DNB bukan sekadar bangunkan 5G

DNB bukan sekadar bangunkan 5G

PEMBANGUNAN teknologi 5G di Malaysia dikendalikan oleh sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan, iaitu Digital Nasional Berhad (DNB). – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA sedia maklum, antara mandat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ialah menyokong agenda pemerkasaan bumiputera yang berperanan sebagai tambahan kepada usaha agensi-agensi kerajaan yang sudah pun memperuntukkan 80 peratus daripada nilai kontrak tahunan kepada syarikat bumiputera.

Malah beberapa syarikat GLC utama negara sudah pun memperkenalkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Agenda Bumiputera untuk menyokong agenda pemerkasaan bumiputera. Pada 2014 umpamanya, dilaporkan wujud potensi peluang perniagaan bernilai RM5 bilion untuk komuniti bumiputera menerusi inisiatif Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. Ia turut melibatkan pembangunan vendor, pemberian biasiswa dan dana keusahawanan atau bantuan kewangan.

Tanpa peranan yang dimainkan oleh GLC-GLC ini, maka sukar untuk negara mencapai kemajuan dalam pembangunan bumiputera sama ada menerusi peluang perniagaan (peruntukan tender dan peluang perniagaan), peningkatan keupayaan (latihan kepada vendor-vendor bertauliah) mahupun menerusi pendidikan (pemberian biasiswa kepada pelajar-pelajar bumiputera yang layak)

Malah kita juga sedia maklum, GLC juga berperanan menghasilkan kapten-kapten korporat Melayu yang disegani antaranya bekas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar yang kini Pengerusi Lembaga Tabung Haji; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kini Menteri Kewangan) dan Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Tan Sri Mohd. Bakke Salleh.

GLC juga berperanan sebagai agen perangsang kepada syarikat bumiputera untuk meningkatkan daya saing dan daya tahan, selari dengan standard tinggi yang sudah ditetapkan syarikat-syarikat GLC masing-masing. Ini bermakna kepakaran dan teknologi yang diguna pakai haruslah terhebat, sementara ketahanan kewangan pula haruslah yang terbaik, demi memastikan projek diperoleh dapat disiapkan dengan lancar.

Jadi, ini jelas menunjukkan agenda strategik GLC bukan sahaja demi menjamin ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara tetapi ia lebih besar daripada itu. Strategi sama juga diguna pakai untuk pembangunan teknologi 5G di Malaysia di mana ketika ini pelaksanaannya dikendalikan sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan, iaitu Digital Nasional Berhad (DNB) yang turut sudah mengenal pasti peluang penyertaan syarikat bumiputera dalam projek-projek pembangunan sistem rangkaian 5G.

Projek yang menelan anggaran belanja RM12.5 bilion, tentu sekali ia bukan sahaja memberi peluang perniagaan kepada syarikat bumiputera, tetapi secara tidak langsung akan meningkatkan penglibatan bumiputera dalam bidang telekomunikasi termaju ini. 5G ini bukan sahaja dibangunkan dan dikendalikan oleh sebuah GLC, malah spektrum itu sendiri adalah milik kerajaan.

Maka tidak hairanlah jika kerajaan berani tampil untuk mengumumkan bumiputera akan mendapat manfaat sehingga 60 peratus daripada anggaran keseluruhan kos projek bagi tempoh 10 tahun pelaksanaannya.

MODAL POLITIK

Malah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) sebagai agensi penyelaras utama pembangunan ekonomi dan sosioekonomi bumiputera dilantik sebagai sekretariat program 5G DNB demi meningkatkan penglibatan dan kepakaran bumiputera dalam bidang kejuruteraan telekomunikasi termaju ini.

Ericsson yang dilantik sebagai penyedia teknologi 5G di negara ini pula sudah menyatakan komitmen untuk memastikan manfaat 5G akan dirasai oleh komuniti bumiputera dalam hal melibatkan peluang pekerjaan dan perniagaan. Tetapi malangnya projek berkepentingan strategik ini menjadi modal politik sesetengah pihak yang iri hati dengan peruntukan besar yang bakal diperoleh masyarakat bumiputera.

Sedangkan kita tahu, pelaburan yang dibuat GLC kepada bumiputera bukannya sekadar untuk memakmurkan syarikat-syarikat Melayu, tetapi ia lebih holistik daripada itu.

Seperti yang saya tegaskan di atas, ia merupakan pelaburan demi meningkatkan keupayaan masyarakat bumiputera.

Menyoroti pembangunan teknologi telekomunikasi 3G mahupun 4G sepanjang 10 tahun lalu, di mana kerajaan hanya bertangungjawab sebagai pengawal selia dan bukannya pengendali spektrum, saya tidak nampak mana-mana syarikat Melayu yang menerima manfaat besar daripadanya. Dalam banyak-banyak GLC, hanya Telekom (TM) dan Celcom Axiata dalam kategori GLC, sebaliknya Maxis dan DiGi adalah syarikat swasta.

Saya tidak pasti jika ada agenda pemerkasaan bumiputera diselitkan dalam strategi pernigaan dua syarikat telekomunikasi (telco) ini. Malah sepanjang 10 tahun lalu, adakah kita nampak mana-mana syarikat Melayu yang mampu menjadi wira dalam bidang kejuruteraan telekomunikasi?

Saya tidak salahkan kedua-dua syarikat swasta tersebut. Memang tujuan untuk berniaga ialah cari untung. Cuma sebagai GLC, sememangnya sudah tersemat agenda pemerkasaan bumiputera dalam setiap strategi perniagaan mereka.

Jika benar peranan DNB mahu disemak semula, saya khuatir ia akan menjejaskan syarikat-syarikat bumiputera. Sudikah telco-telco seperti Maxis dan DiGi meletakkan agenda pemerkasaan bumiputera dalam strategi perniagaan jika benar hak pembangunan 5G itu kelak diambil alih mereka? Adakah Axiata juga sedia menyemak strategi agenda bumiputera jika perkara ini berlaku?

Jika ya, apakah cara pelaksanaannya? Bagaimana strategi itu nanti boleh bersifat holistik? Harus diingat, agenda pemerkasaan bumiputera sifatnya sangat luas dan menyeluruh. Mampukah telco-telco tersebut menghayati agenda ini?

Sebagai sebuah organisasi perniagaan berkepentingan strategik, tentu sekali DNB bertanggungjawab untuk memberi penjelasan terhadap beberapa keputusan yang diambilnya sebelum ini, seperti pemilihan Ericcson (sebuah syarikat Sweden) sebagai penyedia teknologi 5G di Malaysia dan bukannya syarikat-syarikat lain seperti Huawei (yang merupakan antara pemain utama dunia dalam bidang 5G). Kita harus beri ruang kepada DNB untuk memberi penjelasan mengenai hal ini.

Pada masa sama, jika benar syarikat-syarikat telco yang lain mahu sama-sama membangunkan teknologi 5G juga, apa janji mereka untuk pastikan peruntukan besar RM12.5 bilion ini diagih-agih sama rata serta menjadi agen kepada peningkatan kemahiran, kepimpinan, daya saing dan kemakmuran bumiputera? – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya