GEORGE TOWN: Polis mengesahkan tidak wujud unsur buli dalam kejadian melibatkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 21 sebuah pangsapuri di Paya Terubong di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhamad berkata, siasatan awal mendapati, tiada sebarang unsur jenayah dikesan terhadap si mati.
“Bukan disebabkan buli. Apapun, punca sebenar kematian masih dalam siasatan lanjut. Bedah siasat ke atas mayat mangsa telah dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) pagi ini,” katanya di sini, hari ini.
Difahamkan, remaja tersebut dijaga oleh ibu saudaranya sejak kecil selepas ibu bapanya berpisah.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8 malam sebelum itu mengejutkan penduduk setempat apabila mangsa ditemukan terbaring berlumuran darah di aras enam perumahan terbabit oleh orang awam.
Remaja berkenaan dipercayai terjatuh dari tingkat 21 pangsapuri berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. – UTUSAN









