Kembali ke akar, kenali bahasa Melayu

Kembali ke akar, kenali bahasa Melayu

TANPA menguasai bahasa Melayu dengan baik, seseorang tidak dapat merasakan kecintaan kepada ibu pertiwi, kesediaan untuk hidup dalam suasana penuh toleransi dan memupuk persefahaman. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ASLIKAH bahasa Melayu? Akan tetap ada sanggahan. Bahasa Melayu konon hanya memiliki empat patah perkataan. Penyanggah sudah tentulah bukan seorang yang mempunyai kepandaian dalam ilmu bahasa. Terutama hakikat bagaimana bahasa dicipta, dibina dan dimajukan.

Apabila memahami, bahasa Melayu telah menerima pelbagai perbendaharaan kata, pengukuhan hukum tatabahasa, sistem sebutan dan tali arus masukan istilah. Bahasa Melayu sentiasa seiring dengan kemajuan dan perkembangan zaman sebagaimana bahasa-bahasa lain di dunia. Boleh dikatakan tiada satu pun bahasa yang sempurna dengan sendirinya. Dalam hubungan ini, bahasa Melayu wajar sekali dipertahankan keaslian yang ada.

Peri cantiknya bahasa Melayu tiada sesiapa boleh menafikan. Dengan menelusuri serba sedikit sahaja pun kita akan merasakannya. Dalam masyarakat kita, padi diketahui hasil tanaman di sawah bendang. Padi dituai, kemudian dileraikan daripada tangkainya, dibawa pulang. Daripada padi ini, ia diproses, dapatlah beras. Setelah ditanak kita pun hidang. Ada terjumpa padi dalam nasi. Padi ini tidak lagi dipanggil padi, ia sudah dinamakan antah.

Begitu juga air. Tatkala membawanya ke kuali, ia masih air. Apabila selesai lauk dimasak, ia dihidang. Air itu sekarang dipanggil kuah.

Ramaikah lagi yang memahami segala bentuk simpulan bahasa, peribahasa, kata-kata kiasan yang penuh perlambangan yang bahasa Melayu sejak zaman-berzaman tawarkan? Siapakah yang masih menggunakannya? Apakah masyarakat masih teruja menggunakannya dalam keadaan wacana dan bentuk komunikasi sekarang yang serba diringkaskan?

Kita perlu kembali ke akar untuk lebih mengenali. Kalau tidak mengenali, seseorang mudah merasakan tipisnya bahasa Melayu. Sedangkan sejak zaman-berzaman bahasa Melayu telah jelas memikul peranan. Sebut sahaja apa bidang ilmunya, bahasa Melayulah yang mengantarakannya – alam, sejarah, kemasyarakatan, perubatan, perang, siasah, hikayat bahkan agama. Ertinya, bahasa Melayu sudah pun mampu menampung keperluan menyatakan ilmu, memperkatakan nilai, pemikiran, falsafah dan sebagainya.

Mengapakah yang menghairankan dalam zaman kemajuan ini, bahasa ini tiba-tiba dikatakan tidak cukup dan kurang mampu mengungkapkan sesetengah bidang seperti sains? Sekarang, sedarlah bahawa tersangat banyak rungutan betapa sukar untuk membaca atau memperoleh hasil penulisan menggunakan bahasa Melayu yang baik.

Jauh lebih malang untuk mendapatkan penulisan yang indah dan cemerlang.

Sebenarnya kita kehilangan sentuhan sukma bahasa. Oleh terlalu biasa dengan penggunaannya yang mudah-mudah, seumpama dalam komunikasi sehari-hari yang lazim, banyak terlupa bahawa bahasa Melayu mampu mengupas isu secara lengkap, menganalisis keadaan dengan mendalam dan memperkatakan sesuatu hatta abstrak sekalipun.

MAKAN-MAKAN

Dunia mistik Melayu zaman lampau sebagai contoh, bukan calang-calang keluarbiasaannya. Bayangkan bahasa apakah yang menghuraikannya? Dalam lingkungan yang serba membataskan, lebih malang lagi, ruang untuk percambahan fikiran semakin mengecil dan menyempit. Seminar dan simposium yang seharusnya menjadi landas terbaik sering lali terisi dengan wadah yang tidak membantu dalam mencari sentuhan-sentuhan sukma bahasa.

Sungguh teruja apabila menyebut ‘makan’ yang membawa maksud sedang serius menikmati sesuatu hidangan. Sedangkan, ‘makan-makan’ juga merujuk perbuatan makan akan tetapi santai dan tidak bersungguh-sungguh. ‘Mereka bersembang di beranda’, sudah tentu berbeza dengan ‘Mereka sembang-sembang’ atau ‘sembang-sembang kosong sahaja.’ Baring dengan baring-baring, dua perlakuan yang menunjukkan situasi berlainan. Tentulah menakjubkan apabila corak penggunaan bahasa yang pelbagai ragam diwariskan kepada generasi kita oleh nenek moyang.

Setiap kali timbul isu kelemahan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan segelintir rakyat, akan muncullah alasan negara sudah 65 tahun merdeka. Alasan ini sangatlah membebankan. Harus diakui kedapatan di setiap generasi mereka yang tercicir dalam pelajaran, tidak menghabiskan persekolahan atau sebab-sebab tertentu gagal menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Bukan itu sahaja, ada kedapatan individu yang tidak boleh menguasai apa-apa bahasa sekalipun. Akan tetapi, persoalan mengapakah keadaan sedemikian rumit seperti ini terjadi sebenarnya memerlukan perhatian semua pihak. Sejak berapa lamakah keadaan ini dibiarkan?

Bahasa Melayu, bahasa kebangsaan. Orang selalu menyebutnya bahasa jambatan perpaduan, bahasa pengukuhan jati diri, bahasa yang mencerminkan patriotisme. Hal ini benar. Akan tetapi lebih benar lagi bahawa bahasa itu jiwa bangsa. Tanpa menguasai bahasa Melayu dengan baik, seseorang tidak dapat merasakan segala-galanya – kecintaan kepada ibu pertiwi, kesediaan untuk hidup dalam suasana penuh toleransi, memupuk persefahaman mendalam.

Pernah dahulu disuarakan orang, apakah terkurang nilai kasih andai menzahirkan kecintaan kepada tanah air bukan melalui bahasa Melayu, bahasa Inggeris umpamanya? Sekali lagi jawapan seperti ini amatlah membebankan semua orang.

Bahasa Melayu, bahasa kita. Terimalah kenyataan dan hakikat ini. Tanggungjawab kita mempertahan dan memuliakannya. Dengan segala kerelaan yang ada, semua orang boleh menangkis pandangan rendah bahkan penghinaan terhadap bahasa Melayu.

Bahasa yang hidup di mana-mana pun demikianlah, melakukan penyesuaian ke arah kebaikan. Proses pembakuan terus berlangsung demi memantapkan dan memperkasakannya. Leburkan defisit keyakinan kepada kedaulatan bahasa Melayu, sekiranya ada dengan menyungguhi keupayaan dan keampuhannya. Tugas kita selain itu mempertahankan keaslian, bukan menggadai kemuliaannya! – UTUSAN

DR. Lim Swee Tin ialah bekas guru Bahasa Melayu selama lebih 28 tahun dan pensyarah kesusasteraan di universiti selama 12 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN