BARU-BARU ini, saya berkesempatan berbincang dan mendengar penerangan oleh golongan pendukung teori bumi mendatar dalam kalangan warga kita. Penerangan tuntas bersandarkan fakta tertentu serta logik akal dikukuhkan dengan bukti-bukti sokongan lainnya sangat memberangsangkan.
Golongan ini sering dijadikan bahan troll oleh netizen kita akibat ketiadaan maklumat dan kefahaman yang tepat perihal isu ini. Antara troll atau tuduhan tidak berasas yang dilemparkan kepada golongan ini termasuklah dengan memaparkan grafik bumi berbentuk empat segi yang sedang terapung di tengah-tengah alam semesta.
Kemudian, di atas bumi berbentuk kotak itu terdapat pula sebuah kapal yang terjunam ke bawah membawa maksud kononnya kapal itu sudah sampai ke penghujung bumi.
Grafik-grafik fitnah seperti ini bukan sahaja telah meracuni pemikiran masyarakat kita yang rata-ratanya tidak suka mengkaji bahkan termasuklah sebahagian mereka yang bergelar ahli akademik dan agamawan sehingga melihat golongan pendukung teori ini sebagai gila, songsang dan melucukan. Walhal pada hakikatnya golongan ini tidak pernah berkeyakinan seperti mereka dakwa. Apa yang berlegar di internet ternyata tidak benar.
Bertambah malang apabila media massa tidak pernah memberi ruang kepada golongan ini untuk bersuara atau paling tidak berkongsi pandangan mereka dengan betul sedangkan kita sendiri tahu bahawa pemahaman ini hanyalah sekadar teori menerusi kaca dimensi dan perspektif berbeza.
Sekalipun dalam beberapa perkara saya tidak bersetuju dengan buah fikiran golongan ini, namun dalam menghormati ilmu pengetahuan Tuhan yang luas itu, maka rasa bertanggungjawab untuk bersikap adil terhadap mereka.
Pada Januari 2019, sewaktu menggalas tanggungjawab sebagai Pengurus Pusat Komuniti Malaysia di Turki (MCCT), saya mengambil satu inisiatif menjalankan program khas berjudul Perbincangan Ilmiah, Bumi Itu Mendatar yang disampaikan oleh dua warga Turki bersama 15 pelajar Malaysia di sana.
Program yang berlangsung selama dua jam itu menyentuh pelbagai isu menarik di samping para pendengar boleh berbincang secara langsung dengan penceramah.
Alangkah baiknya sekiranya perbincangan ilmiah seperti ini boleh dijalankan di tanah air kita.
Secara ringkasnya, menurut pandangan teori Bumi Datar, bumi dilihat sebagai satu dataran atau hamparan yang begitu luas. Berapa besar saiz keluasannya? Tidak ada sesiapa pun yang ketahui.
Seterusnya, bahagian bumi yang didiami oleh manusia ini dibatasi dengan lingkaran lapisan ais (menurut teori Bumi Sfera, lingkaran ais inilah disebut sebagai benua Antartika).
Bentuk bumi mengikut Bumi Datar pula adalah daratan yang dikelilingi laut sementara pada bahagian atasnya (langit) ditutupi atau dilindungi dengan apa yang disebut sebagai kubah (dome) separa bulat. Di bawah kubah itu pula terdapat matahari, bulan, bintang dan segala objek langit beredar di atas permukaan bumi mengikut garis edar (orbit) masing-masing dengan ketinggian berbeza.
PBB
Bagaimana untuk kita melihat lakaran sebenar Bumi Datar? Anda lihat sahaja logo rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Itulah peta Bumi Datar. Logo kontroversi ini sudah mula membuka mata banyak pihak untuk menyelami dunia Bumi Datar.
Lebih menarik lagi, pendukung Bumi Datar menganggarkan jarak matahari dari bumi sekitar 4,800 kilometer (km). Ini cukup berbeza dengan fahaman kita selama ini yang bahawa jarak matahari dari bumi adalah 147.45 juta km. Apa yang memeranjatkan, mereka turut mendakwa saiz diameter matahari dan bulan hanyalah sekitar 50 km.
Dakwaan ini bersandarkan sistem kaedah ukuran tertentu.
Menerusi tinjauan di media sosial dan lapangan, saya melihat kepercayaan teori Bumi Datar semakin diterima oleh masyarakat terutamanya golongan anak muda. Kalau beberapa tahun lepas teori ini diejek dan ditertawakan, namun kini ia dipandang serius sehingga ada beberapa pihak yang mula melihat golongan ini sebagai ancaman.
Perkembangan ini menunjukkan masyarakat kita sudah semakin terbuka, peka tentang pelbagai perkara dan sudah berani untuk melawan arus. Namun, mereka perlu dididik cara untuk mengkaji dan mencari bahan dengan betul agar apa yang dicedok itu mempunyai asas.
“Kebanyakan teori sains moden yang banyak menyumbang kepada perkembangan teknologi terkini boleh juga diterangkan dan diaplikasikan dalam teori Bumi Datar.
“Ia adalah satu perkara yang subjektif untuk beberapa perkara. Bukanlah bermaksud semua teori sains berpakat dalam penyelewengan yang berlaku, tetapi ia melibatkan sebahagian sahaja.” – Petikan daripada akaun Facebook Bumi Bukan Sfera – Original yang aktif menyalurkan maklumat-maklumat berkenaan teori Bumi Datar.
Saya tidak mampu untuk kongsikan secara terperinci kepercayaan dan kajian mereka, namun objektif sebenar penulisan ini ialah ingin mengajak para pembaca berlaku adil, suka mengkaji dan jangan tetapkan sesuatu keputusan tanpa kepastian.
Jangan sesekali menjadikan emosi dan ‘kepercayaan majoriti’ sebagai sandaran keyakinan. Bukankah kita tidak mahu menjadi seperti lembu dicucuk hidung yang hanya mengikut sesuatu tanpa usul periksa?
Lapangkan hati dan celikkan minda. Troll dan penghinaan bukan jalan terbaik untuk berhadapan dengan sesuatu perkara. Dari sudut agama, mempercayai bumi mendatar tidak akan menjadikan seseorang itu berdosa atau terkeluar daripada agama Islam. Sains perlu disesuaikan dengan agama, bukanlah agama itu perlu disesuaikan dengan sains.
Ilmu tidak terbatas hanya di sekolah atau kampus tapi ia jauh lebih luas. Malah ketika ditertawakan pun, di situ mungkin ada ilmu. Seperkara lagi, tidak perlulah berbicara soal hak kebebasan bersuara kalau anda sendiri tidak bersedia dengan naratif berbeza. – UTUSAN
PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.










