Drama Melayu, ayam dan harga barang naik! - Utusan Malaysia

Drama Melayu, ayam dan harga barang naik!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIBA-TIBA nama Khuzairi Samad trending di Twitter. Siapa Khuzairi? Kenapa pula jangan jadi suami macam Khuzairi? Saya pun melayari media sosial. Drama rupanya. 7 Hari Mencintaiku 3.
Bukan tak tengok drama Melayu. Saya tengok. Tapi masa tayangannya tidak sesuai dengan waktu bekerja saya.
Tetapi zaman sekarang ini kalau terlepas episod mana-mana drama pun boleh saja menonton dalam YouTube, cuma isunya masa, hendak tengok atau tidak saja.
Dan bila ada masa ter­tengok drama yang jalan ceritanya menarik perhatian di televisyen, saya mula mengikuti. Akan meng­ikuti beberapa episod lagi tetapi selalunya bila sampai pertengahan saya berhenti mengikuti dan tunggu episod terakhirnya saja.
Sebabnya drama Melayu ini kalau orang itu hidup terseksa, miskin atau didera memang teruk betul dia kena. Hina sehina-hinanya atau kalau sudah jatuh ditimpa tangga, tangga itu pula ditimpa batu besar. Susah betul nak bangun. Boleh jadi kemurungan pula bila tengok drama pada hari itu.
Isu antara dua darjat masih lagi popular dan bermain dalam masyarakat kita dari zaman filem hitam putih Allahyarham Tan Sri P. Ramlee lagi hinggalah sekarang.
Sedangkan zaman sekarang ini, saya rasa walaupun seseorang itu dalam kalangan keluarga miskin tetapi dia rajin, berusaha lebih dan mendapat pekerjaan yang baik, sudah pasti diterima baik menjadi menantu golongan kaya atau miskin.
Isu perkahwinan penuh skandal, berebut-rebut kekasih atau suami dan isteri orang tanpa rasa segan silu pun macam sudah jadi satu kebiasaan dipaparkan dalam drama Melayu. Adakah realitinya begitu atau apa mesej yang ingin disampaikan? Kita ini mahu menormalisasikan hubungan yang sebegitu kah?
Begitu juga cerita orang kaya. Kaya sekaya-kayanya pula. Ada empayar perniagaan. Jalan ceritanya juga hal berebut-rebut harta, pasangan, jawatan anak-beranak dan ugut mengugut. Orang kaya Melayu ini sajakah kerjanya?
Ada drama yang diadaptasi dari novel. Selalunya men­dapat sambutan. Tetapi adakalanya antara baca novel dan tengok dramanya, lebih baik habiskan baca novel itu saja.
Tentunya cerita dalam drama tak sama dengan realiti. Realiti bukan seteruk itu atau mungkin lebih teruk daripada itu? Kadang-kadang penderitaan itu dibuat secara berlebih-lebihan, sampai kita naik geram, ini kalau betul-betul bukan dalam drama, memang yang memukul akan kena pukul balik dengan mangsa! Boleh pula dia diam tak melawan.
Bangkitlah kalau ditindas dan disakiti. Bersuaralah. Sepatutnya semangatnya begitu. Tetapi selalunya penonton ini mesti mahu dilarutkan dengan kesedihan yang dalam dan panjang. Baru boleh datang keinsafan kemudian.
Sebab itu agaknya dalam dunia realiti pihak yang kena dera akan mengambil masa lama untuk mengadu? Mahu sedih dan sakit lama dulu baru pergi ke balai polis.
Saya ‘terjebak” juga tengok drama bertajuk Jangan menangis Cinta. Mula-mula saya ikuti beberapa episod. Sekarang saya hendak tunggu episod akhirnya saja.
Saya boleh saja cari novelnya untuk tahu pengakhiran cerita ini. Tetapi saya tetap berharap watak antagonisnya mati dalam versi drama ini.
Iyalah, Nek Tok dengan Sabrina yang hidup kaya raya ini bila nak mati? Zalim sangat dera cucu sendiri yang cacat dan miskin! Macam dah tak ada kerja lain pula.

Hal ayam pun susah nak selesai

INI bukan drama. Kawan sepejabat beritahu harga mi segera pun sudah naik. Sebelum ini sepeket yang ada lima bungkus mi itu harganya dalam RM4.20 sekarang sudah RM5 lebih.
Iyalah, apa saja yang tak naik harga sekarang. Mi segera, sardin, telur dan kicap makanan rakyat marhaen sudah naik harga. Roti jangan ceritalah. Sudah lama harganya naik.
Tepung gandum pun sekarang sudah mahal. Jadi roti canai, kuih muih pun nanti naik hargakah? Kalau difikir-fikir makin bertambah pula senarai barangan naik harga.
Kelmarin pula, ada syarikat penternak yang boikot jual ayam secara senyap kerana dipercayai mahu beri tekanan kepada kerajaan membayar subsidi 60 sen yang didakwa belum dibayar. Dengan kekurangan ayam di pasaran ada yang mencadangkan agar boikot saja. Jangan beli ayam dan barangan yang harganya melampau. Jadilah pengguna yang bijak.
Persoalannya, adakah yang mahu boikot ayam lebih-lebih lagi dalam musim raya orang masih mengadakan rumah terbuka ini? Sebenarnya tak makan ayam pun tak apa. Banyak lagi makanan lain yang boleh dimakan. Tetapi itulah harganya mahal pula.
Ada yang kata boikot-boikot ini mengarut? Sebab ramai saja pengguna tetap membeli  walaupun harganya mahal.
Carilah jalan penyelesaian yang memenangkan semua. Harga barang bukan kawalan kerajaankah? Atau kerajaan sebenarnya yang dikawal pula?
Kalau hal ayam pun susah dan ambil masa bertahun-tahun untuk selesai, hal yang besar-besar macam mana pula?
Gaji minimum naik. Harga barang pun sama naik. Peniaga kata rugi kalau tak naik harga, penggunalah yang paling terbeban. Maka, betullah ramai yang kata, yang tak naik sekarang hujan saja!

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya