Lelaki tidak mengaku cederakan kekasih dengan parang

Lelaki tidak mengaku cederakan kekasih dengan parang

TEY Boon Hooi (dua dari kiri) diiringi oleh beberapa anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan mencederakan teman wanitanya dengan menggunakan parang awal bulan ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang lelaki yang bekerja sebagai penarik kereta mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mencederakan teman wanitanya dengan menggunakan parang, awal bulan ini.

Tertuduh, Tey Boon Hooi, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang wanita berusia 45 tahun dengan menggunakan senjata berbahaya iaitu sebilah parang di sebuah rumah di Taman Aman Jaya, Bukit Mertajam dalam daerah Seberang Perai Tengah kira-kira pukul 6 pagi, 2 Mei lalu.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Lim Zhan Yi memohon supaya mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh. Namun, sekiranya jaminan itu diberikan, beliau mahu syarat tambahan dikenakan iaitu melarang tertuduh daripada mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Sementara itu, tertuduh dalam rayuannya pula mahu jumlah wang jaminan dikurangkan dengan alasan dia perlu menyara ibu dan teman wanitanya yang tinggal bersama.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula bagi tujuan serahan dokumen serta lantikan peguam.

Difahamkan, ketika ini, mangsa masih menerima rawatan di hospital selepas mengalami kecederaan serius pada bahagian telinga, tangan, kaki dan perut akibat kejadian berkenaan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN