Politik kita tidak bersih

Politik kita tidak bersih

MOHD. NIZAM MOHD. ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

ISU rasuah di negara ini diibaratkan seperti tidak pernah habis. Sekali pun sudah tiga kali kerajaan bertukar, namun kes salah guna kuasa masih berlaku bukan sahaja melibatkan orang awam tetapi kakitangan awam, pimpinan kerajaan dan ahli politik.

Bimbang ia akan terus menjadi darah daging, Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), MOHD. NIZAM MOHD. ISA mahu memastikan negara benar-benar bersih daripada amalan rasuah yang boleh memberi kesan tidak baik pada ekonomi, pemimpin mahupun rakyat.

Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurugambar MUHAMAD IQBAL ROSLI, Mohd. Nizam yang memegang jawatan itu sejak bulan lalu melihat wujudnya keperluan bagi meningkatkan kesedaran rasuah melalui pendidikan kepada setiap lapisan masyarakat.

UTUSAN: Bagaimana situasi gejala rasuah di Malaysia?

MOHD NIZAM: Kita lihat banyak kes rasuah melibatkan sektor awam terutama agensi penguatkuasaan dan sebagainya tetapi perlu ingat bahawa rasuah merupakan perbuatan individu, bukannya seluruh organisasi. Kita tidak boleh mengatakan organisasi itu (korup) jika hanya seorang yang melakukannya.

Kepimpinan organisasi perlu membuat pemilihan individu yang benar-benar berintegriti dan memiliki jati diri antirasuah sebelum dilantik ke sesuatu jawatan penting atau berisiko rasuah. Dalam pada itu, kepimpinan organisasi juga harus mengambil tindakan tegas terhadap kakitangan yang terlibat dengan menyahkeluarkan individu tersebut. Selain itu, kepimpinan organisasi juga perlu merangka dan melaksanakan pelbagai program integriti dan antirasuah.

Kakitangan perlu digalakkan membuat laporan terhadap sebarang cubaan pemberian rasuah dan mereka yang membuat laporan diberi ganjaran melalui pengiktirafan.

Pengiktirafan tidak semestinya wang atau barangan bernilai tetapi dalam bentuk pemberian sijil, dilantik sebagai ahli unit integriti, dihantar berkursus sama ada dalam atau luar negeri, dicalonkan untuk menerima anugerah perkhidmatan atau dicalonkan untuk kenaikan pangkat. Dalam masa sama, kakitangan menerima rasuah dan tidak melapor pemberian rasuah perlu diambil tindakan tegas dan dikeluarkan dari organisasi. Organisasi tidak boleh mempunyai simpati atau toleransi terhadap kakitangan yang tidak berintegriti atau melakukan perbuatan rasuah.

Bagaimana mahu pastikan benar-benar bersih?
Salah satu strategi adalah mengadakan pusingan kerja dengan tidak membenarkan seseorang memegang sesuatu jawatan penting lebih dari tiga tahun. Bila terlalu lama sangat memegang jawatan, itulah yang boleh menyebabkan terjerumus kepada rasuah.

Kepimpinan organisasi juga perlu menjalankan analisa dan mengenal pasti semua risiko rasuah. Setiap organisasi perlu mempunyai profil risiko rasuah dan perlu menjadi agenda tetap dalam mesyuarat pengurusan tindakan yang dijalankan bagi menangani risiko berkaitan.

Organisasi tidak perlu berasa malu untuk mendedahkan risiko yang wujud dan harus bekerjasama dengan agensi lain atau NGO (pertubuhan bukan kerajaan) untuk membantu menangani risiko yang wujud. Jangan seperti pepatah Melayu, sudah terhantuk baru tengadah.

Kegagalan penyeliaan atau pemantauan boleh menyebabkan perlakuan rasuah di sesebuah organisasi.

Masih relevan faktor gaji punca rasuah?
Ia adalah satu analogi yang salah. Ramai yang gaji rendah tapi hidup tanpa rasuah kerana ingeriti, pegangan agama dan jati diri yang tidak mahu memberi makan anak bini dengan wang rasuah atau wang haram.

Kakitangan kerajaan kini jika dibandingkan dengan pekerja swasta jauh lebih baik dari segi gaji dan kemudahan tetapi kerana faktor tamak haloba, ingin bermewah, boros dan tiada kawalan dalaman menjadi faktor sebenar perlakuan rasuah selain ketiadaan kepimpinan melalui teladan.

Kita lihat banyak tangkapan melibatkan pegawai kanan, ketua jabatan dan yang berpangkat tinggi. Kalau ada pun kakitangan berjawatan rendah terlibat, ia adalah kerana ikut contoh pegawai atasan atau mempunyai sikap – kalau orang atas boleh buat, kenapa tidak saya?

Rasuah tidak hanya melibatkan wang ringgit tetapi keraian, diskaun, hadiah dan lain-lain termasuk perkhidmatan seks dan sebagainya. Ramai kakitangan kerajaan mungkin tidak menerima wang rasuah tetapi menerima keraian seperti makan di hotel lima bintang, bermain golf di kelab-kelab termasyhur dalam dan luar negara, melancong dan bercuti termasuk buat umrah, mendapat diskaun barangan pada masa bukan musim pemberian diskaun dan sebagainya.

Faktor ruang, peluang, tiada integriti dan keinginan yang luar daripada kemampuan adalah faktor utama.
Langkah YARM untuk atasi masalah ini?

Pertamanya melalui pendidikan. Saya memang fokus dan percaya untuk mengubah sesuatu budaya sesebuah bangsa mesti dimulakan dengan pendidikan. Nak mula di mana? Mungkin di sekolah, universiti dan untuk jangka panjang di jabatan di sektor kerajaan mahupun swasta. Kekadang kita perhatikan pimpinan di agensi kerajaan atau swasta, terlupa apabila keluar universiti tiada kesinambungan dan itu menyebabkan adanya kes rasuah. Apa yang mereka belajar sebelum itu tidak dipraktikkan.

Kerana itu secara jujurnya saya amat berminat untuk mengubah pandangan rakyat Malaysia dan ia perlu bermula dengan pendidikan. Selain itu, kita juga akan membuat seminar dan kempen seperti Hari Antirasuah dan sebagainya.

Kami akan besarkan skop ini, kita akan buat pendidikan secara menyeluruh termasuk membabitkan golongan belia. Saya akan cuba mencapai sasaran ini dalam tempoh setahun pertama ini untuk mendidik orang ramai membenci rasuah.

Oleh itu, saya berharap kepimpinan kerajaan, jabatan kerajaan dan swasta terbuka untuk bekerjasama secara strategik dengan YARM untuk membangunkan pelan pendidikan antirasuah dan seterusnya melaksanakan pelbagai program pendidikan antirasuah. Pelaburan yang kecil akan membawa hasil yang tinggi apabila kakitangan organisasi berintegriti tinggi dan menjadi aset penting organisasi.

POLITIK

Bersihkah politik negara?
Secara peribadi dan jujur, saya melihat politik negara tidak bersih. Bukan semua tapi sebahagian besar ahli politik dan pegawai ahli politik terlibat dalam perbuatan rasuah dari awal lagi. Semasa kempen, ramai ahli politik mahupun parti menggunakan wang sebagai umpan untuk memancing undi. Seharusnya pemberian hadiah, wang dan sebagainya dielakkan sama sekali.

Apabila sudah dapat jawatan, ramai ahli politik dan pegawai sekelilingnya menjadi mewah dengan memperoleh projek atau menggunakan kedudukan untuk mendapatkan projek mahupun mengambil komisien daripada pihak luar bagi membantu mendapatkan projek dan sebagainya.

Bagi menangani masalah ini, negara memerlukan undang-undang dana politik yang komprehensif. Penguatkuasaan undang-undang dana politik boleh membawa perubahan landskap politik negara daripada tercemar kepada politik berintegriti. Namun demikian, setiap parti politik harus mewujudkan sistem kawalan dalaman untuk menegakkan disiplin warganya tanpa mengira pangkat ke arah lebih berintegriti dan menjauhi segala macam salah laku termasuk perbuatan rasuah. Setiap ahli politik yang terlibat dalam isu rasuah harus digantung daripada memegang sebarang jawatan hingga terbukti bersih atau sebaliknya jika disabitkan, ia perlu dinyahsenarai sebagai ahli.

Setiap ahli politik perlu membuat pengisytiharan harta pada masa memegang sesuatu jawatan dalam parti atau sebagai pembantu kepada YB (Yang Berhormat) atau menteri. Seterusnya sebarang perolehan harta baharu atau pelupusan harta yang dipegang perlu diisytihar secara bersumpah melalui pesuruhjaya sumpah.

Sebuah jawatankuasa disiplin perlu dibentuk untuk memantau dan menyiasat sebarang perolehan harta yang tidak seimbang dengan pendapatan. Siasatan dalaman ini perlu tanpa mengira sebarang siasatan oleh pihak berkuasa. Ahli yang benar-benar bersih daripada rasuah sahaja boleh dicalonkan untuk memegang sebarang jawatan dalam parti atau kerajaan.

Pertukaran kerajaan sebanyak tiga kali gagal mengawal peningkatan kes rasuah. Komen?

Ini adalah kerana kerajaan hanya mempunyai manifesto antirasuah tapi perbuatan dan keputusan yang dibuat tidak menggambarkan mereka memegang kepada manifesto tersebut.

Kita masih dikhabarkan banyak pelantikan jawatan diberi kepada anak, adik-beradik, isteri dan sebagainya. Malahan ada projek besar diberi kepada saudara-mara atau kroni. Perbuatan sebegini akan menggambarkan kerajaan itu korup.

Parti harus tegas dan secara terbuka memperkatakan kebencian terhadap rasuah dan serius membenteras tidak kira siapa yang melakukan. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan rasuah terus menjadi raja dalam politik negara.

Apa yang menyebabkan mereka berani terlibat rasuah?
Kerana beranggapan mereka mengatasi undang-undang serta boleh mengawal pegawai kerajaan yang menjalankan tugas, power corrupts, absolute power corrupts absolutely.

Pemimpin juga berfikiran bahawa dengan memegang jawatan dalam kerajaan atau parti, mereka perlu sentiasa memberi kepada ahli parti atau penduduk kawasannya.

Akhirnya, pemberian wang menjadi budaya dan pemimpin terpaksa mencari ‘wang’ melalui perbuatan rasuah untuk mengekalkan jawatan. Perubahan sikap dan budaya ini perlu dilakukan.

Masyarakat juga perlu berubah dan tidak mengharapkan pemberian wang daripada pemimpin untuk mengundi atau memberi sokongan. Sokongan perlu diberi kepada pemimpin yang mempunyai kepemimpinan yang baik serta berintegriti, bukan dijual dengan sedikit pemberian wang. Budaya meminta-minta atau mengharapkan pemberian yang telah dimulakan beberapa dekad dahulu perlu dihentikan dan digantikan dengan budaya integriti.

Pemimpin parti atau kerajaan harus tidak lagi mencampuri urusan penjawat awam dari segi pelantikan, kenaikan pangkat, penempatan atau pembuatan keputusan. Pemimpin politik harus hanya membuat dasar dan biarkan penjawat awam melaksanakannya dengan cara yang terbaik demi kepentingan negara dan rakyat.

AGENDA SENDIRI

Secara umumnya, adakah penglibatan ahli politik dalam rasuah demi untuk mengekalkan kuasa atau mempunyai agenda tersendiri?
Kebanyakan ahli politik mahu memperkayakan diri, make hay while the sunshine. Mereka beranggapan jawatan dalam politik adalah untuk membuat kekayaan. Mereka lupa bahawa jawatan dalam politik adalah untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat. Mereka harus bangga apabila tercatat dalam sejarah atas kebolehan membangunkan negara dan bukan kerana kebolehan mengumpul harta mahupun kekayaan.

Parti dan kerajaan perlu menyediakan dana mencukupi untuk pemimpin membantu rakyat seperti bantuan banjir, kematian, pelajaran dan sebagainya. Namun demikian, semua dana ini perlu melalui pengauditan agar tiada salah guna atau ketirisan. Dana ini boleh terkumpul melalui dermawan dalam kalangan konglomerat atau individu yang kaya mahupun daripada zakat atau sistem percukaian.

Berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021, adakah ini bermakna politik negara kotor?
CPI tidak menggambarkan politik negara kotor atau bersih tetapi mencerminkan negara menghadapi masalah persepsi rasuah yang teruk. Apabila tiada lagi rasuah secara terbuka mahupun tersembunyi maka persepsi umum akan berubah yang akan bantu CPI kembali melonjak.

Kerajaan harus memastikan semua isu yang digambarkan dalam penilaian CPI diambil tindakan wajar agar persepsi penduduk tempatan dan kelompok peniaga antarabangsa tidak lagi mempunyai persepsi negatif.

Sudah tiba masanya negara mempunyai mekanisme memperbaiki semua kelemahan yang menimbulkan persepsi buruk. Negara tidak lagi boleh mempunyai sebarang kes seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mencemarkan imej negara serta memberi kesan kepada CPI. Negara perlu fokus kepada tadbir urus baik serta memastikan tiada ketirisan, pemborosan atau pembaziran dalam wang kerajaan.

Laporan Ketua Audit Negara perlu diterima sebagai kelemahan yang wujud serta diambil tindakan pembaikan termasuk mengambil tindakan tegas seperti ditamatkan perkhidmatan, diturun pangkat serta disurcaj kepada pegawai dan kakitangan terlibat.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di peringkat Parlimen perlu bersidang sekerap mungkin untuk menilai semua perbelanjaan kerajaan dan sebarang keputusan yang lemah perlu diambil tindakan. Contohi Thailand, yang mengambil tindakan ke atas Perdana Menteri kerana ketirisan wang kerajaan selepas tidak mengendahkan nasihat penjawat awam yang pakar dalam bidang berkaitan. Untuk itu, kita perlu ada satu undang-undang khas bagi mengambil tindakan dan mempertanggungjawabkan pemimpin politik atau mana-mana penjawat awam ke atas keputusan silap yang menyebabkan ketirisan atau pembaziran wang kerajaan.

Adakah undang-undang sedia ada tidak ketat sehingga mereka tidak takut untuk melakukan rasuah?
Sudah tiba masa untuk lihat semula keberkesanan kempen antirasuah dan hukuman rasuah sedia ada. Adakah kempen yang diadakan menepati sasaran? Adakah hukuman yang agak ringan menyebabkan mereka berani ulangi perbuatan salah laku itu? Kita perlu baiki, perlu buat kajian. Ia perlu dibaiki jika ada kelompaongan.

YARM dikaitkan dengan sebuah parti politik. Benarkah?
Seperti termaktub dalam perlembagaan, YARM adalah badan bebas yang tidak terlibat dengan mana-mana parti politik. Mana-mana dakwaan sebelum ini adalah fitnah.

Jika mana-mana individu yang ingin terlibat dengan badan politik, itu disifatkan hak peribadi individu berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×