Bukan sekadar lilin membakar diri - Utusan Malaysia

Bukan sekadar lilin membakar diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK Mac 2020 ketika negara terhimpit dalam pandemik Covid-19, guru adalah antara kerjaya yang paling mencabar.

Mereka berdepan dengan tugas hakiki mendidik pelajar dalam keadaan yang amat tidak menentu. Pembelajaran dan pengajaran secara bersemuka terhenti dan diganti dengan pendekatan maya. Guru berdepan cabaran yang amat besar untuk menyerap normal baharu.

Bagaimanapun, guru tidak memberikan banyak alasan, sebaliknya berusaha menyesuaikan diri dalam masa yang singkat dengan tuntutan baharu. Hal ini sebenarnya bukan mudah. Tetapi disebabkan iltizam yang tinggi, pembelajaran dan pengajaran secara maya memberikan hasil luar jangkaan.

Hampir semua dalam kalangan guru tidak mempunyai pendedahan dengan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Mereka tidak diberi persiapan untuk meneruskan tugas secara maya. Pengalaman dan ilmu yang diperoleh di institut pendidikan guru atau institusi pengajian tinggi (IPT) menekankan kelas fizikal secara bersemuka.

PdPR sebenarnya menjadi igauan ngeri dalam kalangan guru. Dengan ketiadaan pengalaman dan latihan, mereka terpaksa memikul tanggungjawab seperti dalam keadaan biasa. Malah, pelajar yang tidak bersedia belajar secara maya juga memberikan beban emosi kepada golongan guru.

Ini belum lagi disentuh hal prasarana PdPR yang memerlukan internet berkelajuan tinggi terutama di kawasan luar bandar. Ketika pemimpin meratibkan internet dengan rangkaian generasi kelima (5G), hakikatnya banyak kawasan di Kuala Lumpur pun masih berdepan kelembapan internet. Kalau diukur siput babi pun lebih pantas mengesot berbanding internet yang dikatakan laju.

Bayangkan keadaan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak. Fenomena internet perlahan dihadapi juga oleh pelajar di kawasan bandar di Semenanjung. Guru yang berdepan secara langsung dengan masalah prasarana setengah masak seperti ini.

Semua keadaan ini memberi kesan langsung kepada guru dalam menjalani kerjaya mendidik anak bangsa. Bagaimanapun, tidak banyak pihak memikirkan kaedah bagi meringankan beban di pihak guru. Birokrat pendidikan terus dengan sifat birokratnya.

Sebahagian daripada pemimpin politik hanya sembang ‘kencang’ di media, tetapi hakikat sebenar hanya guru-guru yang tahu. Malah, banyak juga guru yang berdepan dengan pengetua yang lebih menjaga ‘kerusi’ berbanding kepentingan guru dan pelajar yang berada bawah seliaannya.

Hal sama juga berlaku kepada sesetengah individu di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Sesetengahnya lebih cenderung menjaga ‘kerusi’ dan ketua-ketua di kementerian daripada menyuarakan masalah sebenar yang dihadapi guru. Maka guru terpaksa berdepan dengan keadaan sedemikian secara sendirian.

Memang benar tugas utama guru adalah mengajar dan membimbing sahsiah pelajar. Bukan sahaja bermatlamatkan kecemerlangan akademik tetapi juga menjadi modal insan yang membina bangsa dan negara.

Dalam keadaan huru-hara disebabkan pandemik, guru mengorbankan emosi disebabkan kaedah pengajaran yang tidak lancar.

PASANGAN guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Lubuk Merbau, Kedah; Zulhazmi Awang Kechik dan Nur Adilah Yusof membuat rakaman video bagi melengkapi modul PdPR pelajar mereka pada 2021. – GAMBAR HIASAN/SHAHIR NOORDIN

STOR

Bagaimanapun, seperti tidak masuk akal apabila ada pihak melakukan diskriminasi dan menjatuhkan moral guru yang belum divaksin. Pengorbanan guru dalam keadaan genting ketika pendemik memuncak seperti sia-sia apabila ada dalam kalangan mereka yang ‘diasingkan’ dalam stor.

Rasanya tidak ada pekeliling daripada kementerian yang mengarah supaya guru itu diperlakukan sedemikian rupa. Bagaimanapun, sesetengah pengetua bersikap lebih sudu daripada kuah. Mereka hanya mengampu PPD dan ketua-ketua di kementerian. Maka guru menjadi mangsa diskriminasi tanpa perikemanusiaan.

Kita tentu hilang kata-kata apabila golongan yang tugasnya menjadikan anak-anak kita sebagai manusia berguna diperlakukan sedemikian rupa oleh pihak yang mengaut kepentingan peribadi. Perlumbaan kenaikan pangkat di sekolah dan PPD menjadikan sesetengah pihak begitu kebendaan dan hilang kemanusiaan.

Mereka lupa bahawa institusi yang dinaungi itu bertujuan melahirkan anak bangsa yang bukan sahaja pandai tetapi berpekerti tinggi. Hal-hal begini menuntut pemerhatian khusus oleh kementerian kerana tidak semua pengetua membawa masalah guru di bawah seliaan mereka ke pihak atasan.

Itu ketika pendemik lebih dua tahun lalu. Bagaimanapun, masalah yang membelenggu golongan guru sudah lama berlaku, tetapi tidak banyak diberi perhatian.

Memang bersepah persatuan yang kononnya mewakili 430,000 guru, tetapi tidak banyak yang bersuara. Bukan suatu yang luar biasa apabila guru dipaksa membuat kerja-kerja pentadbiran dan perkeranian. Tetapi tiada perubahan biarpun menteri silih berganti, isunya tetap sama.

Tugas hakiki guru adalah mendidik anak bangsa menjadi generasi yang bukan sahaja bijak akademik tetapi tinggi sahsiah diri. Tanggungjawab ini bukan mudah, ia menuntut kepakaran dan juga pengalaman.

Pengalaman dan kepakaran guru sedemikian mesti dimanfaat untuk mengangkat bidang pendidikan. Semakin berusia seseorang guru bermakna teranjak juga kepakaran mengalirkan ilmu dan pengalaman menangani pelajar yang pelbagai ragam.

Mendidik adalah satu seni yang sangat unik. Tidak semua yang berilmu atau berpendidikan tinggi mampu menjadi pendidik yang baik. Maknanya, ini satu bidang khusus dan sama sekali tidak boleh dicampur aduk dengan tugas-tugas sampingan di luar lingkungan mendidik.

Tentulah amat malang kalau seorang guru yang mempunyai kepakaran dan pengalaman ini mengambil keputusan bersara awal, bukan disebabkan faktor kesihatan tetapi tekanan dengan persekitaran tempat kerja yang tidak kondusif.

Menurut statistik, daripada 409,977 guru di negara ini, lebih kurang satu peratus atau 4,000 mengambil keputusan bersara awal. Daripada jumlah itu, hanya segelintir disebabkan faktor kesihatan. Selebihnya mereka berbuat demikian disebabkan tiada keseronokan bekerja.

Difahamkan ketika ini sebahagian besar daripada guru senior yang berpengalaman hanya menunggu usia 56 tahun untuk bersara. Apabila seorang guru begini bersara awal empat tahun dari waktu sepatutnya, ini satu kerugian dalam bidang pendidikan.

Akhir kata, hentikan menjadikan guru sebagai lilin yang membinasakan diri untuk kejayaan orang lain. Jadikan guru seperti matahari yang memberi cahaya dan tenaga pada siangnya dan memantulkan keindahan melalui bulan pada malamnya tanpa membinasakan diri.

Cikgu, selamat menyambut Hari Guru. – UTUSAN

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×