Boleh prank tapi jagalah adab

Boleh prank tapi jagalah adab

SEBAHAGIAN masyarakat kita kini dilihat sudah lagi tidak terpandu dengan budaya Melayu dan ajaran Islam dalam hal bergurau. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERGURAU adalah sebahagian daripada fitrah hidup manusia. Jika kita serius sepanjang masa, hidup akan menjadi amat membosankan. Di rumah, kita bergurau dengan pasangan dan anak-anak. Di tempat kerja, kita bergurau dengan rakan yang rapat dan rakan sekerja lain. Begitu juga dalam mesyuarat dipengerusikan oleh seorang yang pandai bergurau, pastinya lebih menyeronokkan berbanding pengerusi yang serius sepanjang masa.

Islam tidak menafikan fitrah suka bergurau dalam diri manusia. Diriwayatkan Rasulullah SAW juga bergurau ketika hayat baginda. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa ada seorang lelaki meminta kepada Rasulullah SAW supaya dibawa menaiki tunggangan. Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Aku akan beri kamu menunggang anak unta betina.” Lelaki itu berkata, “Wahai Rasulullah, apakah yang dapat aku lakukan dengan anak unta betina?” Lalu jawab baginda, “Bukankah semua unta adalah anak kepada unta betina?” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)

Dalam peristiwa lain, Hasan al-Basri meriwayatkan: Ada seorang wanita tua bertemu Rasulullah SAW dan berkata, “Wahai Rasulullah, tolonglah berdoa kepada Allah agar aku dapat masuk syurga.” Rasulullah SAW menjawab, “Wahai ibu, tidakkah kamu tahu bahawa syurga tidak dihuni oleh orang-orang yang sudah tua?” Mendengar jawapan Rasulullah SAW, wanita itu pergi sambil menangis teresak-esak. Rasulullah SAW kemudian bersabda, “Beritahu kepada wanita tua itu, dia tidak akan masuk ke syurga dengan keadaan usia tua. Sesungguhnya Allah SWT berfirman, “Kami menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh). Yang tetap mencintai jodohnya serta yang sebaya umurnya.” (Surah al-Waaqi’ah 56, ayat 35-37) (Hadis riwayat at-Tirmidzi).

Berbeza sungguh gurauan baginda berbanding gurauan kita pada hari ini.

Masyarakat Melayu sendiri memiliki peraturan-peraturan atau larangan-larangan tertentu yang dibuat untuk membataskan diri dalam bersenda gurau. Ungkapan ‘banyak tertawa banyak dukanya’, ‘banyak gelak banyak balaknya’ dan ‘banyak gurau banyak risaunya’ adalah peraturan-peraturan atau larangan-larangan yang memandu kita dalam hal bergurau senda ini.

Pada usia remaja saya, apabila sepupu berkumpul dan bertukar cerita sehingga kami ketawa terbahak-bahak, ibu-ibu kami pasti mengingatkan, “Jangan ‘ingka’ sangat, nanti menangis.” Kadangkala, ibu-ibu kami hanya sebutkan, “Ha…ingka! Ingka!” Maka, kami pun akan mengecilkan suara dan menghentikan cerita kelakar itu. Rupa-rupanya, teguran ibu-ibu kami itu adalah sebahagian daripada budaya Melayu yang mengehadkan senda gurauan.

Malah, untuk bergurau perlu diperhatikan lingkungannya, lawannya berkelakar dan isi gurauannya supaya tidak melanggar tata susila masyarakat Melayu. Namun kini, kelihatannya sebahagian masyarakat kita sudah lagi tidak terpandu dalam hal bergurau ini. Tidak terpandu dek budaya Melayu, apatah lagi dek ajaran Islam.

PRANK

Misalnya di kantin pejabat, apabila seorang janda masuk, ada kawan-kawan lelaki yang mengusik, “Tengah gersang! Tengah gersang!” Apabila ditegur, mereka katakan itu hanyalah gurauan. Apakah yang kelakarnya tentang status perkahwinan seseorang sehingga ia wajar dijadikan bahan gurauan?

Di kaca TV juga ada rancangan-rancangan prank atau dalam bahasa mudahnya, program di mana ada mangsa yang dipermainkan untuk dijadikan bahan lawak kepada penonton. Dalam usaha untuk mempromosikan rancangan itu, saluran TV tersebut telah membuat klip video pendek yang mengandungi sedutan-sedutan ‘kelakar’ daripada episod akan datang.

Salah satu ‘gurauan’ itu berlaku di tandas awam. Seorang lelaki memasuki bilik tandas untuk membuang air. Sejurus kemudian, datang seorang wakil produksi menggantungkan ular mainan di pintu tandas. Menyedari kehadiran ‘ular’ itu, mangsa berlari keluar dengan seluarnya terlondeh sehingga paras lutut. Seluar itu menghalangnya untuk berlari dan beliau terjatuh di atas lantai beberapa kali dalam usaha untuk menyelamatkan diri. Itulah kelakar yang ‘dijual’ oleh produksi dan saluran TV tersebut kepada khalayaknya. Ramai sahaja penonton yang terhibur dengan gurauan ini tanpa memikirkan perasaan cemas dan kesakitan yang dihadapi oleh mangsa yang dipermainkan.

Islam tidak melarang kita untuk bergurau. Seperti disebutkan tadi, Rasulullah SAW juga bergurau. Malah, mendengar ceramah ustaz yang pandai bergurau adalah jauh lebih menyeronokkan berbanding ustaz yang tidak pandai bergurau. Namun, dalam Islam tidak semua perkara boleh dibuat gurauan dan ada had-had yang perlu dipatuhi.
Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya, Pendidikan Anak-anak Dalam Islam menyebut bahawa adab bergurau dalam Islam merangkumi tiga perkara. Pertama, tidak keterlaluan dan melebihi batasan. Perkara ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Saya bukan dari golongan yang suka banyak main atau yang melalaikan, dan keduanya juga tidak menjadi sebahagian dariku.” (Hadis riwayat Al-Bukhari).

Begitu juga Saidina Umar Al-Khattab pernah mengungkapkan yang bermaksud, “Siapa yang banyak ketawanya akan berkurangan kehebatannya, dan siapa yang suka bergurau, nanti akan dipermainkan orang.”

Adab bergurau yang kedua adalah tidak menganiayai atau memburukkan orang lain. Dalam hal ini, asasnya ialah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Jangan sesekali seseorang kamu mengambil harta milik saudaranya secara bermain-main, ataupun benar-benar. Dan barang siapa mengambil tongkat saudaranya, hendaklah dia kembalikan.” (Hadis riwayat At-Termidzi)

Adab bergurau yang ketiga adalah dengan menjauhi dusta. Hal demikian ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Celaka bagi orang yang menyampaikan sesuatu pidato kepada orang ramai dengan tujuan untuk membuatkan mereka tertawa, padahal dia berdusta.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Dengan adab bergurau semurni ini, tiada ruang untuk gurauan kotor dan gurauan lucah, gurauan melampaui batas, apatah lagi prank yang menganiaya orang lain semata-mata untuk dijadikan bahan tontonan kelakar kepada masyarakat umum. – UTUSAN

PENULIS ialah Felow Kanan Pusat Kajian Ekonomi & Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN