Jika bukan ahli UMNO, siapa lagi?

Jika bukan ahli UMNO, siapa lagi?

KEWUJUDAN dua kem dalam UMNO kini tidak boleh dinafikan dan terserah kepada kepemimpinan parti untuk menyelesaikannya secara bijaksana.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAIK sahaja Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri (PM) pada 21 Ogos 2021, beliau secara langsung mencatat tiga sejarah tersendiri.

Pertama, individu paling singkat menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) kerana tidak sampai dua bulan menduduki jawatan itu telah ‘dinaikkan pangkat’ menjadi PM.

Kedua, individu pertama dari UMNO mengetuai kerajaan yang bukan didominasi oleh Barisan Nasional (BN) atau UMNO sepenuhnya tetapi sebuah kerajaan campuran yang UMNO memiliki ‘saham’ di dalamnya.

Ketiga, Naib Presiden UMNO pertama menduduki kerusi PM. Ketika UMNO masih berkuasa, jawatan itu secara tradisinya diduduki oleh Presiden parti atau timbalannya yang kemudian diangkat menjadi Presiden.

Kata Otto von Bismark, politik adalah seni serba mungkin. Disebabkan itulah, ada orang begitu beria-ia mengidam kerusi PM dan melakukan pelbagai cara untuk mendapatkannya termasuk mendakwa mempunyai jumlah sokongan mencukupi. Namun, sampai sekarang masih belum berjaya mencapai hajatnya. Dia kekal berada dalam keadaan so close but yet so far.

Keadaan sebaliknya berlaku pada Ismail Sabri. Banyak dalam kalangan kita yakin beliau tidak bercita-cita menduduki kerusi PM sekurang-kurangnya sehingga ke saat pelantikannya dibuat. Dengan kedudukannya sebagai Naib Presiden, adalah ganjil untuk beliau terus mengidam jawatan itu tanpa melalui proses-proses tradisi UMNO iaitu sama ada menjadi Presiden atau sekurang-kurangnya Timbalan Presiden.

Lagipun, apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang didukung BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa ahli Parlimen Bebas mesra pemerintah itu dibentuk, percaturannya bukanlah tentang kedudukan tetapi lebih kepada usaha untuk menyelamatkan negara daripada kecelaruan dasar dan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sepanjang tempoh 22 bulan memerintah meletakkan negara dalam keadaan terumbang-ambing tanpa arah.

POLITIKING

Dalam kerajaan diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ismail Sabri diberi kepercayaan memegang portfolio Menteri Pertahanan selain Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) bagi menangani aspek bukan kesihatan situasi Covid-19 negara. Ismail Sabri menjalankan tugas itu dengan baik. Perbezaan fahaman dan baju politik tidak mengurangkan fokus kerja terhadap kepimpinan Muhyiddin. Mereka bekerjasama dalam satu pasukan. Tidak ada politiking. Tidak ada perlumbaan untuk saling membayangi.

Pada 7 Julai 2021, Ismail Sabri dilantik sebagai TPM – jawatan yang diwujudkan semula selepas dihilangkan oleh Muhyiddin daripada senarai sejak saat pertama beliau membentuk pasukan Kabinet, 16 bulan sebelum itu. Dari kerusi TPM itulah Ismail Sabri kemudiannya diangkat menggantikan Muhyiddin yang melepaskan jawatan pada 16 Ogos 2021. Lima hari kemudian, Ahli Parlimen Bera itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Mengambil alih sebuah kerajaan sedang bergolak dan dalam keadaan ikatan persefahaman longgar antara komponen-komponen membentuknya, ditambah ancaman Covid-19 yang masih ganas, pergerakan ekonomi yang lesu dan resah rakyat memuncak bukanlah satu tugas mudah. Tidak hairan jika ada dalam kalangan yang skeptikal terhadap keupayaan Ismail Sabri mengatasi cabaran-cabaran itu.

Tetapi anak kelahiran Temerloh itu ternyata mengecewakan musuh-musuh politiknya, jika ada. Pendekatan sederhana yang diambil sejak dari mula termasuk mengekalkan sebahagian besar anggota Kabinet Muhyiddin memberi isyarat bahawa beliau menolak politik konfrontasi.

Dukungan terhadap nilai-nilai kesederhanaan itu dimantapkan lagi dengan pelancaran Keluarga Malaysia, satu gagasan berpaksikan penyatuan bagi mewujudkan kerukunan dan keharmonian dalam erti kata sebenar.

Tidak sampai sebulan menjadi PM, Ismail Sabri memukau semua pihak apabila berjaya mengajak pembangkang utama, PH ke meja rundingan. Ia kemudian menjadi titik tolak termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara PH dan kerajaan.

MoU yang mempunyai enam agenda itu melakarkan sejarah tersendiri sebagai pertama seumpamanya di negara ini. Ia menjadi satu lagi saksi bahawa akhirnya kesederhanaanlah jalan terbaik untuk memacu kemakmuran. Sesungguhnya MoU itu banyak menyumbang pada kestabilan politik negara. Ia membantu memudahkan kerajaan memberi tumpuan bukan sahaja pada usaha memulihkan negara tetapi juga mengembalikan keyakinan rakyat yang tercalar teruk susulan serangan Covid-19.

RANCAK

Banyak yang Ismail Sabri berjaya capai pada bulan-bulan selepas itu. Paling ketara kejayaannya mengemudi negara keluar dari pandemik sehingga berjaya memasuki fasa endemik mulai 1 April lalu. Pada masa sama, kerajaan pimpinannya turut berjaya menangani krisis bencana alam berikutan banjir besar yang melanda banyak kawasan di seluruh negara dari 17 Disember tahun lepas sehinggalah 19 Januari lalu.

Negara belum pulih sepenuhnya. Itu hakikat. Masalah masih ada. Itu juga hakikat. Tetapi hakikat lain yang lebih penting adalah kenyataan bahawa sebahagian besar masalah dihadapi setahun lalu berjaya diatasi.

Kehidupan menjadi lebih baik. Politik stabil dan terkawal. Pergerakan ekonomi mula rancak semula. Keyakinan pemain industri kembali bertunas. Keluh-kesah rakyat kian berkurangan. Dan semua itu membawa kepada kewujudan semula feel good factor dalam kalangan semua peringkat.

Faktor itulah kemudiannya menjadi antara sebab BN/UMNO memperoleh kemenangan besar di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. Tanpa rasa selesa pada kerajaan, sudah tentu rakyat akan menghukum BN/UMNO kerana yang mengetuai kerajaan ialah Naib Presiden UMNO.

Perkara yang mungkin diabaikan oleh banyak orang ialah kejayaan Ismail Sabri memimpin kerajaan yang pada dasarnya juga kejayaan UMNO. Ismail Sabri menjadi medium menghubungkan rakyat dengan zaman makmur yang mereka lalui semasa di bawah pemerintahan BN. Rindu mereka untuk kembali ke zaman itu berjaya diubat oleh Ismail Sabri. Ismail Sabri sendiri tidak pernah membelakangkan UMNO. Itulah yang diikrarkannya di Perhimpunan Agung UMNO, Mac lalu.

Dan beliau membuktikannya dengan tindakan. Suara daripada UMNO yang meminta kerajaan membenarkan pengeluaran RM10,000 dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) misalnya, didengar, diberi perhatian dan diluluskan walaupun dari perspektif ekonomi ia bukanlah tindakan popular.

Kini, selain menggembirakan rakyat dengan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 mulai 1 Mei nanti, Ismail Sabri gigih memperjuangkan supaya bahasa Melayu dimartabatkan dalam semua urusan rasmi serta diangkat ke persada antarabangsa, Tidakkah itu juga sebahagian daripada apa yang diperjuangkan oleh UMNO?

Berdasarkan prestasinya sekarang, diyakini banyak lagi yang Ismail Sabri boleh lakukan. PM kita dari UMNO, jika tidak ahli UMNO yang mempertahankan institusi PM, siapa lagi harapan itu mahu digalas? – UTUSAN

DATUK Dr. Budiman Mohd. Zohdi ialah Setiausaha Menteri Komunikasi & Multimedia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×