Harga naik: Pastikan tiada ambil kesempatan

Harga naik: Pastikan tiada ambil kesempatan

HARGA barang dijangka naik berikutan kenaikan OPR baru-baru ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU yang menjadi perbualan hangat dalam kalangan masyarakat sekarang ialah kenaikan mendadak harga barangan pengguna terutama barangan keperluan harian. Justeru, perlu ada lebih banyak saluran bantuan daripada kerajaan untuk mengurangkan beban kewangan rakyat di samping pelaksanaan langkah penguatkuasaan efisien dalam mengawal kenaikan harga barangan secara melampau.

Ironinya, rakyat mula bimbang apabila dikhabarkan harga barangan akan naik lebih mendadak mulai Julai ini. Kerisauan ini dilaporkan berpunca daripada pemansuhan subsidi untuk beberapa barangan seperti telur ayam dan minyak masak tulen bagi pek kemasan botol. Hakikatnya, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, kerajaan terpaksa mengambil tindakan kurang popular dengan memansuhkan subsidi barangan tersebut demi memastikan bekalan bahan makanan dan harga dalam pasaran lebih stabil dalam tempoh jangka panjang di samping mengekang aktiviti penyelewengan.

Walaupun dilaporkan pihak industri memberi jaminan harga barangan tidak akan naik terlalu mendadak, namun pengalaman menunjukkan sukar untuk kita mempercayai. Apa yang pasti, kenaikan harga barangan akan membawa bersama pelbagai kesan langsung kepada kehidupan rakyat.

Antaranya kos sara hidup semakin meningkat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40). Jujurnya, golongan rentan dilaporkan sudah mula ikat perut untuk meneruskan survival kehidupan harian.

Justeru, walaupun kita lega apabila kerajaan mengumumkan pemberian tunai tambahan menerusi Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kepada golongan B40, kerajaan perlu tampil dengan mekanisme lebih efisien untuk mengawal kenaikan harga barangan dalam tempoh masa panjang agar tidak terus membebankan rakyat.

Tuntasnya, kerajaan perlu memastikan tiada pihak mengambil kesempatan dan terus menganiaya pengguna melalui aktiviti pesta harga. Perlu ada kaedah menang-menang kepada pengguna dan pengeluar atau peniaga.

Kita boleh memahami situasi para pengeluar yang juga sedang berhadapan pelbagai cabaran seperti berlakunya aliran meningkat berterusan dalam kos input serta gangguan rantaian bekalan global yang berpanjangan berpunca daripada beberapa faktor di luar kawalan seperti perang Russia-Ukraine, perubahan cuaca serta pandemik.

Namun, kita tidak mahu ada pihak yang sengaja menjadikan itu sebagai alasan dan mengambil kesempatan dengan menaikkan harga secara melampau demi meraih keuntungan segera.

MELAMPAU

Dalam hal ini, antara langkah segera yang wajib dilaksanakan ialah mempertingkatkan aspek pemantauan dan penguatkuasaan. Kita perlu memastikan kenaikan harga yang berlaku adalah betul-betul munasabah dan wajar serta tiada sebarang elemen keuntungan melampau daripada mana-mana pihak dalam industri.

Dalam konteks ini, kita mahu kerajaan tidak teragak-agak untuk menguatkuasakan Akta Anti Pencatutan bagi melindungi pengguna dengan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati, termasuk tindakan menyorokkan barangan harga kawalan serta menaikkan harga dengan alasan kekurangan bekalan.

Selain itu, kerajaan juga perlu menangani masalah kenaikan inflasi makanan yang dijangka terus meningkat. Menurut firma penyelidik MIDF Research, sekiranya isu bekalan makanan domestik semakin teruk, inflasi utama mungkin mencecah puncak baharu 5.8 peratus tahun ke tahun jika inflasi makanan melonjak tujuh peratus tahun ini dan 10 peratus pada 2023. Ini satu masalah ekonomi yang cukup serius dan perlu ditangani dengan berkesan kerana inflasi akan meningkatkan kos sara hidup dan mengurangkan kuasa beli pengguna seterusnya menjejaskan kehidupan mereka dan ekonomi negara.

Apa jua langkah yang dibuat mahupun peraturan diperkenalkan, biarlah lebih terancang dan teliti serta bermatlamatkan penyelesaian jangka panjang dan bukannya berbentuk jalan pintas dan segera untuk jangka pendek.

Hal ini kerana masalah kenaikan harga barangan di negara kita boleh dikatakan sepanjang masa di mana ia telah berlaku sebelum pandemik, malah harga juga bukan hanya naik ketika musim perayaan semata-mata tetapi sepanjang tahun atas pelbagai alasan.

Oleh itu, mekanisme kawalan harga perlu lebih efisien dan mampu mengawal situasi dalam semua keadaan mahupun krisis. Di samping itu, perlu ada perancangan yang jelas untuk meningkatkan kemampuan pengeluaran negara agar tidak bergantung kepada import sekali gus dapat menstabilkan bekalan barangan dalam negara.

Jangan lupa, dunia sedang berhadapan dengan krisis makanan yang dijangka terus berlarutan maka timbul persoalan, sejauh mana usaha dan strategi untuk memastikan kita mampu mengeluarkan makanan ketika berdepan pelbagai cabaran ekonomi? Jujurnya, kita perlu berfikir dan bertindak lebih proaktif dan menggembleng semua pakar tempatan yang ada untuk mencari formula lain dalam mengeluarkan hasil pertanian mencukupi untuk kegunaan domestik.

Kita bersyukur, kerajaan prihatin dengan beban kewangan rakyat dan menyediakan bantuan tunai serta meneruskan subsidi untuk beberapa barangan lain. Namun, pada masa sama diharap akan ada strategi lebih berkesan untuk menstabilkan harga barangan dan meningkatkan pengeluaran hasil tempatan. – UTUSAN

PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×