‘PN, PH cekup campak, BN cekup letak’

‘PN, PH cekup campak, BN cekup letak’

NUR JAZLAN MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SEJUMLAH 239 calon yang disahkan bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jelas menyaksikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini, pertembungan paling sengit dalam kalangan parti-parti bertanding.

Oleh demikian, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, DATUK NUR JAZLAN MOHAMED menegaskan, UMNO tidak boleh ‘main cekup campak, cekup letak’ dalam soal pemilihan calon. Sebab itu, BN katanya, mengetengahkan anak tempatan berkaliber dan disenangi pengundi.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR dan AHMAD FADHLULLAH ADNAN, beliau mengakui PRN Johor adalah cabaran cukup getir kepada setiap parti termasuk UMNO sendiri untuk meraih mandat rakyat.

UTUSAN: Nampaknya BN dan Perikatan Nasional (PN) sahaja dua parti yang bertanding kesemua 56 kerusi. Mencabarkah?
NUR JAZLAN: PN bukan parti yang layak membentuk kerajaan kerana terbukti sebelum ini ambil ‘pemimpin katak.’ Sekarang tinggal dalam PN saki-baki mereka yang berpecah kerana kecewa tidak menjadi calon dan berlaku sabotaj.

Jadi, kepercayaan dalam PN sudah hilang sebab ketika masih pegang kuasa, mereka ambil ‘katak’ sehingga tiada kesetiakawan. Oleh itu, mereka cuba elak pilihan raya di peringkat pusat dan negeri kerana tahu kelemahan apabila tiada prinsip, tiada setia kawan dan tiada pengorbanan dalam parti yang bertindak atas kemahuan diri sendiri.

Benarkah PN takut hadapi pilihan raya?
Bila berlaku pilihan raya, kita hendak pilih parti dan kerajaan. Bila jadi kerajaan gagal, apatah lagi negara, maka sebab itu PN mahu elak pilihan raya umum dengan melambat-lambatkannya. Lagipun memang budaya dan sifat PN sebenar berasal daripada satu parti yang dibentuk atas pengkhianatan dan budaya pelompat.

Sebab itulah mereka laungkan istilah ‘kluster mahkamah’ sebab tiada modal. Mereka katakan pemimpin UMNO itu ini ‘kluster mahkamah’, sedangkan dari segi pemilihan calon kita dapat menampilkan barisan calon muda dan ada masa depan berbanding PN. Keduanya, berkaliber dan ketiga, tiada berlaku rintihan dalaman setelah pemilihan calon dibuat secara teliti.

Khabarnya PN banyak letak orang luar?
UMNO bukan seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang ‘main cekup dan campak’ dan bukan ‘cekup dan letak.’ Misalnya, ambil orang Kuala Lumpur dan ‘campak’ ke Johor. Jadi, orang ini dah tentu tiada sentimen pengundi, tidak sayang masyarakat malah tidak dikenali rakyat. Inilah sebenarnya berlaku dalam Bersatu, parti tiada jiwa berbanding UMNO ada jiwa mempertahankan Melayu dan Islam.

PN dan Bersatu tidak tengok semua ini. Mereka main ‘cekup dan campak’ calon. Bagi mereka, tidak penting kredibiliti calon asalkan mereka dicop wakil PN, ‘sudah tentu rakyat akan pilih.’

UMNO telitikah pilih calon?
Ya, kerana akhirnya yang merana adalah rakyat apabila dapat wakil rakyat tidak berkualiti. Sebab itu UMNO teliti meletakkan calon tempatan dan diterima penduduk.

Sistem demokrasi beginilah, anda bayar cukai di tempat tinggal, selepas itu cukai dibelanjakan untuk pembangunan seperti (selenggara) parit, elektrik dan sebagainya.

Jika seorang wakil rakyat tidak duduk di kawasan itu dan tiada langsung dengan kawasan diwakili, masalah utama adalah rakyat akan dapat wakil rakyat tidak bagus.

Masalah kedua, pengundi yang ghairah sangat iaitu duduk di Kuala Lumpur atau mana-mana tempat lain tetapi mengundi di tempat asal mereka.

Dia datang untuk mengundi sehari dan selepas wakil rakyat dipilih itu bukan berasal kawasan berkenaan. Balik mengundi sehari, yang merana rakyat selama lima tahun. Konsep ini perlu diperbetulkan.

Adakah bermaksud PN bakal ulangi nasib dalam PRN Melaka?
Bersatu akan alami nasib sama seperti PRN Melaka. Dulu mereka harapkan pengundi luar seperti di Kuala Lumpur, Singapura tetapi golongan ini tidak balik mengundi kerana bimbang, malah kecewa selepas pernah ‘terkena’ dengan PN mahupun Pakatan Harapan (PH).

PH pernah janji bermacam-macam seperti mahu hapus pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tol dan sebagainya, tetapi tidak buat. Rakyat dah tawar hati sebab itulah peratusan mengundi PRN Melaka rendah, tidak seperti dua pilihan raya sebelum itu.

Ada kemungkinan PN dan PH ‘kitar semula’ calon menteri besar?
PN tiada calon menteri besar, cuma dikatakan hendak recycle muka lama seperti Datuk Dr. Sahruddin Jamal. Sama juga PH, balik-balik muka sama dengan Dr. Maszlee Malik atau Sallahuddin Ayub calon MB mereka.

Berbanding BN sudah ada calon menteri besarnya, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad yang sudah terbukti mampu menjaga Johor walaupun berhadapan rintangan seperti Covid-19, tiada wang dan ketidakstabilan kerajaan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya