Raja jadikan Perlis di kelas tersendiri - Utusan Malaysia

Raja jadikan Perlis di kelas tersendiri

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail (tengah) beramah mesra bersama rakyat di sebuah kampung di Arau, Perlis sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI rakyat Perlis, mereka sudah pasti mengenali dekat keperibadian dan sifat Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang begitu prihatin terhadap rakyat.

Rakyat negeri ini juga tidak kekok bersama Tuanku Syed Sirajuddin yang peramah, penyayang dan mengambil berat setiap kali memasuki kampung-kampung tanpa sebarang protokol bagi mengetahui keluh-kesah rakyat.

Malah, ketika rakyat berdepan cabaran pandemik Covid-19, baginda antara yang paling susah hati memikirkan nasib rakyat termasuk peniaga-peniaga kecil selain sentiasa mengambil berat keselamatan serta kesejahteraan rakyat yang disayanginya.

Dalam tempoh pandemik, baginda juga sering kali kelihatan spontan singgah di gerai atau kedai-kedai di tepi jalan bagi menyokong perniagaan selain terus menitipkan kata-kata semangat agar mereka tidak mudah putus asa dalam tempoh mencabar ketika itu.

Bagi baginda, rakyat dan negeri ini adalah segala-galanya dan beruntungnya kita mempunyai seorang raja yang berjiwa rakyat dan sentiasa ada bagi memayungi kita.

“Raja Perlis mempunyai sifat yang cukup mulia dan sentiasa mengambil berat dan terlalu menyayangi rakyat. Setiap kali memasuki seluruh pelosok kampung, baginda sendiri akan menyelami segala permasalahan rakyat.

“Selalunya, apabila singgah secara spontan di gerai-gerai di tepi jalan, para peniaga cukup terharu apabila baginda sendiri berangkat membeli barangan yang dijual serta meluangkan masa mendengar masalah mereka,” kongsi Wan Malyzae Wan Mahmud,46, yang sudah lebih 16 tahun berkhidmat sebagai pemandu peribadi Tuanku Syed Sirajuddin.

Tuanku Syed Sirajuddin umpama payung yang menjadi tempat rakyat berteduh. Sikap pengasih dan keprihatinan baginda itu membuatkan penduduk berasa cukup bertuah mempunyai seorang raja berjiwa rakyat.

Selain itu, baginda juga sangat menitik berat soal pembangunan yang boleh merancakkan perkembangan ekonomi rakyat di Perlis.

Antaranya seperti Projek Pembangunan Perlis Inland Port (PIP) yang secara tidak langsung bakal mengubah landskap ekonomi di negeri ini.

Perlis terus berkembang pesat dengan PIP dan Chuping Valley Industrial Area (CVIA) itu menjadi antara projek mega diharap akan saling melengkapi serta memberikan impak ekonomi dalam sektor perindustrian dan juga logistik.

Selain itu, kerancakan sektor pelancongan pula telah menjadikan Perlis kini sebagai antara negeri yang paling menjadi tumpuan. Jika dahulu, orang hanya singgah di negeri ini untuk ke Langkawi namun kini Perlis menjadi antara destinasi yang ‘wajib’ dikunjungi.

KETUA AGAMA

Kepimpinan baginda yang sentiasa berpandangan jauh, kreatif menjadikan Perlis terus berada di kelas tersendiri.

“Dalam usaha untuk terus memacu kemajuan negeri secara menyeluruh, pelancaran PIP dan CVIA baruRaja jadikan Perlis di kelas tersendiri-baru ini dilihat sebagai cerminan kepimpinan baginda yang sentiasa berpandangan jauh. Rakyat Perlis sangat berbangga mempunyai pemerintah yang sentiasa prihatin dengan kebajikan rakyatnya.

“Ibarat kapal dan nakhoda, raja dan rakyat berpisah tiada,” kata salah seorang anak jati Perlis, Nur Atikah Anuar yang juga merupakan Setiausaha Pertama, Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Warsaw, Poland.

Sementara itu, sebagai ketua agama negeri, baginda juga sentiasa menegaskan mengenai kepentingan pihak masjid agar mendidik masyarakat beramal dengan sunnah dan menjauhkan diri daripada kancah politik kepartian serta isu-isu sensitif yang menimbulkan kegusaran awam.

Baginda mahu melihat masjid menjadi pusat pengajian dan perkembangan ilmu selain fungsinya sebagai rumah ibadah umat Islam selain perlu menyediakan pengajian yang seimbang dengan memberikan penekanan dan penerapan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Dalam pada itu, keprihatinan sebagai seorang raja berjiwa rakyat itu juga sentiasa diteruskan oleh pewaris tahta baginda iaitu Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Rutin kayuhan basikal oleh baginda melalui program Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli memasuki seluruh pelosok kampung di negeri ini bagi menyantuni, memantau lebih dekat perkembangan serta permasalahan rakyat seterusnya menyampaikan bantuan membuktikan betapa kasih dan sayangnya baginda terhadap rakyatnya.

Bagi rakyat Perlis, mereka sangat bertuah mempunyai seorang raja dan puteranya yang sentiasa ada bersama rakyat.

Mengambil kesempatan sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis Ke-79, sebagai anak jati Perlis, saya mendoakan baginda sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus memayungi Perlis di samping Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Di kesempatan sama, saya juga menitipkan doa agar Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda baginda berdua terus dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus melindungi rakyat di negeri ini.  Daulat Tuanku! – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×