Nasib UMNO di tangan Ismail Sabri

Nasib UMNO di tangan Ismail Sabri

UMNO perlu berhati-hati dalam menjalin kerjasama politik agar tidak bersama dengan parti-parti yang oportunis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN ada segelintir pemimpin UMNO cenderung kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendesak pemilihan parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), perhimpunan agung khas Ahad lalu akhirnya berjaya merungkai persoalan itu. Ia suatu kemenangan moral buat pemimpin-pemimpin parti yang bekerja keras untuk UMNO memastikan pemilihan selepas PRU – petunjuk mereka yang kekal setia kepada parti berbanding yang main ‘dua kolam.’

Sementelahan dilema pemilihan parti diredakan buat seketika sementara menantikan satu lagi debaran keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk memuktamadkan keputusan 15 Mei itu. Bunyi yang kurang sedap didengar bertiup kencang waktu ini adalah mereka yang lompat dahulunya, kini mahu kembali ke UMNO. Malah mengejutkan lagi, mereka ini dijanjikan untuk bertanding semula di kerusi yang dimenangi masing-masing atas tiket UMNO.

Sebelum isu ini diperdebatkan, mari kita susur kepahitan serta jatuh bangun UMNO selepas tumbang pada 9 Mei 2018. Realiti tidak boleh disangkal adalah isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) cukup ‘tidak terbawa’ oleh calon-calon UMNO/Barisan Nasional (BN) sehingga membadai UMNO dalam PRU14 itu. Wakil rakyat yang cekap dan rajin berkhidmat pun ikut rebah sama dengan ‘hembusannya.’

Selepas tumbang buat pertama kali dalam sejarah lebih 60 tahun, UMNO seperti anak ayam kehilangan ibu. Presidennya meletak jawatan. Biarpun begitu, sebulan kemudian sUMNO bangkit mengadakan pemilihan – memilih Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menakhodai parti.

Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Pucuk pimpinan baharu yang dipilih akar umbi diperleceh. Akibat hilang kuasa, BN ditunjangi UMNO yang memenangi 79 kerusi Parlimen hanya tinggal 41. Sebilangan wakil rakyatnya membentuk gabungan baharu, lompat ke Pakatan Harapan (PH) dan parti pembangkang lain.

Sebelum pemilihan kepimpinan UMNO Jun 2018, dua ahli Parlimen dari Perak, Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) terawal meninggalkan UMNO. Sehari selepas itu, Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) diikuti Mustapa Mohamed (Jeli), Anifah Aman (Kimanis) dan Rozman Isli (Labuan).

Disember 2018 pula menyaksikan 11 ahli Parlimen (lima dari Sabah) keluar UMNO kerana tidak puas hati dengan kepimpinan parti itu. Ini memaksa Ahmad Zahid menyerahkan tugas Presiden kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan. Beliau bagaimanapun tidak melepaskan jawatan Presiden.

Pada Februari 2019, Bersatu menerima pelompat dari UMNO iaitu Hamzah Zainuddin (Larut), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Abdul Latiff Ahmad (Mersing) dan Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh (Sabak Bernam) serta Rosol Wahid (Hulu Terengganu).

Pada Mac 2019, Azizah Mohd. Dun (Beaufort), Ronald Kiandee (Beluran), Abd. Rahim Bakri (Kudat) dan Zakaria Mohd. Edris (Libaran) turut keluar UMNO menyertai Bersatu. Yamani Hafez Musa (Sipitang) menyertai Bersatu pada September 2019.

BERSATU, BERSETIA, BERKHIDMAT

Adakah segala fakta yang dibentangkan tadi masih tidak menginsafkan UMNO terhadap tindak tanduk pelompat yang mengkhianati parti? Ambil iktibar senario Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. Mereka yang lompat kemudian bertanding balik, akhirnya kalah. Apa sudah jadi kepada Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Norhizam Hassan Baktee? Maka jangan UMNO terpana dengan kemenangan besar dalam dua PRN terbaharu serta 10 pilihan raya kecil (PRK) lepas.

Perlu diingatkan, kali ini libatkan perebutan 222 kerusi Parlimen. Bila PRU, kesannya beri impak kepada negara, berbeza dengan PRN dan PRK.

Dengan dengar-dengarnya Larut, Jeli, Hulu Terengganu, Tanah Merah dan Mersing hendak patah balik ke UMNO dan bertanding semula di kawasan asal, UMNO jangan silap percaturan. UMNO kena tegas. Janganlah kerana digembar-gemburkan kemasukan mereka akan dapat menguatkan UMNO tetapi kena tanya perasaan ahli-ahli dan akar umbi yang berjuang pada masa susah. Kemasukan mereka boleh menjejaskan pandangan pengundi terutama golongan muda. Mana hendak diletak slogan Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat? Maruah UMNO hendaklah dipelihara. Biar kalah bermaruah daripada menang jual maruah!

Kerjasama politik juga hendaklah jelas. Jangan nampakkan kemaruk kuasa sampai bekerjasama dalam ikatan politik bersama parti yang oportunis. Lawanlah seperti ayam jantan. Penyatuan ummah hanya tercetus bila melibatkan PRN atau PRU tetapi bila bersama dalam kerajaan sekarang, di mana penyatuan ummah tersebut? Hanya retorik.

Kini segala mata tertumpu kepada Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Di tangan beliau, nasib UMNO terletak. Walaupun tempoh enam bulan selepas PRU perlu ditetapkan tarikh pemilihan UMNO, namun selagi Parlimen tidak bubar, selagi itulah keputusan 15 Mei baru-baru ini tidak bermakna.

Sewajarnya habis sahaja perjanjian persefahaman (MoU) kerajaan UMNO dengan gabungan pembangkang 31 Julai nanti, terus sahaja bubarkan Parlimen. Apabila diletakkan Ismail Sabri sebagai poster boy dan bakal PM ke-10 daripada UMNO, pertelingkahan dalaman yang diuar-uarkan berlaku dalam parti itu seakan sudah tenggelam.

Jadi, apa lagi yang ditunggu oleh Ismail Sabri? Adakah benar seorang PM perlu meminta persetujuan daripada parti tertentu, waima terbesar dalam Kabinet untuk menentukan tarikh pembubaran Parlimen? Tidak, itu pilihan PM sahaja. Beliau boleh maklumkan, tetapi bukannya meminta persetujuan.

Namun, kuasa mutlak pembubaran di tangan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 43. PM menasihatkan Seri Paduka di bawah Perkara 40. Seri Paduka ada hak mutlak sekiranya tidak bersetuju.

Ismail Sabri mesti bertindak mengikut kesesuaian masa. Kematangan beliau dalam membuat percaturan amat ditagih oleh UMNO. Jangan meletakkan masa depan UMNO di tangan pihak lawan.

Bertindaklah berasaskan kepentingan UMNO. Masa depan Ismail Sabri juga bergantung kepada percaturan beliau. Ayuh Ismail Sabri, buktikan anda berjiwa UMNO dan mempunyai karisma sebagai pemimpin terunggul UMNO masa kini. – UTUSAN

DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya