Generasi pascamerdeka belum ‘kenal’ BN

Generasi pascamerdeka belum ‘kenal’ BN

KIRA-KIRA 5,000 ahli dari parti-parti komponen serta penyokong BN menghadiri konvensyen di WTCKL, awal bulan ini. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONVENSYEN gilang-gemilang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada awal bulan ini sempena ulang tahun ke-48 Barisan Nasional (BN).

Penubuhan BN berputik daripada Parti Perikatan yang telah menyumbang besar terhadap kemerdekaan negara.

Apabila tercetusnya ketegangan kaum pada 1969, Parti Perikatan dijenamakan sebagai BN untuk mengelak politiking yang boleh mencetuskan perpecahan antara kaum dan sebaliknya menumpukan kepada perpaduan dan pembangunan negara. Parti Perikatan yang awalnya dianggotai tiga parti utama iaitu UMNO, MCA dan MIC diperluaskan keanggotaannya kepada hampir 14 parti lain, termasuklah pembangkang.

Dalam konvensyen ini, hampir 5,000 ahli dari parti-parti komponen serta penyokong tegar BN turut serta. Jumlah kehadiran yang begitu besar disifatkan sebagai luar biasa apabila BN dikatakan sudah hilang taring dan tidak relevan lagi oleh segelintir pihak. Bahkan para peserta yang hadir kelihatan bersemangat dan seakan-akan hanya menunggu gendang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dipalu untuk BN kembali beraksi.

Dihadiri oleh peserta daripada pelbagai kaum dan etnik, konvensyen ini jelas menggambarkan gelombang biru (BN) sudah mula bertiup, bermula dari WTCKL dan akan bergerak ke seluruh negara. Sebahagian besar yang hadir ataupun yang lebih tepat lagi, hampir sama dengan ahli UMNO adalah ahli MIC. Kehadiran penyokong-penyokong MIC jelas menunjukkan parti itu kini sudah bangkit di bawah kepimpinan Tan Sri S.A.Vigneswaran yang tekad untuk berjuang bersama-sama UMNO dalam mengembalikan kegemilangan BN.

Dalam perjalanan konvensyen tersebut, para pemimpin berhujah dengan semangat berapi tetapi tidak bersandarkan laungan melibatkan sesuatu kaum, budaya atau agama. Sebaliknya lebih menghidupkan kembali roh Rukun Negara sebagai asas dan landasan politik masa depan BN. Jelas sekali menunjukkan BN kini sedang melalui satu anjakan paradigma politik ke arah lebih inklusif, kepelbagaian dan perpaduan bersandarkan konsep Keluarga Malaysia.

Rata-rata perwakilan bersetuju dengan keputusan kepimpinan UMNO dan BN dalam menentukan tempoh masa sesuai untuk pembubaran Parlimen bagi menghadapi PRU15. Dalam mengharungi PRU15 dengan mantap, pakar sains politik turut hadir meluahkan pandangan di mana BN perlu mengambil kira banyak elemen yang memungkinkan kejayaan pada PRU15 nanti. Antaranya keselesaan, kebajikan, kesejahteraan dan kesihatan rakyat. Elemen-elemen inilah yang dapat membantu BN meraih sokongan rakyat secara total.

Sementara itu, bukan sahaja pemimpin parti, malahan penyokong BN didedahkan dengan kajian pendapat awam bahawa generasi muda atau pengundi yang akan mengundi buat kali pertama pada PRU15 dikatakan menghadapi kekurangan maklumat tentang sejarah, sumbangan dan kepentingan BN serta kerelevanan gabungan tersebut kepada mereka dan juga masa depan negara.

MARHAEN

Sementara itu, isu-isu ekonomi dan sosial yang berkait rapat dengan kehidupan rakyat juga kurang diberi perhatian dalam perbincangan umum, kecuali ketika ucapan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat, ucapan Perdana Menteri banyak menyentuh hal kesukaran dan masalah dihadapi oleh golongan marhaen terutama soal kenaikan harga barang keperluan asas dan makanan yang semakin hari semakin meningkat.

Perdana Menteri menegaskan kepada para perwakilan bahawa soal sosioekonomi rakyat perlu dititikberatkan dalam usaha meraih sokongan padu. Beliau turut mengumumkan kerajaan tidak akan berpeluk tubuh sahaja dengan melihat kenaikan harga barangan.

Beliau memberikan jaminan bahawa kerajaan akan berusaha untuk mengawal kenaikan harga barang dan memastikan negara tidak menghadapi masalah dalam soal barang makanan dalam pasaran.

Antara langkah kerajaan untuk membantu rakyat mengawal kenaikan harga barang adalah pembatalan kelulusan kuota permit import (AP) bagi barang makanan dan penghentian subsidi kepada penternak ayam melibatkan RM720 juta. Sebaliknya, kerajaan akan menyediakan bantuan secara langsung kepada rakyat yang kurang berkemampuan mulai 1 Julai ini.

Pada masa sama, usaha mengurangkan eksport ayam ke luar negara bagi memastikan bekalan mencukupi dilaksanakan. Industri agro yang membekalkan barang makanan juga dipergiatkan dengan langkah kerajaan menyediakan Tabung Agro Makanan sebanyak RM500 juta supaya rakyat tidak banyak bergantung kepada barangan agroimport.

Secara keseluruhannya, konvensyen BN memberi isyarat bahawa parti itu sudah bersiap siaga untuk turun gelanggang bagi menawan dua pertiga kerusi Parlimen dan membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil selepas selesainya PRU15.

Walau apa pun, gelombang biru yang memenuhi setiap ruang WTCKL jelas memanifestasikan bahawa BN masih relevan dalam medan politik negara demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial & politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN