Jangan ‘pisang berbuah dua kali’

Jangan ‘pisang berbuah dua kali’

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

TIMBALAN Pengerusi Barisan Nasional (BN), DATUK SERI MOHAMAD HASAN menarik perhatian hal ini kepada Utusan Malaysia. Katanya, BN cuma ada 34 peratus sahaja dalam Kabinet. Walaupun dalam Kabinet ramai UMNO tetapi kementerian-kementerian utama khusus yang berkepentingan rakyat tidak diketuai UMNO. Antaranya portfolio ekonomi (Unit Perancang Ekonomi, EPU), perdagangan (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, MITI), pertanian, hal ehwal pengguna dan kewangan.

Majlis Pemulihan Negara pula katanya seperti tidak ada apa-apa. Anehnya katanya lagi, dengar khabar, orang yang mengetuainya sibuk hendak jadi Perdana Menteri semula.

Kepada wartawan ZULKIFLI JALIL, Mohamad menyedari ramai kini hendak bertanding atas tiket BN/UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Dahulu nak sebut nama BN/UMNO pun takut dan malu. Kalau setakat nak pilih parti kerana nak jadi calon dan bertanding, BN kena hati-hati. Tapi kalau nak lakukan khidmat bakti, kita akan lihat dan pertimbangkan,” kata Timbalan Presiden UMNO itu dalam pertemuan sejam di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

UTUSAN: Parti-parti pembangkang beria-ia mahu wujudkan ‘khemah besar’ berdepan BN dalam PRU15. Berjayakah mereka?
MOHAMAD: Khemah besar ini hasrat sebenar mereka bukan nak tubuhkan kerajaan yang kuat atau stabil. Tujuan mereka semata-mata mahu tumpaskan BN dalam PRU15. Mereka bukan bersatu dan bekerjasama atas dasar ideologi atau kepentingan rakyat. Yang jelas dan berkemungkinan besar, idea khemah besar itu wujud dan dijaja semata-mata kerana mereka hendak menang pilihan raya. Itu sahaja. Sama seperti Pakatan Harapan (PH) dahulu. Yang bermusuh, yang berseteru, yang selama ini bertikam lidah, bersatu di bawah PH menggunakan bendera dan logo PKR. Namun, selepas PRU, selepas membentuk kerajaan, berjayakah mereka bekerjasama?

Kalau mereka ingin membuat khemah besar untuk tubuhkan kerajaan yang kuat dan stabil, saya fikir susah untuk tubuhkan kerajaan yang stabil selepas pilihan raya.

Khemah besar ini akan disertai pelbagai parti yang mempunyai pelbagai agenda dan matlamat. Kebanyakannya saling bercanggah dan dengan haluan yang berbeza. Jadi, pada saya, khemah besar ini sebenarnya bukan untuk usaha tubuhkan kerajaan yang mantap, kuat dan stabil. Ia sekadar naratif untuk jatuhkan BN, untuk menang PRU.

Seperti yang saya sebutkan tadi, sama seperti PH dahulu. Semua di dalamnya sekadar bersama-sama mahu menjatuhkan BN. Tetapi apabila kerajaan yang dibentuk itu tidak mempunyai agenda untuk negara, tidak ada persefahaman, tidak ada kejelasan ideologi dan prinsip, lihat sahaja apa yang berlaku. Bertahan tak sampai dua tahun pun.

Jadi, sama ada berjaya atau tidak mereka, saya tidak mahu membuat ramalan dan tilikan. Biar masa sahaja yang menentukan. Cuma yang penting, rakyat di luar sana kena faham dan berhati-hati. Supaya tidak terperangkap sekali lagi, supaya pisang tidak berbuah dua kali.

Adakah khemah besar ini diwujudkan kerana bimbang asyik kalah dalam pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK)?
Sekali lagi, saya tidak mahu membuat ramalan atau tekaan. Motif dan rasional yang melatari idea khemah besar ini hanya mereka yang tahu. Tetapi, kalau kita ingin mengandaikan niat dan matlamat mereka, saya percaya sesiapa pun risau. Kalau saya di sebelah sana pun, saya sendiri akan risau.

Mana tidaknya, BN menang dalam hampir kesemua siri PRK selepas PRU14. Dalam tiga PRN, kita menang selesa. Dalam PRN Melaka (20 November 2021) misalnya, bukan sahaja BN menang dua pertiga, tapi menang tiga perempat. Di Sarawak (PRN 18 Disember 2021), (Tan Sri) Abang Johari (Abang Openg) boleh dikatakan mencatat kejayaan clean sweep. Dan di Johor (12 Mac 2022), BN menang dengan amat selesa lebih dua pertiga.

Jadi, pada pihak sebelah sana, kerisauannya agak jelas. Tetapi kalau ditanya pada mereka, pasti mereka tidak akan cakap yang mereka takut dan gentar dengan BN. Itu lumrah. Cuma, kalau kita lihat pada gerak badan dan tutur bahasa, boleh dikatakan mereka agak risaukan BN sebenarnya. Ombak gelombang sokongan rakyat kepada BN telah kembali. Jadi, mereka akan buat apa sahaja untuk menyekat dan tidak mahu melihat BN kembali diberi mandat oleh rakyat.

UMNO sendiri gusarkah dengan khemah besar?
Jika khemah besar ini benar-benar dapat dilakukan, ia akan jadi macam PRU14. Suatu pasukan pembangkang, pasukan yang menentang kita, pasukan yang kuat. Adalah munasabah untuk UMNO berasa gusar. Malah, saya sendiri tidak mahu UMNO berasa terlalu selesa dan tidak memberi perhatian kepada apa yang sedang berlaku. Saya mahu UMNO berasa gusar.

Tetapi kegusaran tersebut mestilah diterjemahkan kepada kerja keras, perpaduan dalam parti dan kesungguhan memberi khidmat kepada rakyat. Kerana akhirnya, semuanya nanti terletak kepada bagaimana pengundi melihat mereka dan kita. Setelah tiga jenis kerajaan yang terbentuk, saya yakin rakyat mempunyai sandaran dan kayu ukur sendiri dalam menentukan kerajaan yang bagaimanakah yang mereka yakini dan perlukan.

Kerajaan BN sebelum 2018 atau Kerajaan PH 22 bulan sebelum mereka menumbangkan diri sendiri. Kita mesti jelas, UMNO/BN tidak terlibat sama sekali. Bukan kita yang jatuhkan ya. Jangan silap faham.

Ada yang mendakwa, PH tumbang sebab ‘Langkah Sheraton.’ Tidak. Salah dakwaan itu. Kerajaan PH jatuh sebab Tun Dr. Mahathir (Mohamad) letak jawatan dan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) membuat mutiny. Mutiny ini pemberontakan ataupun mengkhianati partinya sendiri, bersama-sama (Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali dan geng-geng dia. Kenapa pula kaitkan dan salahkan UMNO? Jika tidak berlaku pemberontakan dan pembelotan dalaman dalam PH sendiri, mana mungkin kerajaan campuran PN ditubuhkan?

Jadi, pengundi dan rakyat perlu melihat semua sini dengan berlapang dada. Dan masyarakat mesti jelas dalam membuat keputusan. Mahu menubuhkan kerajaan yang stabil, berfungsi dan mempunyai agenda kepada negara atau sekadar mahu mengalahkan BN?

Dikatakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sendiri tak senang duduk ke hulu ke hilir tetap mahu jayakan khemah besar ini. Benarkah?
Memang jelas sekali apa yang mereka lakukan. Kesemuanya dengan matlamat untuk tumbangkan BN. Itu sahaja. Pada mereka, BN mesti dikalahkan, at any cost. Jadi, BN kena berhati-hati. Perlu susun langkah yang betul, berstrategi supaya dalam PRU15 nanti kita tidak terperangkap dengan jerangkap samar yang banyak, yang dipasang dek orang. Apa yang orang lain hendak lakukan, itu hal mereka. Yang penting, BN tidak boleh lalai dan BN kena percaya pada kekuatan diri sendiri. Dan BN mesti berusaha keras untuk memastikan rakyat dan pengundi membuat pertimbangan yang rasional dalam PRU15 nanti.

Mengapa kata begitu?
Pada Mei 2018 atau PRU14, sentimen untuk menjatuhkan BN disebabkan oleh satu dua personaliti itu mengatasi segala-gala pemikiran yang rasional. Sekarang rakyat boleh berfikir dan melihat, tidak begitu senang ditipu lagi.

Maksudnya?
Kita perlukan satu parti dominan yang kuat macam dulu-dulu. Ada yang mengatakan UMNO tak tubuhkan kerajaan dengan sendiri. Betul itu. UMNO, tak pernah tubuhkan kerajaan bersendirian. UMNO menubuhkan kerajaan menerusi Perikatan bersama-sama rakan-rakan MCA dan MIC.

Lepas itu apabila berlakunya rusuhan dan krisis perkauman pada 1969, kita jemput masuk Gerakan dan PPP. Pas pun masuk sekali dan tertubuhlah BN pada 1974. Jadi, memang benar jika orang kata UMNO takkan boleh menubuhkan kerajaan sendiri. UMNO tidak pernah cakap yang kita mahu tubuhkan kerajaan bersendirian. Sebab memang kita tidak pernah menubuhkan kerajaan bersendirian pun.

UMNO menubuhkan kerajaan sejak merdeka dahulu bersama-sama dengan rakan-rakan pada 1974. Kita menambah lagi kumpulan yang bergabung dalam BN.

Apa yang UMNO tegaskan adalah dalam apa-apa kerjasama atau kerajaan sekalipun, mesti ada parti yang besar dan dominan. Sebab itu kita menyaran dan berusaha keras meyakinkan masyarakat bahawa dalam PRU15 nanti, pastikan ada satu parti dominan. Iaitu parti teras yang boleh menubuhkan kerajaan bersama dengan rakan-rakan yang sudi untuk menjadi rakan dalam kerajaan. Ini yang kita maksudkan.

Itu sebabnya dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, saya sebut dan lontarkan bahawa UMNO dan BN perlu berfikir mulai dari sekarang siapa yang kita hendak ajak bersama, berpakat selepas PRU untuk tubuhkan kerajaan. Jangan asal boleh. Jangan tangkap muat. Kerajaan tidak boleh dibentuk dengan sekelompok bidan terjun yang kelu dengan hala tuju dan fungsinya dalam kerajaan.

MN tergelincir kerana Pas

Pas pula macam mana dengan UMNO? Apa status Muafakat Nasional (MN)?
Sebenarnya kita tidak pernah pun tinggalkan mereka. Mereka yang tinggalkan MN. Mereka yang sekejap begitu sekejap begini. Di Melaka, kita ajak bersama dalam satu pasukan dengan syarat mereka guna lambang mereka sendiri. Tetapi mereka tak nak. Mereka nak dengan Perikatan Nasional (PN). Tak apalah, kita tak ada masalah. Sebab MN memang terbuka dengan pilihan masing-masing.

Tetapi kemudiannya, mereka pula kata kita yang khianat. Itu yang pelik. UMNO tak pernah khianati MN. Itu sebabnya bila orang tanya saya pasal MN, saya kata MN ini sudah sampai kepada surah akhir kita. Cuma, sama ada nak khatam sahaja atau tidak. Kalau nak khatam, khatamlah. Kalau tidak, kita sambung baca lagi.

Semua itu adalah perkara yang boleh dirundingkan. Tak timbul soal UMNO meninggalkan atau mengkhianati MN. UMNO tetap UMNO. Pun begitu, saya mesti tegas dan bersuara. Cakap-cakap yang mereka lontarkan seolah-olah UMNO yang mengkhianati MN. Itu sama sekali tidak benar.

Semasa PRN Melaka, kita jemput mereka untuk bersama dengan syarat mereka guna lambang sendiri. Itu memang telah dipersetujui dalam mesyuarat-mesyuarat MN. Jika kita masuk pilihan raya, BN guna lambang BN, Pas guna lambang Pas. Kita tak naklah Pas guna lambang PN nanti orang keliru. Jadi, di mana letak kata yang kami khianat?

Kami tak pernah kata kami dah tinggalkan MN. Yang UMNO kata, kalau hendak kembali ke dalam MN, baliklah sorang-sorang. Janganlah bawa bini muda balik ke rumah bini tua pula. Kita tak terima bini muda kan?

Tapi, seperti yang semua dapat lihat, akhirnya Pas menyertai PN. Kita tak marah pun. Itu hak dan pilihan mereka. Cuma, itulah penyebabnya MN ini tergelincir, sebab Pas menyertai PN.

Art of war PRU15

Sebaik-baiknya elok PRU15 disegerakan?
Saya sebagai Pengarah Pilihan Raya BN, tugas hakiki saya adalah menyusun gerak kerja dan strategi parti. Dalam perhimpunan agung, saya membentangkan status laporan parti, apa kedudukan parti, apa yang perlu parti buat. Itu tugas hakiki saya dan saya menyusun strategi bilakah masa dan tarikh yang baik.

Bagi saya, timeline yang pertama, set yang pertama antara Mac dan Jun tahun ini. Tempoh ini baik sebab baru lepas PRN Melaka, Sarawak dan Johor. Sentimen dan momentum tengah cantik, the feel good feeling itu dah cantik dan agak menyebelahi kita. Jentera juga tengah bersemangat dan parti pembangkang sedang bercempera dan kelam kabut.

Strategi peperangan dalam Art of War, “strike while the iron is hot strike while your enemy is weak.”

Tapi kita juga faham kekangan ataupun komitmen Perdana Menteri. Beliau telah mengadakan memorandum persefahaman (MoU) dengan parti-parti pembangkang, telah membuat komitmen dalam Parlimen, telah membuat komitmen dengan Yang di-Pertuan Agong bahawa MoU akan berakhir pada 31 Julai (2022). Jadi, kita faham tu… sebab parti dan kerajaan adalah dua entiti yang berbeza. UMNO, UMNO. Kerajaan, kerajaan.

Yang pasti, bagi pihak parti, inilah wishlist dan pandangan kita. Namun bagi pihak kerajaan dan Perdana Menteri, mereka ada pertimbangan-pertimbangan tersendiri.

Selepas Mac dan Jun ini berlalu, bila lagi sesuai?
Memandangkan tempoh atau time set yang pertama sudah terlepas, saya melihat kepada timeline ataupun timeframe yang kedua pula. Mana yang baik. Bagi saya yang terbaik ialah selepas bajet tahun ini. Sebab bajet ini bajet (Datuk Seri) Ismail Sabri (Yaakob). Bila kita kata bajet ini bajet Ismail Sabri, bajet UMNO/BN lah kan. Apa wow factor kita. Dalam pembentangan bajet, kita mesti ada sesuatu yang dipanggil sebagai wow factor.

Kalau setakat peruntukan biasa-biasa sahaja, business as usual, ataupun biasa-biasa punya bajet, maka impaknya pun biasa-biasa sahajalah. Selalunya, bajet pilihan raya ini mesti ada kelainan, penarik atau wow factor. Peluang ini harus digunakan. Sebab selepas pembentangan bajet yang menarik ini, bolehlah segera dibuat pilihan raya. Kalau nak buat sebelum bajet, seperti tidak kena. Tak ada tawaran, tak ada mileage kan. Sama juga kalau hendak dibuat lama selepas bajet, pun tak guna juga.

Setakat ini ‘Top Five’ ada bincang pasal tarikh PRU15, sudah jumpa dengan Perdana Menteri?
Top five selalu duduk bersama. Kami berbincang mengenai strategi parti dan apa yang baik untuk parti tapi tak perlulah saya cakap apa yang kami rundingkan.

Tak kisah pihak lawan tahu strategi dan rancang buat apa selepas ini?
Yang saya gusar parti saya. Saya gusar kalau parti saya tak bersedia. Saya gusar kalau parti saya memandang ringan apa yang orang lain buat. Yang itu saya gusar. Parti lain dia punya pasal, memang mereka punya strategi. Saya mesti ada strategi saya. Jangan asyik risau pada orang tapi kita sendiri tak buat apa. Kita tak boleh halang, hak mereka nak buat khemah besar ke, khemah apa ke, itu terpulang kepada mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya