Jaga nama baik pemimpin UMNO

Jaga nama baik pemimpin UMNO

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANPA ribut tanpa angin, ada seorang timbalan pengerusi UMNO negeri menyelar Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan menyifatkan beliau sebagai Perdana Menteri UMNO yang bercelaru, menjadi ‘tebusan’ pihak tertentu dan paling lemah dalam sejarah negara. Alasan pemimpin UMNO negeri ini, Ismail Sabri dikatakan lambat membuat keputusan mengenai kedudukan menteri Kabinet, Datuk Zuraida Kamaruddin yang keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada 26 Mei lalu.

Maka ramailah yang bertanya, wajarkah selaran terbuka begini dibuat terhadap seorang Perdana Menteri yang juga merupakan Naib Presiden terkanan UMNO, parti yang pihak penyelar menjadi ahli dan pemimpinnya, dan apakah motif?

Jika dilihat kepada Perlembagaan UMNO, jelas disebut dalam Fasal 20.8 bahawa semua ahli hendaklah patuh dan menghormati keputusan parti, memelihara nama baik dan maruah parti serta sentiasa menunjukkan tatakelakuan yang sopan lagi tertib. Pasti sahaja ada yang akan mengingati peristiwa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Adam dipecat pada 7 Februari 2020 atas tindakan menyelar secara terbuka Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

POSTER BOY

Tidak dinafikan, tindakan pemimpin UMNO menyelar secara terbuka mana-mana pemimpin tertingginya merupakan satu perlanggaran disiplin parti yang boleh menjejaskan nama baik parti dan boleh menyebabkan pelakunya dikenakan tindakan disiplin. Tindakan begini samalah dengan perbuatan menembak kaki sendiri di saat kita sedang bertarung, tidak dapat tidak ia pasti akan melemahkan keutuhan dan akan dipergunakan oleh parti lain untuk menghilangkan keyakinan rakyat kepada UMNO.

Apatah lagi bila pemimpin tertinggi yang diselar itu telah dipersetujui sebulat suara oleh MKT UMNO pada 14 April lalu untuk dijadikan poster boy dan calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menyentuh mengenai motif selaran secara terbuka ini, tidak dapat tidak pastilah akan dikaitkan dengan rekod penyelar yang beberapa kali menghentam pemimpin UMNO yang tidak begitu bersetuju supaya PRU15 dilangsungkan secepat mungkin. Oleh itu, cubaannya perlulah dilihat dalam konteks PRU15 mahu segera dilangsungkan.

Ada berpendapat, penyelar inilah sebenarnya yang bercelaru, menjadi ‘tebusan’ pihak tertentu dan paling lemah kerana pelbagai kenyataan beliau amat tidak konsisten selain ditolak pengundi sendiri bila kalah dengan majoriti lebih 28,000 undi dalam PRU14. Apa keperluan beliau mahu PRU15 dilangsungkan secepat mungkin bila beliau sendiri telah mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRU15 kerana menyebut dirinya sudah tahu keputusan jika bertanding dan mahu mengelak daripada menanggung malu?

BOMBASTIK

Beliau malah turut menyebut perlu akui antara faktor Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah peratusan keluar mengundi yang rendah. Sepatutnya mana-mana pemimpin yang berkeyakinan rendah begini harus mengundurkan diri daripada memimpin parti baik di peringkat bahagian apatah lagi negeri bagi memberi ruang kepada pemimpin lebih muda dan berkeupayaan.

Mendesak PRU15 dilangsungkan secepat mungkin dalam keadaan pemimpin yang membuat desakan itu sendiri tidak mempunyai keyakinan UMNO akan menang adalah umpama tindakan kamikaze sedangkan ‘membunuh diri’ dilarang oleh agama.

Dalam konteks inilah maka kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 14 Jun lalu bahawa masa terbaik untuk PRU15 adalah sebaik sahaja Bajet 2023 dibentangkan Oktober ini menunjukkan beliau adalah pemimpin yang realistik. Mohamad bukan pemimpin yang suka beretorik atau menggunakan bahasa bombastik, sebaliknya seperti yang beliau tegaskan dalam ucapan perasmian Konvensyen BN pada 1 Jun lalu, PRU15 mesti disandarkan kepada data.

Soal keputusan mengenai kedudukan Zuraida dalam Kabinet bukanlah isu. Pertama, ia langsung tidak menyentuh kedudukan UMNO, dan kedua, Zuraida sendiri walaupun sudah berpindah parti, belum meletakkan jawatan.

Pihak yang menyelar Ismail Sabri perlu ingat, Perkara 43 (5) Perlembagaan Persekutuan menyebut menteri-menteri hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong tetapi mana-mana menteri boleh meletakkan jawatannya. Maka dalam isu Zuraida, tidak berbangkit keperluan untuk Ismail Sabri membuat keputusan.

Untuk membandingkan Ismail Sabri dengan perdana menteri UMNO lain dalam keadaan mereka merupakan presiden parti manakala UMNO dan BN menguasai dua pertiga kerusi Parlimen adalah zalim. Sebaliknya pengukuran ke atas kelemahan dan kekuatan Ismail Sabri hendaklah dilihat dalam konteks kejayaan menjadi Perdana Menteri dalam keadaan beliau bukan merupakan Presiden parti manakala BN sebenarnya kalah dalam PRU14.

Kejayaan beliau melakukan banyak perkara sebagai Perdana Menteri UMNO dalam suasana parti itu tidak memegang kuasa secara mutlak, termasuk memulihkan negara daripada pandemik Covid-19 dan melaksanakan begitu banyak transformasi adalah menakjubkan. – UTUSAN

DATUK Dr. Wan Hashim Wan Teh ialah Profesor Emeritus di Fakulti Pengajian & Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN