1.3 juta Melayu miskin tegar

1.3 juta Melayu miskin tegar

LAPORAN oleh Jabatan Perangkaan pada 2019 menunjukkan isi rumah keluarga Melayu dalam kategori miskin mutlak adalah 7.2 peratus berbanding kaum Cina hanya 1.4 peratus. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI golongan muda zaman sekarang terutama yang tinggal di bandar cenderung menyuarakan tentang kesamarataan antara kaum, merujuk kepada dasar bumiputera.

Tetapi sedarkah adik-adik muda kita ini bahawa sememangnya tujuan diadakan dasar bumiputera ialah untuk mencapai kesamarataan antara kaum?

Bacaan yang dibuat pada 1970 mencatatkan bahawa keluarga miskin dalam kalangan orang Melayu adalah 64.8 peratus, sementara pegangan ekuiti dalam syarikat di negara ini oleh bumiputera hanyalah 4.3 peratus. Suatu jurang ketidaksamarataan yang amat besar antara bumiputera Melayu dan kaum Cina.

Maka dasar bumiputera yang dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru (DEB) diwujudkan dengan tujuan merapatkan jurang ketidaksamarataan ini agar dengan merapatnya jurang ekonomi akan wujud juga keharmonian dan perpaduan yang stabil.

Golongan muda Melayu yang hidup selesa di bandar harus sedar. Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan pada 2019, isi rumah keluarga Melayu dalam kategori miskin mutlak adalah 7.2 peratus berbanding kaum Cina yang hanya 1.4 peratus. Jika diterjemahkan kepada jumlah individu, bilangan Melayu miskin mutlak melebihi 1.3 juta orang, iaitu lebih seluruh penduduk Melaka sedangkan kaum Cina hanya 103,000 orang.

Merujuk kepada majalah Forbes Malaysia, dalam senarai 50 orang terkaya di Malaysia untuk 2021, hanya terdapat tiga orang berbangsa Melayu. Tiada seorang pun tersenarai di tangga 10 teratas. Tempat terbaik ialah di tangga ke-18, iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary; tangga ke-32, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim dan tangga ke-40, Tan Sri Azman Hashim. Jelas sekali 47 daripada 50 orang terkaya di Malaysia adalah bukan Melayu.

Pemilikan ekuiti oleh bumiputera masa kini juga baru mencecah 17 peratus berbanding sasaran 30 peratus. Rakyat daripada kaum bukan bumiputera terutama orang Cina berada di dalam keadaan amat selesa sebenarnya. Semenjak Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan hingga hari ini, tidak pernah mereka dihalang untuk berniaga dan mencari kekayaan sebanyak boleh.

Begitu juga untuk mendapatkan pelajaran, malah dibenarkan mendirikan sekolah dalam bahasa ibunda sendiri, baik sekolah rendah, menengah malah universiti. Malah untuk memiliki hartanah di mana sahaja mereka mampu, tidak juga dihalang. Lihat saja pemilikan hartanah di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, sebahagian besar adalah milik bukan bumiputera.

KORUP

Pelaksanaan DEB juga memberi manfaat kepada mereka. Apabila setiap usahawan bumiputera dibangunkan, mereka akan mendapat keuntungan secara langsung kerana mereka menguasai rangkaian bekalan, baik bahan mentah mahupun barangan siap.

Untuk menjayakan dasar bumiputera sekarang telah menjadi lebih mencabar. Ramai dalam kalangan pentadbir-pentadbir yang diberi tanggungjawab melaksanakan dan menjayakan dasar bumiputera ini telah menyalahgunakan kuasa dan mengambil peluang untuk memperkayakan diri sendiri dan rakan-rakan sekeliling, bukan membantu ekonomi orang Melayu yang merupakan tugas sebenar mereka.

Sebut sahaja mana-mana agensi kerajaan yang sepatutnya membantu bumiputera, pasti pernah terbabit dengan skandal rasuah, baik Majlis Amanah Rakyat (Mara), Lembaga Tabung Haji dan juga lain-lain. Maka masalah pentadbir-pentadbir korup ini perlu diatasi di samping memastikan dasar bumiputera berjalan terus.

Rakyat bukan bumiputera juga sayangkan negara ini, maka mereka juga tidak mahu negara menjadi rosak akibat perbuatan pentadbir-pentadbir yang korup. Mereka juga sama-sama membantu membangunkan negara dari segi ekonomi, kebanyakan perniagaan yang besar-besar dan hartanah adalah milik mereka. Jika negara menjadi rosak, perniagaan dan harta milik mereka juga akan terjejas.

Sebagai sebuah negara merdeka yang unik, di mana kepelbagaian kaum yang amat jelas, kesamarataan ekonomi ini amat penting. Dasar bumiputera masih memainkan peranan bagi menjamin keharmonian dan kejayaan negara pada masa mendatang, rakyat bukan bumiputera juga memahami dan menerima situasi ini. Secara tidak langsung, ini telah menjawab kenapa suatu keputusan populis untuk menubuhkan sebuah parti berbilang kaum agar mendapat sokongan rakyat ramai tidak diambil.

Sebaliknya sebuah parti Melayu yang berintegriti, profesional serta fokus dan sanggup hendak berjuang untuk terus menjayakan dasar bumiputera dan disokong oleh semua rakyat yang tidak mengira kaum, demi kestabilan, kemakmuran dan kejayaan masa depan negara yang menjadi pilihan untuk ditubuhkan. – UTUSAN

PENULIS ialah Ahli Majlis Eksekutif Pusat, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×