PENTAS politik Malaysia bersiap sedia untuk satu lagi babak penuh debaran apabila bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, bersama Nik Nazmi Nik Ahmad secara rasmi mengumumkan penubuhan Parti Bersama Malaysia (Bersama), sebuah entiti politik baharu yang digambarkan sebagai platform perjuangan generasi kedua reformasi.
Perkembangan ini, yang disahkan sendiri oleh Rafizi dalam satu sidang media tergempar, bukanlah sekadar riak kecil dalam kolam politik negara. Ia adalah gegaran tektonik yang berpotensi mengubah sepenuhnya peta kuasa menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), satu pilihan raya yang Perdana
Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sendiri membayangkan mungkin akan diadakan lebih awal jika kemelut politik berterusan.
Dalam landskap yang sudah sangat berpecah, kehadiran parti Bersama menimbulkan satu persoalan fundamental yang menyeksakan, adakah ia akan menjadi kuasa penentu yang menyatukan serpihan undi progresif, atau semata-mata menjadi agen perosak atau spoiler yang secara tidak langsung menghadiahkan kemenangan kepada musuh tradisinya?
Benarkah 15 peratus undi di kubu PH rapuh?
Untuk mencari jawapan, kita tidak boleh bergantung kepada retorika atau sentimen semata-mata. Kita perlu menyelami data dan di sinilah kebolehan analisis yang sinonim dengan imej Rafizi sendiri perlu diuji ke atas realiti politiknya.
Sekiranya satu simulasi pilihan raya yang komprehensif telah dijalankan, menumpukan kepada 16 kerusi Parlimen paling marginal yang dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) pada PRU15.
Ini adalah kerusi-kerusi seperti Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Tebrau yang dimenangi dengan majoriti sangat tipis, kebanyakannya di bawah 2,000 undi.
Kerusi-kerusi ini bukanlah kubu kebal, tetapi lebih kepada pos-pos hadapan yang terdedah kepada sebarang perubahan angin politik. Dalam simulasi ini, dengan mengandaikan senario empat penjuru paling asas, PH, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan parti Bersama.
Andaian utamanya adalah mudah tetapi mematikan, parti Bersama, dengan tarikan Rafizi, sekiranya berjaya mencuri 15 peratus daripada jumlah undi yang diperoleh PH pada PRU15 di 16 kerusi tersebut, sementara jumlah undi mutlak untuk PN dan BN diandaikan tidak berubah daripada prestasi PRU15 lalu.
Apakah yang akan terjadi apabila andaian ini dimasukkan ke dalam model First Past The Post yang diamalkan di Malaysia?
Jawapan statistiknya adalah kejam. Parti Bersama akan memenangi sifar kerusi. Kosong.
Walaupun berjaya meraih sehingga 15 peratus undi PH, parti itu sendiri tidak akan mampu mengatasi baki 85 peratus undi PH yang masih setia. Namun, riak politiknya jauh lebih besar.
Dengan mengeluarkan 15 peratus undi itu daripada tabung PH, parti Bersama telah melarikan jumlah undi yang selalunya jauh lebih besar daripada majoriti tipis yang dimiliki PH. Di Kuala Selangor, sebagai contoh, majoriti PH adalah sebanyak 1,002 undi.
Peralihan 15 peratus undi PH kepada parti Bersama bermakna kehilangan sekitar 4,655 undi. Ini terus menenggelamkan calon PH ke tempat kedua, manakala calon PN yang selesa mengekalkan 30,031 undinya akan muncul sebagai pemenang tanpa perlu menambah sebarang undi baharu.
Fenomena ini berulang di kesemua 16 kerusi marginal yang dikaji. Di mana ada benteng PH yang rapuh, disitu parti Bersama, secara tidak sengaja, bertindak sebagai katalis yang mempercepatkan keruntuhannya.
PH diunjurkan kehilangan kesemua 16 kerusi ini, jatuh daripada 82 kerusi kepada 66 kerusi, manakala PN secara senyap-senyap menambah 13 kerusi menjadi 87 kerusi, hampir kepada kedudukan untuk membentuk kerajaan. BN pula akan menerima habuan tiga kerusi daripada kubu DAP marginal.
Paradoks Parti Baharu
Senario ini mendedahkan satu paradoks pahit dalam politik kepartian. Semakin berjaya parti Bersama dalam “mencari identiti” dengan menarik penyokong tegar PH yang kecewa atau inginkan kelainan, semakin besar peluang mereka untuk memusnahkan blok progresif itu sendiri, sambil kekal tidak relevan di Parlimen.
Dalam mana-mana sistem First Past The Post, undi yang berpecah dalam kalangan penyokong yang berfahaman sama adalah resipi untuk kekalahan. Ini adalah ironi paling getir bagi Rafizi.
Beliau, yang suatu ketika dahulu menggunakan kepakaran data untuk membuktikan bahawa penyatuan adalah jalan untuk menang, kini menerajui instrumen yang datanya sendiri menunjukkan akan menjadi punca kekalahan blok asalnya.
Jika sumber undi utama parti Bersama hanyalah penyokong PH yang berhijrah, tanpa keupayaan luar biasa untuk menarik pengundi atas pagar, pengundi muda yang tidak berparti, atau penyokong PN dan BN secara besar besaran, maka kesimpulannya adalah jelas, parti Bersama bukanlah pengubah permainan, tetapi alat pemusnah diri bagi blok reformis.
Faktor X: Kelemahan Dalaman BN dan Kekukuhan Pasif PN
Walau bagaimanapun, adalah terlalu simplistik untuk sepenuhnya mengebumikan potensi PH dan menabalkan PN sebagai penerima kekal berdasarkan simulasi ini. Dinamika sebenar PRU16 adalah jauh lebih kompleks dan dipenuhi dengan faktor-faktor yang tidak menentu.
Analisis boleh menunjukkan bahawa potensi kekalahan besar PH sangat tertakluk kepada kekuatan relatif BN dan PN, dua entiti yang berjalan di atas landasan yang sangat berbeza ketika ini.
Di satu pihak, PN sedang menikmati kedudukan yang sangat selesa, satu posisi kekukuhan pasif. PN tidak perlu melakukan apa-apa yang drastik untuk menang besar.
Mereka tidak perlu menambah kerusi baharu, tidak perlu memperkenalkan naratif baharu yang radikal dan tidak perlu menyelesaikan masalah dalaman mereka.
Tugas mereka hanyalah satu: Memastikan tiada kebocoran undi daripada 74 kerusi sedia ada mereka.
Dengan mengekalkan sokongan Melayu Islam yang dominan yang telah mereka buktikan dalam PRU15 dan pelbagai Pilihan Raya Kecil (PRK), mereka hanya perlu duduk diam, melihat undi PH dan BN berpecah dan memungut sisa-sisa kerusi marginal yang runtuh.
Seperti burung hering yang sabar menunggu mangsanya mati akibat perbalahan sesama sendiri, itulah strategi PN yang paling berkesan.
Mereka adalah penerima manfaat terbesar daripada sebarang perpecahan di kalangan lawan mereka.
Di pihak yang lain, BN adalah teka-teki terbesar. Sedang kuat diperkatakan bahawa BN mungkin akan bergerak secara solo, tanpa bergabung dengan PH, dalam PRU16 akan datang.
Namun, sebarang kesimpulan untuk mengatakan mereka berpotensi menang besar adalah terlalu awal dan sangat berbahaya. Kewibawaan BN sebagai kuasa dominan telah musnah.
Mereka kini adalah parti yang berjuang untuk pulih, bukannya untuk menguasai. Masalah dalaman UMNO masih belum selesai, pimpinan mereka masih bergelut untuk mendapatkan semula kepercayaan pengundi Melayu yang telah beralih kepada PN dan jenama mereka masih terpalit dengan persepsi negatif masa lalu.
Bergerak secara solo mungkin memberi mereka identiti yang lebih jelas berbanding menjadi sekutu yang tidak selesa dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi ia juga mendedahkan mereka kepada risiko ditenggelami sepenuhnya oleh gelombang hijau PN dalam pertarungan terus di kawasan Melayu.
Kekuatan BN bukan lagi pada keupayaan untuk menang besar, tetapi pada sejauh mana mereka mampu untuk tidak kalah teruk. Dalam konteks simulasi ini, sebarang kemerosotan BN akan membuka laluan lebih besar untuk PN, dan mungkin secara paradoks memberi sedikit ruang nafas kepada PH.
Landskap PRU16 bukanlah tentang siapa yang akan menang majoriti, tetapi tentang bagaimana kekalahan akan diuruskan. PH, yang merupakan wadah asal Rafizi, kini berhadapan dengan ancaman eksistensial daripada bekas pemimpinnya sendiri.
Di bawah bayangan parti Bersama, mereka bukan sahaja perlu melawan PN dan BN, tetapi juga perlu melawan hantu perpecahan yang dijelmakan oleh bekas rakan seperjuangan.
Parti Bersama, dalam senario 15 peratus ini, tidak akan ke Putrajaya sebagai kerajaan, mereka akan tinggal di luar dewan, menjadi catatan kaki tragis dalam sejarah politik Malaysia, dikenang sebagai parti yang secara tidak sengaja menghadiahkan kunci negara kepada musuh yang paling ingin mereka lawan.
Sementara PN mungkin tersenyum melihat perpecahan ini dan BN bergelut dengan nasibnya sendiri, pentas PRU16 akan menyaksikan drama paling sinis dalam sejarah demokrasi negara, kemenangan yang dicipta bukan oleh kekuatan sendiri, tetapi oleh kelemahan dan perpecahan lawan.
Itu kalau 15 peratus perubahan undi, kalau 20 atau 30 peratus? – UTUSAN
PENULIS ialah pensyarah di Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)










