'Qatar tidak bersendirian, dunia Arab-Islam teguh bersama'

‘Qatar tidak bersendirian, dunia Arab-Islam teguh bersama’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit pada Ahad mengecam tindakan Israel serta memberi amaran langkah berdiam diri terhadap sesuatu jenayah hanya membuka ruang kepada lebih banyak kesalahan sama.

Berucap pada mesyuarat persediaan menjelang sidang kemuncak tergempar pemimpin Arab dan Islam di Doha, beliau menegaskan sidang itu sendiri membawa mesej jelas Qatar tidak bersendirian dan dunia Arab dan Islam berdiri teguh di sisinya.

Aboul Gheit memberi amaran tindakan Israel adalah kesan langsung daripada dua tahun sikap berdiam diri masyarakat antarabangsa terhadap pembunuhan beramai-ramai di Gaza, yang akhirnya mendorong pendudukan Israel bertindak tanpa sebarang akibat.

Qatar menganjurkan sidang tergempar itu selepas Israel melancarkan serangan udara luar biasa pada 9 September lalu yang menyasarkan kediaman beberapa pegawai Hamas di Doha.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al-Ansari memaklumkan mesyuarat pemimpin Arab dan Islam pada Isnin akan membincangkan draf resolusi mengenai serangan Israel ke atas negara Qatar.

Dalam mesyuarat sama, Perdana Menteri Qatar merangkap Menteri Luar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani, menggesa masyarakat antarabangsa supaya menghentikan sikap pilih kasih dan menghukum Israel atas jenayah yang dilakukan.

“Sudah tiba masanya masyarakat antarabangsa berhenti menggunakan dwi standard dan menghukum Israel atas semua jenayah yang dilakukannya.

“Israel perlu sedar bahawa perang pemusnahan berterusan terhadap rakyat Palestin yang bertujuan menghalau mereka dari tanah air sendiri, tidak akan berhasil,” katanya.

Serangan Israel yang mengorbankan enam orang itu tidak mengenai sasaran utamanya iaitu perunding Hamas, namun dianggap sebagai serangan terhadap prinsip rundingan tersebut.

“Tindakan itu hanya boleh digambarkan sebagai keganasan, pendekatan yang jelas diamalkan kerajaan Israel ekstremis ketika ini yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa,” tegas Sheikh Mohammed.

“Tindakan Israel yang melulu dan khianat dilakukan ketika Qatar sedang menjadi tuan rumah rundingan rasmi dan awam dengan pengetahuan pihak Israel sendiri yang bertujuan mencapai gencatan senjata di Gaza,” tambahnya.

Menjelang sidang kemuncak, Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty turut mengadakan perbincangan telefon dengan rakan sejawatnya dari Arab Saudi, Turkiye dan Pakistan.

Para menteri sebulat suara menekankan keperluan kesatuan Arab-Islam dan kepentingan koordinasi berterusan dalam bidang politik, diplomatik serta ekonomi demi melindungi kepentingan bersama dan menstabilkan rantau tersebut.

Antara pemimpin yang dijadual hadir ialah Presiden Iran, Masoud Pezeshkian; Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia Al-Sudani; serta Presiden Palestin, Mahmud Abbas yang tiba di Doha pada Ahad. Media Turkiye turut melaporkan bahawa Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, dijangka hadir.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN