SELASA 3 Mei lalu merupakan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia (World Press Freedom Day). Disebabkan ia jatuh pada Hari Raya Aidilfitri kedua, ramai termasuklah saya sendiri terlepas pandang perkara ini.
Soalnya, apakah peristiwa ini penting untuk diberi perhatian oleh kerajaan, pengamal media dan rakyat jelata?
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Yong Soo Heong menggesa pengamal media di negara ini segera menyesuaikan diri mereka kepada perubahan yang berlaku dalam era pendigitalan sekarang. Dunia kini menyaksikan persaingan atau pertarungan antara media lama (media cetak) dengan media baharu (media digital).
Menurut Soo Heong, sementara banyak laman web berita muncul, ramai individu hilang pekerjaan ekoran hasil pengiklanan yang menerima impak daripada kemunculan syarikat-syarikat digital besar.
“Oleh sebab itu, pengamal media perlu beradaptasi kepada perubahan-perubahan ini dan mencari jalan untuk menangani serangan digital tersebut,” katanya.
Pendigitalan telah menyebabkan pengguna mengubah tabiat mereka dalam mendapatkan berita semasa. Untuk mencari berita paling terkini, pengguna tidak lagi minat membaca lembaran akhbar, mendengar radio atau menonton televisyen. Mereka kini lebih selesa membaca sebaris dua dalam skrin telefon pintar atau posting dalam Facebook atau paling lama menonton klip video beberapa minit di YouTube
Dalam siaran khasnya mengenai Hari Kebebasan Akhbar Sedunia ini, sebuah portal berita tempatan menyatakan, “Media di Malaysia tidak terlepas daripada ugutan dan ancaman daripada pihak pemerintah mahupun ahli politik yang tidak suka dikritik.”
Sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia minggu lalu, Ahli Parlimen Bukit Bendera dari DAP, Wong Hon Wai menyeru semua pihak menilai semula kebebasan sebenar media di negara ini agar Indeks Kebebasan Media Dunia kita tidak terus merosot.
Pada tahun lalu, Malaysia berada di tangga 119 (jatuh 18 tangga) dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2021 berbanding 2020 (di tangga 101), sekali gus mencatatkan kemerosotan paling teruk dari tahun ke tahun.
Menurut Reporters Without Borders, antara faktor utama kemerosotan ini adalah undang-undang mengekang berita palsu melalui Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021, selain undang-undang lain seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984, Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam kenyataannya sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia ini, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) menyatakan, walaupun kedudukan Malaysia bertambah baik (menduduki tangga 113 dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2022), markah keseluruhannya merosot daripada 60.53 kepada 51.55.
KOMEN
Menurut CIJ lagi, akibat kecenderungan pihak-pihak tertentu menyasarkan dan menakut-nakutkan media dengan menggunakan undang-undang ini apabila kerajaan digambarkan secara negatif, maka media di negara ini terpaksa menapis diri mereka sendiri apabila melaporkan berita berkaitan kerajaan.
Walaupun penapisan diri (self-censorship) tidak sama dengan penapisan secara paksa di bawah undang-undang oleh pihak berkuasa, ia juga suatu perkara yang tidak wajar berlaku kerana akibatnya orang awam tidak menerima berita sebenar.
Dalam kenyataan akhbar bersama mereka pada 24 Mei lalu, CIJ serta Gerakan Media Merdeka dan Kesatuan Wartawan Malaysia menggesa kerajaan berhenti mengambil tindakan terhadap wartawan disebabkan penulisan mereka.
“Media tidak seharusnya diarahkan menghadap kerajaan atau diugut dengan tindakan kerana artikel yang mereka siarkan atas kapasiti sebagai media,” jelas kenyataan itu.
Dalam satu kes tidak lama dahulu melibatkan sebuah portal berita di mana ia dikenakan denda RM500,000 kerana kesalahan menghina mahkamah, peguam mereka menghujah (semasa prosiding berjalan di mahkamah) bahawa mengikut Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), tidak ada suatu pun peruntukan dalam akta itu yang membolehkan kerajaan menapis internet.
Bagaimanapun, mengikut keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan dalam kes itu, di bawah Seksyen 114A Akta Keterangan 1950, portal berita berkenaan dianggap menjadi penerbit atau penyiar (publisher) komen yang menghina mahkamah disebabkan portal itu memudahkan (memberi peluang kepada) orang awam (pembaca) memuat naik komen mereka untuk disiarkan menjadi bacaan umum.
Kata Mahkamah Persekutuan lagi, portal berita tersebut tidak boleh dibenarkan menjadi sebagai runaway train, destroying anything and everything in its path, only because their riders are the ones creating such havoc albeit made possible by their train.
Pengamal media di negara ini perlu ingat bahawa kebebasan akhbar yang kita ada sekarang bukan mutlak tetapi terhad. Kebebasan media disekat (dihadkan) oleh beberapa undang-undang bertulis (ada yang lama dan ada yang baharu). Ia juga disekat oleh undang-undang yang tidak bertulis (common law) berasaskan kes-kes yang diputuskan oleh mahkamah kita dari semasa ke semasa.
Ada undang-undang media kita yang sudah usang dan ketinggalan zaman tetapi masih tidak diperbaharui. Ada pelbagai saranan agar akta baharu mengenai perkara tertentu digubal dan dilaksanakan (seperti Akta Menghina Mahkamah), tetapi setakat ini saranan itu belum mendapat layanan. Kini sudah ada cadangan agar pengamal media mengawal selia diri mereka sendiri seperti pengamal dalam pelbagai profesion lain.
Soalnya, apakah cadangan penubuhan Majlis Media itu boleh menjadi kenyataan dalam masa terdekat? – UTUSAN
DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.










