untuk mereka yang tercicir, sebaliknya kedua-duanya merupakan pelantar peluncuran strategik bagi mereka yang bijak merancang masa hadapan dengan berpijak di bumi nyata. 

Sudah tiba masanya lepasan SPM dan STPM membuka mata, menepis segala bentuk prejudis dan melihat peluang di kedua-dua institusi ini sebagai langkah pertama yang kukuh ke arah membina kerjaya yang cemerlang, mampan dan dihormati. 

Kejayaan sejati tidak lagi diukur pada nama gah universiti di atas skrol tetapi pada nilai implikasi, kepakaran dan bakat yang mampu anda sumbangkan kepada kemajuan negara. –UTUSAN

 

PROFESSOR MADYA DR. MOHD. SHAHNAWI MUHMAD PIRUS ialah pensyarah di Pusat Komunikasi dan Multimedia, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×