MUKADIMAH
BELUM pun hilang penat sejurus mengadakan perbincangan bersama Jawatankuasa Pilihan Khas berhubung Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri DR. Wan Junaidi Tuanku Jaafar tenang dan bersahaja menjawab pelbagai soalan menyentuh portfolionya.
Isu seperti RUU Anti Lompat Parti, Pulau Batu Puteh, dan tuntutan waris Sultan Sulu dijelaskan olehnya dengan terperinci.
Bagi mendapat perspektif itu, wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan JUANI MUNIR ABU BAKAR ada laporannya. Turut dibantu jurugambar FAUZI BAHARUDIN.
MINGGUAN MALAYSIA: Adakah wajar lompat parti dijadikan sebagai satu kesalahan jenayah?
WAN JUNAIDI: Saya secara peribadi tidak setuju. Memadai seseorang itu kehilangan kerusi dan kedudukan sebagai ahli Parlimen. Bahkan kita tidak mahu lagi menghalang dia bertanding. Walaupun gugur sebagai ahli Parlimen, dia boleh bertanding semula. Biarpun kerajaan sudah buang duit dan masa, oleh kerana dia pindah dari satu parti ke satu parti, hukumannya dia hilang kedudukan. Jika dia menang kawasan sama, itu tanda rakyat sokong dia.
Kerajaan atau orang tidak boleh merungut kerana sokongan rakyat jauh lebih penting. Jika mahu tegakkan demokrasi, suara rakyat itu lebih penting. Hukuman daripada rakyat dan rakyat boleh hukum agar tidak lagi menjadi ahli Parlimen.
Bagaimana pula jika lompat parti ada unsur lain seperti rasuah ?
Kalau dapat bukti nyata seseorang itu keluar parti dan dapat tawaran (rasuah), itu lain. Sebagai contoh, “I lantik you jadi menteri tapi perlu pindah (parti).’’ Setiap tindakan perlu dibuktikan. Kita tidak boleh buat keputusan awal mendahului mahkamah.Keputusan terletak pada mahkamah.
KITA SUDAH TERLAMBAT?
Adakah kita terlambat untuk melaksanakan undang-undang lompat parti?
Trend ini baru bermula. Kita tak terlambat hendak buat undang-undang lompat parti. Saya dengar RUU Anti Lompat Parti dalam seminar pada tahun 2003 di New Delhi. Seminar di sana dibawa usul mengenai undang-undang Recall Law yang mana ahli Parlimen yang tidak bertanggungjawab boleh dipanggil semula untuk bertanding dalam pilihan raya.
Pada ketika itu England dan Malaysia tidak setuju sebab masa itu politik stabil. Jadi tak penting. Tahun 2015 United Kingdom (UK) akhirnya buat undang-undang sedemikian selepas ketidakstabilan berlaku.
Jadi kita lihat perkara ini sebagai masalah besar apabila Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sehingga tiga kali Perdana Menteri ditukar. Ia kritikal dan saya lihat belum terlambat serta diharapkan jangan ia berlarutan.
Ada segelintir pihak memberi cadangan agar pemansuhan Perkara 48 (6) tanpa pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Apa komen Datuk Seri?
Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan beri kebebasan rakyat Malaysia untuk berpersatuan. Kebebasan itu menyeluruh termasuk pergerakan dalam parti atau istilah lain pindah parti.
Fenomena ini bukan berlaku di Malaysia sahaja sebenarnya. Ia ada di negara lain. Namun apa yang kita lihat kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tangani ia sebagai satu masalah negara selepas tiga kali bertukar kerajaan sejak PRU-14. Jadi ia perkembangan kurang sihat keadaan tidak menentu semasa Covid-19 termasuk dalam aspek ekonomi. Sebab itulah undang-undang lompat parti ditubuhkan
Jadi bila nak buat kita pinda sahaja Perlembagaan Perkara 10 supaya boleh diadakan RUU untuk mereka yang pindah dari satu parti ke satu parti lain. Itu antara cadangan awal tapi apabila jawatankuasa ditubuhkan, ahli-ahlinya berpandangan balik kepada asal iaitu pinda Perlembagaan sahaja, tidak perlu ada Undang-undang Anti Lompat Parti selepas bermesyuarat lebih empat jam ( 21 April).
Sudah macam dalam mahkamah pula kerana masalah ini rumit. Kita juga bercakap cakap soal undang-undang sebagaimana yang dihadapi Nordin Salleh. Maka dalam keadaan demikian kita buat persetujuan agar pinda Perlembagaan Persekutuan sahaja.
Kita ambil cadangan ramai pihak. Pindaan Perkara 10 terlalu luas dan kita tidak mahu ia dikenakan kepada pertubuhan lain. Semasa Dewan Rakyat berbahas tempoh hari pun lebih 80 peratus memberi cadangan agar ia perlu dilihat semula. Ia perlu dijuruskan kepada hal ahli parlimen yang keluar parti supaya kalau diluluskan dengan sendiri tidak terkena kepada pihak lain yang berdaftar di bawah Persekutuan.
Hanya libatkan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sahaja.Semua perkiraan telah kita lihat dan kaji secara menyeluruh. Drafnya akan dibuat Jabatan Peguam Negara. Kita hendak lihat sama ada draf yang digubal selari dengan apa yang dibincangkan kita oleh kita hari ini.
Kita tidak boleh lari hendak pinda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan walaupun ada kata tidak perlu. Kita perlu pinda Perkara 10 mengikut penjelasan daripada pelbagai pihak termasuk Jabatan Peguam Negara. Wakil mereka ramai dan terdiri pakar lebih 30 tahun .
Maknanya undang-undang lompat parti hanya melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan sahaja?
Ya, ia hanya pinda. Pada 15 April kita putuskan dan kita telah kaji dengan lebih terperinci pada 21 April. Ini bermakna tiada RUU lain dan ia hanya mencukupi dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan
PROSES CACAMARBA
Ada pihak melihat proses dan perjalanan bagi melaksanakan undang-undang lompat parti ini sebagai cacamarba dan kegagalan ahli parlimen serta pelaksana undang-undang.Apa komen Datuk Seri?
Saya tidak melihat ia satu kegagalan.Kadang-kadang orang tidak melihat negara lain dan masih dengan dunia kita sendiri. Dalam tempoh 1980 hingga 2018, negara kita macam tiada apa-apa berlaku. Parlimen tidak terlibat sangat dengan penggubalan undang-undang. Pada masa itu, apabila RUU digubal, pihak Peguam Negara hantar ke Parlimen untuk kita bahas. Parlimen tidak secara terus dengan proses penggubalan undang-undang.
Di UK lain. Ia bukan perkara baharu, bahkan sudah berlaku sejak dulu lagi. Tapi negara kita disebabkan ada melaksanakan perubahan undang-undang. Contoh, bila ada pembentangan RUU Anti Lompat Parti pada 11 April lalu, kita dalam masa sama turut memilih Jawatankuasa Pilihan Khas.
Ini adalah sebahagian proses dan bukannya cerminan kegagalan. Malah ia diperkasakan lagi. Bezanya, pelantikan ahli-ahli dalam jawatankuasa itu adalah mereka yang bukan sahaja berpengalaman tapi berpengetahuan dalam undang-undang.
Adakah terdapat jaminan tiada lagi pihak akan melompat parti selepas Perlembagaan dipinda?
Larangan dalam al-Quran ada wahyu Tuhan menyeru agar manusia bersatu , tapi kenapa kita masih gaduh? Jadi kita buat undang-undang ini sebahagian usaha lain untuk membendung tingkah laku manusia. Mungkin kesannya tidak 100 peratus tapi insya-Allah ia bendung banyak masalah.
Adakah pindaan Perlembagaan Persekutuan tanpa penggubalan dibuat bagi mengelakkan ada pihak yang mencabar undang-undang?
Memanglah kes Nordin Salleh ketika itu jelas mengikut Perkara 10. Hanya Parlimen dan Akta Parlimen boleh mengubah hak orang dalam Perkara 10. Tapi bila negeri hendak ubah ia tiada hak. Perlembagaan sudah tolak dan kerajaan sudah larang. Hak orang hendak cabar ke mahkamah tiada masalah semua boleh. Malah ia tidak dihalang. Itu demokrasi dan ia tak salah. Tapi kalau diselidiki semula, bolehkah seseorang itu menang?
Sebab itu kita hadkan kebolehan kemenangan untuk dia dengan meminda Perlembagaan Persekutuan daripada menggubal RUU diluar Perlembagaan. Kalau di luar Perlembagaan, mungkin ada lagi orang yang akan cabar. Kalau dalam Perlembagaan mengikut penjelasan Peguam Negara, tiap-tiap satu perkara (dalam Perlembagaan) sama statusnya.
Bagaimana pandangan Datuk sebelum ini apabila UMNO sebelum ini mahu tamatkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan pembangkang ?
Perjanjian dibuat antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) dan ramai katakan apabila berlaku perlanggaran secara automatik ia terbubar. Kalau berlaku pelanggaran tiada perbincangan, baru ia berlaku (batal). Tapi apa yang berlaku, apabila bantah dalam dewan, mereka( ahli parlimen) bincang balik.
Terbatalnya perjanjian itu apabila dua pihak bersetuju batal atau satu pihak lagi memang menunjukkan bahawa they no longer wanted to be bond under agreement. Walau apa pun perjanjian adalah perjanjian. Ia tidak mengikat dalam keadaan sedemikian.
PULAU BATU PUTEH
Bagaimana dengan Pulau Batu Puteh?
Saya akan terima laporan jawatankuasa khas Pulau Batu Puteh. Mereka akan beri taklimat mengikut keputusan Kabinet. Jawatankuasa akan beri laporan tiga bulan sekali. Sekarang sudah sampai mereka beri taklimat dulu pada saya dan perkembangan yang mereka buat. Begitu juga dengan kes arwah Muhammad Adib Mohd.Kassim dan taklimat berkenaan kes Tan Sri Tommy Thomas. Nota Kabinet juga telah dibuat. Namun banyak pihak juga yang tanya bila boleh dapat laporan? Saya cakap ia embargo dan tidak boleh didedahkan kepada sesiapa.
Saya letakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana perkara sensitif. Memadai perkembangan kajian oleh pihak jawatankuasa berterusan dan berjalan lancar. Kita kaji beberapa sudut dan saya tak boleh didedahkan mana-mana pihak yang boleh buat keputusan sendiri. Kita tahu pada 2018, kes itu ditarik balik PH tapi saya tidak tahu siapa buat. PH tarik balik kes rayuan dan tidak dibicarakan serta menunggu keputusan selepas perbicaraan.
Maka ia satu kelemahan besar. Sepatutnya walaupun kes itu apa sahaja jangan buat pre-empt bahawa kita tidak mampu menang. Kita sudah buat rayuan. Biarlah pergi bicara dahulu. Jangan dinilai maruah negara dengan duit. Kalau pertimbang maruah negara dengan duit, ia ada kelemahan.
KESULTANAN SULU
Apakah status dan perkembangan terbaru tuntutan yang dikemukakan waris Kesultanan Sulu terhadap kerajaan Malaysia?
Saya telah berjumpa dengan peguam dari Madrid, Sepanyol dan peguam dari Perancis yang akan mengambil tindakan bagi pihak Malaysia. Kita juga telah diberikan taklimat dan pandangan saya kepada mereka.Saya yakin mereka ada kapasiti dan kebolehan sebagaimana yang kita dapati oleh Peguam Negara untuk melantik mereka mewakili Malaysia di Madrid dan Perancis.
Saya juga sudah berbincang dengan mereka berhubung tindakan selepas ini untuk pembatalan penguatkuasaan apa yang diputuskan timbang tara di Madrid yang mana mahkamah di sana putuskan timbang tara dilantik secara tidak sah dengan pembatalan timbang tara sedang dibuat.
Jadi soal legaliti perundangan di Perancis akan dibangkit dan ini juga akan dimaklumkan. Saya ada keyakinan pihak Peguam Negara memilih wakil kita ke Perancis dan Madrid.Saya tidak mahu ia diheret dari satu negara ke satu negara lain. Dia beri saya beberapa pandangan bagaimana mereka akan atasi supaya cara ini tidak akan dibangkitkan pada masa akan datang di negara lain. Saya berpuas hati tapi saya tidak boleh dedahkan.
KEMENTERIAN UNDANG-UNDANG
Bagaimana dengan perkembangan terbaru cadangan Datuk Seri sebelum ini bagi mewujudkan semula Kementerian Undang-undang?
Saya berpandangan kita perlu kembali seperti 1994 yang mana kita ada kementerian ini (Undang-undang dan Parlimen). Sebab apa? Kerana kita banyak undang-undang lama dan lapuk yang tidak diganti. Tambahan pula dengan melihat beban kerja yang ada ini, pada saya sudah tiba masanya kerajaan melihat usaha penubuhannya.
Saya yakin sesiapa yang menjawat jawatan saya selepas ini akan usaha agar penubuhannya dilaksanakan. Kementerian ini mesti ditubuhkan semula. Cuma setakat ini saya masih belum bentangkan kertas kerja kepada Perdana Menteri dan jemaah menteri. Kalau dilihat pada kerja saya ini, sampai malam pun belum habis lagi.
Kita ada banyak yang perlu diselesaikan. RUU Transformasi Parlimen belum bentang lagi.
Di samping itu, ada tiga perkara lagi iaitu Akta Pentadbiran Parlimen, Pindaan kepada Hak Kuasa Parlimen dan Etika Ahli Parlimen. Saya sendiri yang draf pada 2011. Sudah jadi kertas kuning pun. Tapi kena tambah baik selepas 10 tahun. Malah saya ada beritahu dengan pegawai-pegawai saya kita ada dua tiga perkara lain. Satu berkenaan RUU hukuman mati mandatori, transformasi Kehakiman dan pilihan raya. Banyak benda besar yang perlu dilihat. Pegawai sudah burnout.Jadi ada keperluan untuk penubuhan kementerian ini.
UNDANG-UNDANG LAPUK
Datuk ada menyebut berkenaan transformasi Parlimen. Jadi apa yang hendak ditransformasikan sebenarnya? Adakah banyak terdapat undang-undang lapuk di Malaysia?
Jumlah saya tak tahu (Undang-undang lapuk). Tapi, kalau kita lihat Parlimen kita tiada pentadbiran sendiri dan dilakukan oleh kakitangan kerajaan. Parlimen negara lain ditadbir urus oleh kakitangan Parlimen mereka sendiri.
Sebab itulah Akta Parlimen mesti ada. Undang-undang mesti dibuat. Dan undang-undang hak dan kuasa parlimen itu digubal tahun 1952 dan dipinda pada 1953. Selepas itu ia ‘terbiar’ sahaja dekat 70 tahun. Peraturan Parlimen digubal tahun 1956 dan dipinda secara adhoc selama ini. Ini perlu dilihat juga.
Sebab itu Parlimen perlu ada transformasi sendiri. Begitu juga kehakiman. Kalau kita lihat hakim sekarang mesti semua pakai digital. Waktu Covid-19 ini mengajar kita bekerja cara lain. Kalau tidak perbicaraan berhenti. Jadi kita pakai dalam talian. Tapi ia tidak seperti pekerjaan lain. Institusi kehakiman ada garis undang-undang. Perbicaraan tidak boleh dibuat sebegitu sahaja. Undang-undang perlu dilihat satu persatu. Jadi saya perlu bincang dengan Ketua Hakim Negara apa kehendak-kehendak untuk tambah baik. Selain itu, kita juga perlu lihat situasi di Sabah dan Sarawak. Di sana yang sewa kedai pun ada. Malah ada hakim masuk menggunakan pintu yang sama dengan tertuduh. Banyak lagi perkara lain yang perlu dilihat sebenarnya. – MINGGUAN MALAYSIA










